Friday, December 28, 2007

Skandal PKFZ: Anwar mahu Liong Sik, Kong Choy disiasat

Dec 26, 07

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Hrkh) - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri
Anwar Ibrahim menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja
bagi menyiasat skandal penyelewengan dalam pelaksanaan projek Zon Bebas
Pelabuhan Klang (PKFZ).

Anwar mahu Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat skandal ini yang
dianggapnya sebagai satu skandal penggunaan wang rakyat yang besar.


Dalam satu kenyataan medianya, Anwar mendakwa bahawa bekas Menteri
Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik dan Menteri Pengangkutan, Dato'Seri
Chan Kong Choy mengeluarkan surat sokongan sehingga menyebabkan kerajaan
terpaksa menyelamatkan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).


Katanya, surat tersebut ditulis Ling pada 28 Mei 2003 (pada hari Ling
meletak jawatan) sementara Chan pula menulis tiga surat masing-masing
pada 23 April 2004, 8 Disember 2005 dan 23 Mei 2006.


Kesemua surat itu antara lain berbentuk sokongan memberikan komitmen
kerajaan sebagai penjamin untuk apa-apa liabiliti LPK untuk PKFZ, kata
Anwar baru-baru ini.


Kata Anwar, ia merupakan jaminan kerajaan kerana surat itu mengandungi
perkataan yang bermaksud "kami akan pada setiap masa di masa hadapan
memastikan LPK berada di dalam kedudukan untuk memenuhi liabiliti mereka
di dalam jumlah pembayaran semula selagi mana jumlah pembayaran semula
masih lagi tidak dilangsaikan..."


Liong Sik dan KOng Choy didakwa menulis surat sokongan supaya kerajaan
mengambilalih syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang merupakan
kontraktor kepada PKFZ .


Manakala empat anak syarikat ialah Special Port Vehicle Bhd, Transshipment
Megahub Bhd, Valid Ventures Bhd dan Free Zone Capital Bhd.


Berdasarkan jaminan tersebut, syarikat-syarikat berkenaan, mengeluarkan
bon bernilai RM4.6 bilion untuk Kuala Dimensi dan menerima rating AAA
dari Malaysia Rating Corporation Bhd bagi projek PKFZ, katanya.


Anwar berkata, menurut dasar kerajaan, hanya Menteri Kewangan atau kabinet
yang boleh mengeluarkan apa-apa bentuk jaminan bagi pihak kerajaan.


"Ketika saya menjadi Menteri Kewangan, perkara sebegini tidak pernah
dibenarkan berlaku," katanya. - mks.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: