Friday, December 28, 2007

Pemuda cacat pelajari al Quran guna braile

Dec 26, 07

KOTA BHARU, 26 Dis (Hrkh) Selagi ada kemahuan, di situ ada jalan.
Begitulah perumpamaan apabila seorang pemuda cacat penglihatan, Wan Mohd
Suhaimi Wan Mohd Zainal Abidin mampu memperdengarkan bacaan al Quran
dengan baik.

Hanya berdasarkan sentuhan jari pada al-Quran braile membolehkan pemuda
itu membaca al Quran seperti orang normal.


Wan Mohd Suhaimi memberitahu beliau mempelajari al-Quran sejak berusia 10
tahun di sebuah sekolah khas cacat penglihatan di Johor Bahru. Tempoh
masa selama 13 tahun digunakan untuk membaca al-Quran dengan lancar.


"Sebelum membaca al-Quran braile, saya terlebih dahulu mempelajari
al-Quran secara menghafal melalui bacaan yang diperdengarkan oleh guru."


"Guru saya memperdengarkan bacaan ayat Quran dan saya menghafalnya. Waktu
itu saya langsung tidak mengenal sebarang huruf dalam al Quran sama ada
alif, ba' dan ta'."


"Waktu itu saya berasa amat sukar untuk mempelajari dan mengingati al
Qran dan saya tidak mampu untuk menghafal kesemuanya. Kadang-kadang saya
menjadi bosan kerana terpaksa menghafal melalui bacaan yang hanya
diperdengarkan kepada saya," jelas anak kelahiran Melor itu, sempena
Pameran Mukjizat al-Quran dan Sains 2007 yang diadakan di Balai Islam
Lundang baru-baru ini.


Bagaimanapun katanya selepas mempelajari al-Quran braile, barulah beliau
dapat membaca al-Quran dengan lebih mudah.


Namun kata beliau bukan sedikit cabaran yang dilalui ketika mempelajari al
Quran menggunakan huruf braile kerana tiada baris seperti al Quran biasa.


"Al-Quran braile mula dicipta di Jordan pada 1952 dan waktu itu tulisannya
agak mengelirukan untuk dibaca kerana tidak mempunyai baris. Jadi agak
sukar untuk dibaca."


"Dan setelah Malaysia diberi pengiktirafan mengeluarkan al-Quran dengan
kaedah yang lebih mudah difahami iaitu al-Quran braile pertama
menggunakan komputer barulah proses pembelajaran lebih lancar," ujarnya.


Menurutnya pengalamannya mengenal al Quran dengan cara menghafal dan
menggunakan braile membolehkannya lebih mudah untuk mengingati ayat-ayat
al-Quran.


Katanya juga kos al-Quran braile lebih mahal berbanding al-Quran biasa
iaitu antara RM 200 sehingga RM250.


Wan Mohd Suhaimi turut menasihati ibu bapa menitikberatkan pembelajaran
al-Quran kepada anak-anak bagi membolehkan kehidupan mereka lebih berkat.
- mj

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: