Thursday, December 27, 2007

Perhimpunan besar-besaran kedua jika khidmat Rashid dilanjutkan

Dec 18, 07

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Hrkh) - Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih
(Bersih) tidak menolak kemungkinan akan mengadakan himpunan aman jika
kerajaan melanjutkan khidmat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),
Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Menurut Jurucakap Bersih, Dr Dzulkifli Ahmad, Berish memandang serius dan
kecewa dengan kelulusan Pindaan Rang Undang-undang bersabitan Perkara
114 Perlembagaan Persekutuan bagi melanjutkan usia pemegang jawatan
ahli SPR dari 65 ke 66 tahun.


"Bersih sayugia mengingatkan Perdana Menteri, seandainya perkhidmatan
Pengerusi SPR ini dilanjutkan juga, maka tidak ada jaminan bahawa rakyat
tidak akan bangkit untuk membantah perlanjutan perjawatan beliau demi
menjaga keutuhan demokrasi dan kestabilan negara," katanya.


Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media selepas
menyerahkan nota bantahan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah
Ahmad Badawi melalui Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato' Wan
Farid Wan Hisham di Putrajaya hari ini.


Turut serta dalam penyerahan memorandum itu ialah, Naib Presiden Parti
Keadilan Rakyat (KeADILan), Sivarasa Rasiah dan Jawatankuasa Bersih, Liu
Chin Tong.


Mengulas lanjut isu tersebut Dr Dzulkifli berkata, nota bantahan yang
dikemukakan kepada Speaker Parlimen pada 11 Disember lalu yang sekali gus
telah mencetuskan pesta penangkapan 24 orang ahli dan aktivis Bersih.


Kerajaan pinda lebih 40 'multiple amendments'
Sikap kerajaan yang dilihat tergesa-gesa dalam membuat pindaan tersebut
dengan 'bulldozed’ langsung tidak memberi apa-apa kesan malah ia
'precedent' buruk yang mencemar amalan proses 'legislatif' di Negara ini,
katanya.


Bersih ingin mengingatkan bahawa negara ini telah mengalami 40 kali
pindaan perlembagaan berbentuk 'multiple amendments' dan tak kurang dari
650 'single amendment', katanya.


Begitupun Singapura yang kurang lebih mempunyai latar belakang sejarah
yang sama dengan Malaysia hanya meminda perlembagaan mereka sebanyak
empat kali, ujar Dr Dzulkifli.


Negara seperti Amerika Syarikat yang memiliki sejarah negara bangsa
selama 231 tahun pun, hanya meminda perlembagaan mereka sebanyak 27
kali, katanya.


"Jelas kerajaan Umno-BN yang telah memerintah selama lima dekad ini,
kurang memahami dalam pemuliharaan 'Kemurniaan Undang-Undang' sekali gus
bagi mempertahankan 'Keluhuran Undang-undang' lantas telah melakukan
pindaan dengan memaparkan keangkuhan dan ketidakpeduliaan yang mengaibkan
negara di kaca mata masyarakat antarabangsa," tegasnya.


Begitupun Bersih mengakui keperluan menyelaraskan usia penjawat tertinggi
kedudukan awam, katanya memetik nota bantahan yang diserah kepada
Perdana Menteri.


Namun Bersih melihat segala pindaan dibuat hanyalah bagi melayakkan
penjawat jawatan Pengerusi SPR hari ini, yang akan bersara pada 31
Disember akan datang, untuk terus dilanjutkan perkhidmatan beliau,
ujarnya.


Buka lembaran baru
Mengulas mengenai nota bantahan kepada Parlimen 11 Disember yang lalu
secara tegas menggariskan mengapa peribadi Rashid Abdul sama sekali tidak
layak untuk meneruskan tugasannya selaku Pengerusi SPR.


"Negara yang berada di ambang Pilihan Raya Umum ke-12 pada bila-bila masa
ini, wajar mengambil peluang ini bagi membuka lembaran baru yang
seharusnya menjanjikan satu suasana sihat dan segar, dalam amalan
pengurusan proses pilihan raya.yang lebih bebas, adil dan bersih,"
katanya.


Bagi Bersih, peribadi Rashid akan terus mencemarkan proses pilihan raya
sekali gus tidak mampu mengembalikan keyakinan rakyat dan pengundi kepada
proses pilihan raya di Negara ini, katanya.


Wajar bagi Bersih Perdana Menteri, bahawa Perkara 114 (2) Perlembagaan
Persekutuan menegaskan tentang 'kepentingan mendapat keyakinan awam
terhadap SPR'.


Justeru kata Dr Dzulkifli dalam nota bantahannya, Perdana Menteri perlu
melihat kepada hujah betapa khidmat Rashid amatlah tidak diperlukan lagi.


Antara hujah Bersiah ialah :
a) Daftar Pemilih masih lagi tercemar dengan nama-nama pengundi yang
telah mati, bukan-warganegara, pendaftaran lebih dari sekali, tidak
cukup umur lantas menjadi keputusan pilihan raya ditentukan oleh mereka
yang tidak berkelayaan atau 'pengundi hantu'.


Likas satu contoh yang jelas dan bagaimana Hakim Dato' Muhamad Kamil
Awang telah menolak keputusan pilihan raya tersebut. Amat malang
sekali, kerajaan BN telah mengambil peluang meminda Akta Pilihan Raya
1958 Seksyen 9A yang menjadikan Daftar Pemilih setelah diwartakan
'tidak lagi tertakluk atau boleh dicabar, dinilai semula di mana-mana
mahkamah'. Tegasnya pindaan ini telah memerangkap kita dengan Daftar
Pemilih yang tidak boleh dibersihkan kecuali oleh SPR sendiri.


Awal tahun ini setelah sekian lama bantahan pihak pembangkang khususnya
tentang kekotoran Daftar Pemilih, SPR mengakui bahawa telah digugurkan
seramai 180,000 pengundi kerana dikesani telah mati.


Seramai 22, 433 pengundi dikesani bukan dari warga negara ini kerana nama
mereka tidak pernah wujud dalam Jabatan Pendaftaran Negara. Persoalannya
berapa ramaikah mereka ini yang mengundi pada PRU ke-11 lalu dan berapa
ramai yang masih berada dalam Daftar Pemilih (DP) yang ada kini? Pengundi
jenis ini timbul lagi dalam pilihan raya kecil Ijok pada April 2007.


Isu Daftar Pemilih terbit lagi dengan pengakuan yang dibuat oleh beberapa
pengundi yang nama mereka tersenarai sementara mereka tahu mereka tidak
pernah berdaftar dan tidak pernah mengundi (contoh Ahirudin Atan iaitu
blogger Rocky Bru dan lain-lain). Dakwaan Pengerusi SPR bahawa Daftar
Pemilih adalah bersih langsung tidak berwibawa!


b) Kenyataan-kenyataan bercanggah yang sesekali menyokong usaha-usaha
reformasi pilihan raya dan sesekali mengatakan pilihan raya adalah bebas
dan adil, hanya pembangkang yang kalah yang membuat komplain, sama sekali
meletakkan peribadi ini mempunyai personaliti yang sukar untuk dipegang
komitmen dan dipertikai kewibawaannya.


Bernama 8 Januari 2007 telah melaporkan bahawa beliau menuntut supaya
kerajaan memberi ruang kepada SPR bahawa beliau menegaskan 'undang-undang
dan peraturan pilihan raya yang telah berusia 50 tahun ini tidak lagi
sesuai digunakan dan tidak lagi memjamin keadilan terus wujud bagi
semua'.


Beliau juga pada sesi itu menuntut antara lainnya 'kuasa mengawal dan
mencegah rasuah dan aktibiti membeli undi dalam musim pilihan raya, kuasa
mengatur keadilan dan kebebasan melapor bagi semua pihak yang bertanding
dalam media cetak dan elektronik, kuasa mengawal dan menghukum pihak
yang menyalahgunakan kemudahan awam untuk berkempen'.


Jelasnya seperti dakwaan beberapa pihak pembangkang dan awam bahawa
peribadi ini mempunyai 'lidah bercabang'. Paling mutakhir beliau
menyebutkan hanya 'regim yang ada kini yang mampu mentadbir negara ini'.


Beliau juga memberitahu rakyat yang beliau tahu tarikh pilihan raya
sementara Perdana Menteri sendiri belum tahu dan tidak memberi tahu
kepada kabinet.


Peribadi ini jelas sudah tidak koheren dan konsisten untuk menjawat
tugasan seorang Pengerusi yang sewajar menunjukan sikap 'independen atau
tidak memihaknya'. Kenyataan beliau tentang penghakiman Hakim Dato'
Muhammad Kamil tentang Likas sebagai 'bias dan prajudis' jelas
menunjukkan kecenderungan beliau, sekali gus menghina Mahkamah.


c) Rakyat dan pengundi masih segar dalam ingatan tentang Pilihan raya
Umum ke-11 sebagai yang dikatakan oleh pelbagai pihak termasuk ahli
akademik dan penganalisis politik sebagai paling kotor dalam sejarah
demokrasi tanah air. Pilihan Raya Umum ke-11 adalah di bawah kelolaan
dan tanggungjawab Rashid.


Beliau berpeluang untuk memperbaikki prestasi dalam 3 pilihan raya kecil
yang menyusul. Amat mendukacitakn bukan sahaja beliau terus menunjukkan
keangkuhannya bahkan keadaan semakin lebih buruk seperti yang diketahui
umum dalam pilihan raya kecil di Batu Talam, Machap dan Ijok.


Segala ucapan baik beliau dalam beberapa seminar tentang kebersihan
pilihan raya, kini dilihat sebagai omong-omong kosong yang tidak terbukti
dengan satu 'political will' untuk menjalankan penambahbaikan pilihan
raya.


'Padang yang sama-rata' masih jauh dari realiti dan cita-cita untuk
menyaksikan pilihan raya bebas, bersih dan adil akan menjadi lebih sulit
dan sukar dengan peribadi yang kini cukup dipertikaikan dan disangsikan
kewibawaannya untuk terus memimpin SPR.


Jangan sambung khidmat Rashid
Justeru kata Dr Dzulkifli, atas penghujahan ringkas yang Bersih kemukakan
pihaknya memohon budi bicara dan kewajaran Perdana Menteri supaya tidak
menyambung perkhidmatan Rashid.


"Meskipun laluan untuk beliau (Rashid) telah terbuka dengan kelulusan
pindaan kontroversi yang dibuat Parlimen pada 11 Disember yang lalu.


"Apakah Perdana Menteri mahu mengisytiharkan atau mengesahkan bahawa
negara ini sudah tidak punya peribadi yang memilikki kewibawaan dan
personaliti yang tidak dipertikaikan atau 'of impeccable integrity',
dengan izin?," tegasnya.


Sementara itu dalam sidang media yang sama, Sivarasa juga mengulangi
pendirian bahawa Berish tidak menolak kemungkinan mengadakan himpunan
aman untuk membantah sekiranya khidmat Rashid dilanjutkan.


Beliau turut menyelar keangkuhan kerajaan menggunakan ISA dalam
menyelesaikan isu berhubung tuntutan rakyat dan katanya tindakan itu
hanyalah menunjukkan keterdesakan kerajaan.


Bersih sama sekali menolak penggunaan ISA sebaliknya mahu kerajaan
mengadili mana-mana rakyat dengan menggunakan undang-undang yang sedia
ada, katanya.

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: