Monday, December 31, 2007

Anwar terima sokongan luar biasa dari akar umbi

TANGGAL 22 dan 23 Disember 2007 lalu, kami melalui perjalanan yang penuh
bermakna daripada ibunegara ke desa di utara yang kononnya dikenali
sebagai 'Koridor Utara' untuk bersama menyertai Dato' Seri Anwar Ibrahim
di dalam beberapa siri ceramah dan program masyarakat.

Perjalanan ini membawa kami ke Permatang Pauh, Simpang Empat, Seberang
Jaya, Kampung Padang Benggali, Kulim, Teluk Air Tawar, Taman Lobak, Pekan
Lama Sg Petani dan Kota Sarang Semut, Alor Star. Kembara ini penuh
bermakna kepada kami, walaupun satu ketika dahulu kami juga merupakan
anak desa, tetapi perjalanan kali ini memberi satu pengajaran kepada kami
untuk merasai realiti kehidupan penduduk desa zaman ini.

Di Permatang Pauh, kami melawat Wisma Yayasan Aman di mana Dato' Seri
Anwar berucap di hadapan 300 orang hadirin serta menerima penyertaan 250
orang ahli baru keADILan. Walaupun sederhana, Yayasan Aman lengkap dengan
kemudahan termasuk asrama dan makmal komputer dengan kemudahan Internet.
Bangunan ini juga mempunyai sebuah perpustakaan dan kemudahan lain
seperti dewan serbaguna. Di sinilah, Sdr Din Merican telah 'ditabal'
sebagai ahli Anwar Ibrahim Club (AIC), pada umur 68 tahun, Sdr Din
Merican menjadi ahli yang tertua AIC. Tetapi sepertimana kata-kata ramai,
walaupun berusia 68 tahun, Din masih tetap segak dan bergaya serta
semangat menentang ketidakadilan.
Di setiap majlis, kami menyaksikan kehadiran orang ramai yang sungguh
menganggumkan untuk mendengar mesej daripada Dato' Seri Anwar mengenai
perpaduan kaum, tolak ansur, keadilan dan pengurusan kerajaan yang
bertanggungjawab.
Anwar bukan pro-Hindraf
Beliau memberitahu hadirin, beliau yang merupakan pemimpin berbangsa
Melayu dan beragama Islam, beliau tidak akan sekali-kali mengenepikan
masalah bangsa Melayu khususnya yang mana berhubung kait dengan artikel
153 Perlembagaan Malaysia, pada masa yang sama beliau juga akan bersikap
adil dan prihatin terhadap penderitaan serta kemiskinan kaum India dan
Cina yang diketepikan. Inilah prinsip keadilan yang perlu ada pada setiap
insan. Tiada pemimpin yang layak menerajui negara bertuah ini jika dia
tidak berdiri di atas prinsip keadilan.
Sudah tentunya beliau bukanlah pro-Hindraf, beliau cuma menyokong hak
HINDRAF yang dijamin oleh perlembagan untuk berhimpun secara aman. Beliau
juga berjanji untuk membela nasib kaum India yang sedang mengalami masalah
ekonomi dan sosial yang serius kerana dipinggirkan oleh Kerajaan UMNO dan
Barisan Nasional pimpinan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ceramah beliau di Taman Lobak, Lunas dihadiri lebih kurang 7000 orang,
majoritinya kaum India. Mereka menyambut kehadiran Dato Seri Anwar dengan
penuh semangat, tampak di wajah mereka satu harapan untuk pemimpin rakyat
ini membela nasib mereka.
Dato' Seri Anwar memberikan mereka beberapa contoh kes rasuah besar
pemimpin negara dan salah guna kuasa, serta kelemahan pentadbiran
kerajaan hari ini. Beliau berkata, pemimpin UMNO dan Barisan Nasional
terlalu sombong dan bongkak serta tidak langsung mempedulikan masalah
rakyat.
Jumpa intelektual Melayu
Di Kulim, Kedah, beliau juga bertemu dengan sekumpulan golongan
intelektual Melayu Islam untuk sesi dialog membincangkan masa hadapan
Melayu serta rakyat Malaysia berkenaan Agenda Ekonomi Malaysia yang
beliau kemukakan. Beliau berkata, agenda ini adalah jalan baru menuju
kearah kemajuan negara serta bangsa Melayu di abad ke-21 ini.

Di Teluk Air Tawar, dimana Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat ini berucap
dihadapan 5000 orang, beliau memberitahu bahawa pimpinan UMNO peringkat
akar-umbi telah melancarkan kempen kotor yang menyatakan beliau sekarang
merupakan seorang yang pro-India dan menentang kaum sendiri.
Beliau memberi jaminan kepada mereka yang beliau tidak akan berganjak
dari perjuangan beliau untuk membela nasib kaum sendiri. Tetapi sebagai
seorang Muslim, beliau dibesarkan untuk percaya bahawa keadilan harus
ditegakkan untuk seluruh rakyat Malaysia kerana prinsip keadilan inilah
yang menjadi tiang utama keharmonian dan kestabilan negara.
Ucapan beliau disambut baik, kami menanyakan pendapat beberapa orang
hadirin dan mereka sekarang sedar bahawa UMNO telah melancarkan satu
kempen kotor desperado menentang Dato' Seri Anwar.
30,000 dengar ceramah

Ceramah Perdana di Kota Sarang Semut pada malam 23 Disember menyaksikan
puncak lawatan Dato' Seri Anwar ke Utara. Lebih kurang, 30, 000 hadirin
yang majoritinya Melayu hadir membajiri Markas PAS Kedah untuk mendengar
amanat daripada Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Tuan Guru Dato' Seri Hj.
Abdul Hadi Awang. Pemerhatian kami, Dato Seri Anwar berada di kemuncaknya
apabila beliau membuatkan hadirin duduk mendengar dengan teliti dan
memberikan respon yang baik kepada ucapanya walaupun sudah lewat malam.
Beliau membangkitkan isu rasuah, salahguna kuasa dan kelemahan
pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi. Beliau menyeru rakyat kali ini untuk
memberikan undi mereka sebaik-baiknya supaya kita boleh bergerak ke satu
era baru di bawah sebuah kerajaan yang mengutamakan khidmat untuk rakyat.

Perjalanan kali ini penuh dengan memori bermakna. Tidak selalu kita ini
orang Bandar sedar bahawa rakyat di desa sungguh istimewa, setia dan
punyai semangat untuk berkerja keras. Mereka adalah rakyat yang telah
lama ditindas oleh pemimpin yang korup.
Kami juga sedar bahawa mereka tidaklah senaif mana, mereka mampu
berfikir untuk diri mereka mana yang baik dan mana yang buruk. Jika
diberikan input dan fakta kepada mereka, mereka mampu membuat keputusan
yang bijak untuk diri, keluarga dan komuniti mereka.
Suasana kali ini sungguh kuat untuk satu perubahan, kita mesti mengambil
peluang keemasan ini untuk menjadikan perubahan itu satu realtiti semasa
pilihanraya umum ke 12 yang mendatang. Inilah masanya untuk kita
mencampakkan lambing dacing ke Laut China Selatan.

* Rahimi Osman adalah salah seorang Pembantu kepada Dato' Seri Anwar
Ibrahim dan Din Merican merupakan Pengarah Program Parti Keadilan Rakyat


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: