Monday, December 10, 2007

Ketua Hakim Negara Yang Baru

Ketua Hakim Negara Yang Baru

Setelah negara & dunia digemparkan dengan pendedahan video klip VK
Lingam & Tun Fairuz, kini terjawab sudah persoalan lantikan ketua hakim
yang baru, rakyat rata-ratanya mahukan perubahan supaya institusi
kehakiman yang korup & parah ini dapat dipulihkan, kalau tidak kepada
siapa lagi rakyat hendak mengadu nasib.

Tahniah kepada Datuk Abdul Hamid di atas lantikan. Buatlah perubahan
walaupun umur Datuk sudah pun hampir sampai ke umur pencen wajib hakim
tidak lama lagi.

PUTRAJAYA 5 Dis. - Datuk Abdul Hamid Mohamad dilantik sebagai Ketua
Hakim Negara manakala Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zaki Tun Azmi
menggantikannya sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan
hari ini berkata, pelantikan Abdul Hamid, 65, berkuat kuasa 1 November
lalu, sementara tarikh kuat kuasa pelantikan Zaki, 62, pula akan
ditetapkan kemudian.
Beliau berkata, pelantikan tersebut dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara
122B Perlembagaan Persekutuan.

"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri
dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja berkenan melantik Datuk
Abdul Hamid Mohamad, Presiden Mahkamah Rayuan, sebagai Ketua Hakim Negara
Mahkamah Persekutuan berkuat kuasa 1 November lalu,"katanya.

Menurut Perdana Menteri, Mahkamah Persekutuan sedang berurusan dengan
Istana Negara untuk menetapkan majlis penyampaian watikah pelantikan
kepada kedua-dua hakim kanan itu.

Majlis mengangkat sumpah dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah
setia oleh kedua-dua hakim kanan tersebut akan dilakukan di hadapan Yang
di-Pertuan Agong kelak,"katanya.

Utusan Malaysia difahamkan majlis itu akan diadakan pada 11 Disember
ini.
Abdul Hamid memangku jawatan Ketua Hakim Negara sejak 1 November lalu
berikutan persaraan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada 30 Oktober
lepas.

Ahmad Fairuz sebelum ini dikaitkan dengan rakaman klip video mengandungi
perbualan telefon antara seorang peguam terkemuka dan seorang hakim kanan
bagi mengatur pelantikan hakim di negara ini.

Berikutan pendedahan rakaman itu, kerajaan pada 25 September lalu telah
menubuhkan satu panel khas bebas untuk menyiasat kesahihan klip video
itu.
Panel itu dianggotai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd.
Noor; aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah
Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.

Mereka menyiasat klip video itu selama sebulan dan telah mengemukakan
cadangan kepada kerajaan baru-baru ini.

Berikutan itu, kerajaan pada 16 November lalu mengumumkan penubuhan
sebuah
Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rakaman klip video tersebut.Abdul
Hamid yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang ialah Ketua Hakim
Negara yang kedua belas.
Ketua Hakim Negara yang pertama ialah Tun Sir James Beveridge Thomson
(1963-1966) diikuti Tun Syed Sheikh Hassan Barakbah (1966-1968), Tun
Mohamed Azmi Mohamed (1968-1974), Tun Mohamed Suffian Mohamed Hashim
(1974-1982), Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff
Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah (1982-1984), Tun Mohamed Salleh Abas
(1984- 1988), Tun Abdul Hamid Omar (1988-1994), Tun Mohamed Eusoff Chin
(1994-2000), Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah (2000-2003), Tun Ahmad Fairuz
Abdul Halim (2003-2007) dan Datuk Abdul Hamid Mohamad.

http://www.pasjohorbahru.com


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: