Wednesday, December 26, 2007

Pemuda Melayu dipenjara, Hindraf dilepaskan!

Dec 25, 07

KOTA BHARU, 25 Dis (Hrkh) - Di manakah keadilan? Cuba anda bayangkan
mangsa yang cedera ditembak polis tidak dibenarkan ikat jamin oleh
mahkamah, sedangkan 31 lelaki yang pernah dituduh cuba membunuh seorang
penjawat awam dilepaskan.-->

Inilah nasib malang yang menimpa Suwandi Abdul Ghani dan Mohamad Azman
Aziz yang kini ditahan di Penjara Terbuka Marang setelah Hakim Mahkamah
Sesyen, Hassan Abdul Ghani pada 9 Disember lalu tidak membenarkan mereka
diikat jamin.


Manakala anggota Hindu Action Right Force (Hindraf) yang ditahan polis
semasa perhimpunan di Kuala Lumpur, 25 November dibebaskan Mahkamah
Sesyen Shah Alam.


"Ini bukan soal perkauman, tetapi kita mahu menuntut di mana keadilannya.
Dua anak muda Melayu yang ditembak polis sehingga cedera parah tidak
dibenarkan ikat jamin.


"Manakala dalam kes lain di mana anggota Hindraf yang dikatakan
mendatangkan kecederaan kepada angota polis pula dibebas. Mana
keadilannya dalam isu ini," kata bekas anggota Majlis Tertinggi Umno,
Dato' Ibrahim Ali.


Sebagaimana juga kata Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar dua orang awam
yang ditembak polis didakwa serta dipenjarakan tanpa ikat jamin,
seolah-olah menggambarkan Malaysia menggunakan hukum 'rimba'.


Pada kejadian berdarah di Batu Burok 8 September lalu dua pemuda Melayu,
Muhdmmad Azman Aziz, 21 dan Suwandi Abd Ghani, 38, ditembak seorang
anggota polis pada satu perhimpunan.


Difahamkan tembakan secara rambang tersebut menebusi dada mereka,
manakala Suwandi terpaksa dikejarkan ke Hospital Universiti Sains
Malaysia di Kota Bharu bagi mengeluarkan peluru yang terbenam dalam
dadanya.


Ibrahim berkata, dua tragedi yang berlaku itu diselesaikan secara tidak
adil kerana Barisan Nasional (BN) mahu menarik sokongan orang India pada
pilihan raya umum akan datang.


"Jelas isu di antara Batu Burok dan Kuala Lumpur bermotif politik kerana
ia diselesaikan secara tidak adil. Saya bukan mahu menghasut tetapi
perkara seperti itu perlu diberitahu kepada rakyat," katanya pada ceramah
di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke IV di sini, baru-baru ini.


Mengulas isu yang sama Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa
berkata, dua isu yang berlaku di Kuala Lumpur dan Batu Burok
memperlihatkan kerajaan telah mempengaruhi sistem perundangan di negara
ini.


Ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam sempena pungutan derma untuk
Tabung pilihan Raya PAS Kota Bharu baru-baru ini katanya, sistem
perundangan di negara ini boleh ditarik atau ditolak sesuka hati.


"Pada awalnya saya bayangkan peserta perhimpunan Hindraf akan mengalami
nasib sama seperti dua pemuda Melayu di Batu Burok yang tidak dibenarkan
ikat jamin."


"Lebih menghairankan lagi tuduhan yang dikenakan terhadap Suwandi dan
Azman juga sudah agak lewat," ujarnya beliau.


Oleh itu, Nasharuddin berharap Perdana Menteri memastikan dua pemuda
Melayu juga dibebaskan seperti yang berlaku terhadap peserta Hindraf.


"Saya bukan mahu membangkitkan soal perkauman, tetapi isu yang paling
jelas di sini bagaimana keputusan pentadbiran perundangan itu berlainan
antara kes di Batu Buruk dan Batu Caves," ujarnya.


Suwandi dan Azman kini didakwa di bawah seksyen 149 Kanun Keseksaan yang
mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima tahun atau denda.


Sementara itu dalam majlis yang sama, anggota jawatankuasa KeADILan Pusat,
N Gobalakrishnan berkata, dalam tempoh sebulan beliau sudah empat kali
ditahan polis sehingga terpaksa bermalam di lokap dan penjara.


Menurutnya sepanjang ditahan beliau ditempatkan di lokap Balai Polis di
Shah Alam, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur , selain itu turut ditahan di
penjara Sungai Buluh dan Pudu.


Kata beliau biarpun diugut kerajaan BN dengan menahan sesuka hati, namun
beliau tidak pernah gentar untuk terus berjuang bagi menegakkan keadilan
di negara ini.


Beliau juga menjelaskan perhimpunan Hindraf pada 25 November lalu
sebenarnya bagi menuntut pampasan daripada kerajaan Britain selepas
membawa masuk orang India ke ladang kira-kira 100 tahun lalu.


"Pada 1907 masyarakat India dibawa bekerja di ladang di Setiawan Perak
sehingga menyebabkan ramai yang susah sehingga sekarang. Hindraf telah
memfailkan kes itu di England dengan menuntut kerajaan Britain membayar
sebanyak 1 juta paun Sterling kepada setiap orang India," katanya.


Beliau juga memberitahu Hindraf tidak pernah memusuhi orang Melayu
sebaliknya bermusuh dengan pemimpin Umno yang menganiayai mereka.


Menurutnya pada zaman awal kemerdekaan di negara ini terdapat 1,000
sekolah Tamil, namun sekarang sudah tinggal 542 buah.


Kata beliau, perjuangan sebenar Hindraf telah diselewengkan media arus
perdana sehingga menyebabkan masyarakat tidak faham perkara sebenar yang
berlaku.


Hadir sama pada ceramah itu, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz
Nik Mat dan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Dato' Wan Abdul Rahim Wan
Abdullah. - mks. -->

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: