Friday, December 28, 2007

Kita tonton sahaja keruntuhan kubu terakhir Melayu?

Oct 06, 07

BERNAMA melaporkan, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri
Abdul Aziz Shamsudin berkata, program-program pembangunan bidang pertanian
dan penternakan akan diberikan tumpuan oleh Risda dan Felcra dalam usaha
menjayakan pembangunan Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) nanti dalam
usaha meningkatkan pendapatan pekebun dan petani di kawasan terbabit.

Jika dibaca pada permukaannya sahaja, apa yang dinyatakan oleh Abdul Aziz
itu memang menjanjikan kesenangan dan kebahagiaan. Siapa tidak mahu
pembangunan?


Seperti yang digambarkan akhbar Siasah keluaran terbaru, hati rakyat di
Pantai Timur mungkin dibuai penglipurlara baru. Memang, sejak akhir-akhir
ini, ECER menjadi dendangan baru para pemimpin kerajaan. Seolah-olah,
gagasan itu adalah habuan dari syurga kepada penduduk Pantai Timur.
Mereka bagaikan berlumba-lumba mencanangkan ECER.


Sebuah akhbar harian baru-baru ini melaporkan, Timbalan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangunan ECER yang meliputi
Terengganu, Kelantan, Pahang dan daerah Mersing di Johor akan merapatkan
jurang pertumbuhan ekonomi antara negeri-negeri itu dengan kawasan Pantai
Barat Semenanjung.


''Negeri di Pantai Timur ini, kalau tidak dilakukan suatu usaha yang lebih
daripada biasa, kadar pertumbuhan ekonominya mungkin akan lebih rendah
berbanding negeri di sebelah Pantai Barat," katanya.


Hebat! Tentu rakyat di Pantai Timur tak mahu ketinggalan di belakang
negeri-negeri di sebelah Pantai Barat. Mereka pasti mahukan pertumbuhan
ekonomi yang sama dan setaraf.


Jika kenyataan-kenyataan itu dipegang sepenuhnya, menurut Siasah,
menjelang perasmian ECER bulan ini, rakyat di Pantai Timur bolehlah
berkira-kira untuk memetik bulan dan bintang.


Tetapi, berapa ramaikah orang-orang Melayu Pantai Timur yang sedar dan
tahu bahawa antara perancangan utama ECER ialah pengambilalihan 66,736 km
persegi tanah rezab Melayu yang merupakan 40 peratus kawasan ECER? Sebuah
badan yang didakwa badan amanah akan ditubuhkan.


Blogger Maverick SM (maverickysm.blogspot.com - Cakap Tak Serupa Bikin)
adalah orang yang pertama yang dikesan melahirkan kecurigaan terhadap
selera besar di sebalik gagasan ECER itu.


Siasah membangkitkan, pemilik-pemilik tanah rezab Melayu tersebut hanya
mempunyai dua pilihan. Pertama, pemilik menukarkan tanah mereka dengan
unit-unit saham dalam amanah tersebut. Kedua, menjual terus tanah mereka
kepada amanah itu. Apa ni?!!


Memang benar ECER akan diuruskan oleh Petronas, sebuah syarikat berkaitan
kerajaan (GLC). Tetapi, saham GLC juga boleh dimiliki oleh syarikat
asing, terutama syarikat-syarikat dari Singapura yang mengamuk seperti
singa bulur untuk menelan syarikat-syarikat dalam negara ini. Contohnya,
lima peratus saham TM Holdings pernah dijual kepada sayap pelaburan
strategik Singapura, Temasek Holdings.


Pernahkah para pemimpin yang riuh-rendah dengan projek ECER itu memikirkan
nasib yang mungkin menjerat pemilik tanah-tanah rezab Melayu itu?


Adakah mereka tidak risau apa akan terjadi kepada badan amanah yang akan
mengambilalih 66,736 km persegi tanah rezab Melayu itu jika tiba-tiba
syarikat asing termasuk dari Singapura mempunyai pengaruh yang besar ke
atas Petronas yang menguruskan ECER?


Persolannya, sebesar mana sahaja suara badan amanah itu jika syarikat
asing mempunyai pengaruh yang besar dan tak terlawan?


Kedah dan Perlis sudah disiytiharkan sebahagian dari Koridor Utara.
Korporat yang menguruskan Koridor Utara ialah Sime Darby. Sime Darby
semakin muktamad ditelan oleh Synergy Drive. Bagaimana kalau satu hari
nanti Synergy Drive ditelan oleh sang bulur dari luar?


Bulan ini, akan dibagakkan pula gagasan yang dipanggil ECER atau Koridor
Timur - lantaklah apa pun namanya.


Penubuhan apa jua koridor datang dengan aktanya yang tersendiri. Laman web
Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris) melaporkan
Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor mengakui bahawa terdapat
kemungkinan bahawa Akta IRDA 664 tidak digubal dengan tatacara
sepatutnya.


Menteri Besar Johor itu menjawab isu yang dibangkitkan oleh ProWaris
mengenai hakikat bahawa akta itu bercanggah dengan Perlembagaan
Persekutuan yang bercirikan demokrasi berpelembagaan kerana Akta IRDA 664
dan Pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) mengenepikan hak Bangsa
Melayu, menggugat kesucian agama Islam dan mencabar kedaulatan Raja dan
Negara.


Siapa boleh menolak hakikat bahawa akta yang dibuat untuk Koridor Utara
dan Koridor Timur juga mempunyai ciri-ciri yang sama?


Persoalan yang lebih besar untuk difikirkan ialah apa akan terjadi kepada
kubu terakhir orang-orang Melayu? Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu
ialah kubu terakhir orang-orang Melayu. Lebih tepat lagi, tanah-tanah
rezab Melayu walau di mana pun, adalah kubu terakhir orang-orang Melayu
dari segi wilayah. Adakah kita mahu menjadi penonton sahaja kepada
keruntuhan kubu terakhir Melayu di Kedah, Perlis, Kelantan dan
Terengganu, lebih-lebih lagi di tanah-tanah rezab Melayu?


Ini bukan soal perkauman. Mempertahankan kepentingan bangsa sendiri,
selagi tidak merampas dan menyamun hak bangsa lain, tidak sepatutnya
menjadi satu kesalahan.


Lebih dari itu, adakah bangsa-bangsa lain dalam negara ini akan hidup
senang-lenang, mewah dan makmur jika orang-orang Melayu akhirnya miskin,
merempat dan mengakibatkan pelbagai gejala sosial?


Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu pernah menyatakan, kita tidak akan
senang kalau jiran kita susah. Kalau mereka senang, katanya,
sekurang-kurangnya mereka tidak akan meminta-minta kalaupun mereka tidak
memberikan apa-apa kepada kita.


"Kita boleh nampak dengan jelas, bila Indonesia menghadapi masalah ekonomi
misalnya, kita pun akan dapat tempiasnya," kata beliau memberikan contoh.
(http://penarikbeca.blogspot.com/)


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: