Friday, December 28, 2007

Stop Arabising Malay Culture?

TREND MENGURANGKAN RASA BERDOSA

Saya benar-benar kebingungan. Bagi seorang yang hidup 11 tahun
diperantauan, kembali ke Malaysia di era seperti hari ini, memang
membingungkan. Semasa di Ireland, saya sudah mendengar tempias American
Idol yang sesekali menghiasi dada akhbar Irish Independent dan lain-lain.
Talk of the town kadangkala diisi dengan isu siapakah yang sepatutnya
mewakili Ireland ke acara Eurovision Contest yang sememangnya tempat
pertama pertandingan itu sinonim dengan penyanyi dari Ireland zaman
berzaman khususnya penyanyi seperti Johnny Logan. Namun ia hanya acara
biasa. Kerja-kerja harian orang ramai berlangsung seperti biasa... tiada
yang luar biasa.

Saya terkasima semasa bersiap-siap untuk pulang ke tanah air for good,
ketika membaca pengumuman nama Rais Yatim diberikan peranan sebagai
Menteri Kebudayaan kabinet Pak Lah yang baru. Hairan bin Ajaib, apa yang
saya kenal tentang Rais Yatim, menimbulkan tanda tanya. Mengapakah
seorang menteri yang begitu genius khususnya dalam hal ehwal berkaitan
undang-undang, tiba-tiba ditempatkan sebagai menteri di sebuah
kementerian yang menguruskan hal ehwal zapin dan joget, pesta budaya dan
orang filem Malaysia yang sering berbalah sesama sendiri. Adakah ini
menjadi langkah ke arah memandulkan politik Rais Yatim?

Namun, kehairanan saya terjawab apabila saya membaca temuramah bersama
Rais Yatim di akhbar The Star bersama HL Wong [17 April 2004] di bawah
tajuk "Stop 'Arabising' Malay Culture" atau "Berhenti MengArabkan Budaya
Melayu". Tegasnya, temuramah itu menggambarkan misi Rais Yatim yang mahu
mengembalikan semula identiti Melayu yang padanya telah terpadam oleh
proses Islamisasi yang diterjemahkannya sebagai Arabisasi. Antara budaya
Melayu yang mahu ditonjolkan kembali adalah budaya tari menari. Orang
Melayu tak mungkin dapat dipisahkan daripada tari menari kerana ia telah
mendarah daging di dalam tubuh kita, tegas beliau.

Nampaknya apa yang dinyatakan oleh beliau benar-benar terealisasi di dalam
masyarakat kita. Usahlah pergi jauh, kampung saya sendiri telah terasa
kesannya. Seingat saya, kali terakhir kampung saya dihiruk-pikukkan oleh
Joget Lambak ialah semasa saya masih di bangku sekolah rendah. Itu
bererti Joget Lambak telah pupus di kampung saya semenjak 20 tahun yang
lalu. Tetapi pupusnya Joget Lambak bukanlah kerana kampung saya telah
diArabkan seperti bangsa Sudan. Bangsa Sudan membuang bahasa asli mereka
dan mengambil sepenuhnya Bahasa Arab sebagai bahasa pertuturan mereka.
Kampung saya masih pekat 'kome', 'mike' dan sambal belacannya. Namun yang
pasti, apabila masjid makin ramai yang datang, perempuan makin ramai yang
tutup aurat, emak ayah makin gemar menghantar anak ke kelas fardhu 'ain,
maka dengan sendirinya Joget Lambak terketepi dan terhakis dari
keMelayuan orang kampung saya. Tetapi saya kekal sebagai salah seorang
daripada beberapa orang anak kampung yang reti Bahasa Arab.

Tetapi, selepas 11 tahun saya meninggalkan kampung, saya dikejutkan dengan
suatu pengalaman pahit di malam itu. Hanya beberapa ratus kaki dari rumah
saya, kenduri kahwin jiran yang siang tadi diTahlilkan dan di'doa
selamat'kan oleh Imam kampung, malam ni berjoget terlambak-lambak.
Berdentam-dentum dram dan gitar, anak-anak muda terloncat-loncat dan
lebih mendukacitakan saya, ia berlaku bersebelahan masjid. Aduh...
gelisah saya sepanjang malam di samping anak-anak saya yang tidak boleh
tidur akibat kebisingan mereka yang berlanjutan hingga ke tengah malam.
Walaupun anak saya lahir di bandar yang penuh orang mabuk dan saling
berbunuhan sesama sendiri (di Belfast), namun fitrahnya masih merintih
kedamaian yang
dibunuh 'orang kahwin' malam itu.

RAKYAT KETAGIH HIBURAN

Fenomena hiburan melampau sememangnya menakutkan saya. Kalau di Ireland,
rancangan realiti TV mencari bakat baru berlangsung satu demi satu,
tetapi di Malaysia, lima program berjalan serentak. Ada untuk remaja, ada
untuk kanak-kanak, ada untuk ibu bapa dan ada juga untuk orang tua yang
sudah senja. Lagu-lagu lama muncul kembali supaya jiwa rakyat yang hari
ini telah beruban, terusik kembali untuk mengenang zaman remaja mereka di
taman-taman bunga. Semua berhibur, semua berkhayal dan semua terbang ke
cloud nine masing-masing.

Iklan mesti menghiburkan, pendidikan mesti menghiburkan, ring tone telefon
bimbit juga mesti berlagu hiburan, malah ceramah agama juga mesti ada
unsur hiburan. Mana-mana agenda yang tiada unsur hiburan dengan
sendirinya terpinggir. Kehidupan masyarakat kita sudah 'entertainment
centered'. Segala keperluan hidup diarahkan kepada hiburan malah wang
yang dicari dengan penat lelah, amat mudah ditaburkan kepada sms demi
memenangkan idola masing-masing. Akhirnya terhibur menjadi tujuan hidup!
Mana-mana yang tidak menghiburkan, tiada makna dan tiada nilai.

Namun, mungkin akibat desakan kemahuan Islam yang masih ada nyawa,
suara-suara menegur masih kedengaran walaupun tidak begitu diendahkan.
Mufti berfatwa, pendakwah menegur, pemimpin mengeluh. Namun untuk
berundur daripada dunia hiburan, jiwa sudah ketagihan. Bagai penagih yang
keluar masuk pusat serenti, begitulah rakyat yang sudah ketagih hiburan.
Sembahyang, sembahyang juga. Tapi kemudian kembali berhibur. Tarian dan
lagu-lagu pathetic terus didendangkan, namun nama-nama Tuhan diselitkan
jua. Akhirnya muncullah suatu trend baru dalam masyarakat kita di mana
Islam menjadi kosmetik paling murah tapi laku.

Persoalannya, salahkah berhibur? Tentu tidak salah... namun hiburan yang
bagaimana? Mentor saya memberikan analogi yang menarik. Katanya, nasyid
umpama iklan. Iklan yang berkesan adalah iklan yang berjaya meningkatkan
penjualan produk. Tetapi jika yang dikenang hanyalah iklan dan kecantikan
paras rupa modelnya, sedangkan barangan tidak terjual malah tersisih dari
pasaran, maka iklan itu sudah tersasar. Produk yang diiklankan, pelakon
iklan yang naik saham!

Nasyid menjadi wadah 'mempromosikan' Islam dengan citarasa yang
kontemporari. Nasyid bertujuan 'memperkenalkan' Tuhan. Namun bagi yang
mendengar nasyid cintan cintun dan rap sampah sarap hari ini, berapa
ramai yang 'membeli' Tuhan? Adakah cinta kepada Ilahi meningkat selepas
menghayati nasyid seperti itu? Walaupun ada penyanyi wanita tergamak
mengheret jubah dan tudung ke pentas tari menari, atau yang lelaki
menyelitkan kalimah-kalimah Arab di celah caca merba nyanyiannya itu,
persoalannya yang manakah yang laku? Adakah Islam semakin laku? Adakah
Tuhan semakin dibesarkan? Amat pelik, jika nasyid itu kononnya
mempromosikan Islam tetapi Islam tetap tidak laku di pasaran. Jika ia
sebuah iklan, maka nasyid hari ini menjadi contoh iklan yang tidak
berkesan. Iklan laku, barang tak
laku. Nasyid laku, Tuhan tetap terpinggir dan dilupakan.

APAKAH SEMUA INI?

Inilah soalan yang membingungkan saya. Kita melihat bagaimana menyebut
kalam-kalam iman seperti Insya Allah, Alhamdulillah, Syukur, Ameen dan
lain-lain sudah menjadi seperti adat. "Semoga Tuhan memurahkan rezeki
saya dalam bidang ini!", Tuhan mana yang mengurniakan kemurahan rezeki
dalam bentuk maksiat dan kebinasaan jati diri? Kepada Tuhan manakah, si
artis tadi berdoa? Habis, apa ertinya mereka yang berpenat lelah melawan
hawa nafsu dan syaitan dalam kehidupan sedangkan dalam keadaan menaja
maksiat, Tuhan masih mengurniakan kemurahan rezeki? Saya masih ingat
bagaimana salah sebuah kumpulan ditemuramah oleh televisyen tentang
rahsia kejayaan dan keyakinan diri mereka. Mereka menjelaskan bahawa
mereka ada sejenis meditation. Apabila diminta membuat demonstrasi,
mereka yang terdiri daripada beberapa lelaki dan seorang perempuan
berpegangan tangan membentuk bulatan dan... AL-FATIHAH! Selepas itu ketua
kumpulan membacakan doa sambil menadah tangan, memohon supaya Allah
melindungi band mereka dari kekalahan dan mala petaka bahaya. Terpegun
saya menontonnya. Wartawan tersebut pula mengucapkan syabas kerana
walaupun kumpulan tersebut menyanyikan lagu kontemporari dan moden,
tetapi masih tidak lupakan agama!

Bingung saya memikirkan hal ini. Apakah sebenarnya kefahaman mereka
tentang Islam? Adakah mereka benar-benar memaksudkan bahawa Allah, Tuhan
Muhammad, Tuhan Abu Bakr, Tuhan Imam Syafie, adalah Tuhan yang sama boleh
mengurniakan keredhaanNya kepada acara henjut-henjut mereka di dalam
konsert tersebut? Apakah pelajar-pelajar Akademi Fantasia benar-benar
percaya bahawa di alam bukan Fantasia, Allah SWT telah menghalalkan
perlakuan mereka hanya kerana sebelum jamming, mereka memberikan salam?
Seperti orang yang makan daging yang unknown, baca sahaja Bismillah dan
baham! Lantaklah daging tu babi ke atau lembu mati dilanggar kereta, yang
penting tadi Bismillah telah dibaca. Err... saya benar-benar kebingungan.

Akhirnya, saya sampai kepada suatu kesimpulan. Saya terkenangkan kepada
hadith riwayat Huzaifah, bahawa Nabi Muhammad SAW telah memperingatkan
bahawa di akhir zaman, kebenaran itu masih bertahan tetapi bezanya dengan
Islam di zaman silam ialah, Islam di akhir zaman ini berdebu, samar-samar
dan berasap. Jika realiti di akhir zaman ini begitu, ini bererti Islam
tidak boleh dinilai dengan pandangan mata biasa kerana di dalam suasana
yang berdebu lagi berasap, dua biji mata di kepala ini akan
kemerah-merahan, kabur, berair dan kelam penglihatannya.

Sesungguhnya yang perlu dicelikkan demi mencari kebenaran di akhir zaman,
adalah mata hati! Hati telah kenal Tuhan kerana dia datang dari Tuhan.
Dia tahu di mana nilai kebenaran. Sebab itu Nabi Muhammad SAW menyuruh
kita meminta pandangan hati dalam menilai kebenaran. Dosa itu adalah apa
yang mendatangkan keresahan di hati dan kebaikan pula mententeramkan
jiwa. Asalkan hati itu bersih, ia akan meilhat dengan pandangan Allah.
Pandangan Allah itu adalah world view yang berasaskan tauhid. Tauhidic
Mindset itu adalah suatu pandangan yang menilai kehidupan ini berasaskan
pandangan Tuhan. Apa yang baik di sisi Allah, baiklah padanya, dan apa
yang keji di sisi Allah, kejilah terhadap dirinya. Hakikat ini tidak
dapat dicapai oleh mata kasar, namun yang perlu disuburkan adalah pada
mata di hati yang kenal Tuhan dan tahu ke mana ia patut pergi.

Oleh yang demikian, adanya rap dan pop yang dinasyidkan, adanya penari dan
penyanyi yang bertudung dan berjubah, adanya juara Akademi Fantasia yang
berlatar belakangkan agama, hanyalah kosmetik Islam. Kita masih mahu
berhibur tetapi kita sedar yang kita sudah terlalu terhibur. Kita sedar
hiburan kita sekarang adalah dosa. Maka dengan adanya kosmetik Islam
tersebut ia dapat mengurangkan rasa berdosa. Sama seperti seorang artis
yang pergi umrah. Menangis-nangis di depan Kaabah dan kemudian balik ke
KL berdansa semula. Namun diceritakan kepada wartawan perasaannya semasa
berumrah itu. Sedangkan tidak sedikit pun kemungkarannya yang
ditinggalkan. Namun, dengan menggunakan hasil nyanyian itu untuk
mengerjakan umrah, ia dapat mengurangkan rasa berdosa tersebut. Sama juga
seperti orang yang menyamun harta orang lain, menipu dan menindas,
kemudian sedekah sedikit hasil kerjanya itu kepada rumah kebajikan.
Kurang sedikit rasa berdosa.

Sedangkan apa yang saya belajar, apa yang Imam al-Ghazali tegaskan di
dalam pengajarannya ialah: Membuat sesuatu yang tujuannya adalah untuk
sekadar mengurangkan rasa berdosa sedangkan diri masih dibiarkan
bergelumang dengan dosa, adalah DOSA YANG PALING BERDOSA! Allah..
selamatkan kami dari fitnah akhir zaman.

@ ABU SAIF
Cheras, Kuala Lumpur
17 Ogos 2005


"Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara"
[Usman Awang]

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: