Wednesday, December 26, 2007

Kenyataan Media ABIM

Kenyataan Media ABIM

21 Januari 2006 | 21 Zulhijjah 1426


MENDUKUNG PENDIRIAN PERDANA MENTERI MENGENAI PERKARA 121 (1A)
PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN


ABIM ingin melahirkan rasa sokongan kepada kenyataan tegas Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi bahawa Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan
yang berkaitan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah tidak
akan dipinda. Penegasan dan penghormatan terhadap keperluan bidangkuasa
eksklusif diberikan kepada Mahkamah Syariah merupakan unjuran keutamaan
dalam merungkai konflik perundangan negara apabila berlaku pertembungan
di antara undang-undang sivil dan syariah, apatah lagi konflik yang
ditimbulkan tersebut sememangnya berada di bawah bidangkuasa Mahkamah
Syariah.

Oleh itu, ABIM mencadangkan beberapa inisiatif yang perlu diambil untuk
mengukuhkan lagi kedudukan perlembagaan yang melindung kedudukan rakyat
yang beragama Islam tetapi juga rakyat yang bukan beragama Islam.

a. Meneliti ruang teknikal undang-undang yang ada untuk orang bukan
Islam mengemukakan fakta dan berhujah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
b. Mempergiatkan usaha mendidik dan memberikan kefahaman kepada
masyarakat Islam dan bukan Islam tentang undang-undang negara terutama
tentang undang-undang syariah.
c. Menggerakkan forum-forum yang tersusun disetiap peringkat dalam
wilayah pengaruh yang strategik yang melibatkan semua komposisi agama
seperti segmen persatuan belia, persatuan mahasiswa, profesional dengan
mengenengahkan tokoh yang berwibawa dan menguasai bidang ini disamping
pembawaan hikmah yang tinggi serta penuh objektif.
d. Meningkatkan lagi kefahaman terutama dalam menyuntik nilai dan
falsafah disebalik unsur-unsur utama pembinaan negara seperti sosial
kontrak atau undang-undang negara separti perlembagaan negara diperingkat
pendidikan menengah dan institusi pengajian tinggi.
e. Mengangkat dan memberi tempat yang sewajarnya kepada kedudukan
mahkamah Syariah pada mata pandangan seluruh masyarakat.


Sesungguhnya ini adalah kesan langsung daripada fenomena pluralisme yang
ada dalam masyarakat dan sikap kerajaan yang kini memberi ruang kepada
sebarang cadangan dan pandangan balas tentang apa sahaja yang berlaku.
Ruang untuk memperbaiki kelemahan yang ada wajar diteliti.

Kita mempunyai harapan supaya seluruh pihak dapat merungkai permasalahan
ini dan pada masa yang sama keluar dengan beberapa rancangan dan usaha
memperkukuhkan lagi ruang yang ada sekurang-kurangnya mampu mengekalkan
keharmonian dan kesepakatan rakyat kita untuk seratus tahun atau lebih
dari itu. ABIM akan mencari ruang dialog yang akan digerakkan oleh pakar
undang-undang dan perbandingan agama terutama sekali diperingkat
pertubuhan belia dan agama yang bersedia mencari kesepakatan dan tradisi
saling memahami antara agama dan kaum yang ada.


Sekian. Wassalam.


KHAIRUL ARIFIN MOHD MUNIR
Setiausaha Agung


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: