Monday, August 01, 2005

[Malaysia] Subsidi Telan Hasil Minyak

Subsidi telan hasil minyak
Oleh Mustapa Mohamed
Utusan Online, 28 Julai 2005

SETIAP kali keuntungan Petronas diisytiharkan kepada umum, setiap kali itu jugalah reaksi yang ditunjukkan oleh orang ramai agak negatif dan sinis. Ini berlaku selepas 30 Jun 2005 apabila Petronas mengisytiharkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM35.5 bilion.

Ada pihak yang berpendapat sebagai sebuah syarikat kerajaan, Petronas tidak harus heboh-heboh atau bermegah-megah dengan keuntungan yang dicapai, lebih-lebih lagi tatkala harga minyak mentah dunia kian memuncak sejak kebelakangan ini.

Terdapat juga persepsi kononnya Petronas meraih keuntungan beribu juta ringgit sejak satu dua tahun kebelakangan ini bukan sangat kerana hasil kerja keras pengurusan dan kakitangannya yang bertungkus-lumus memastikan pengurusan dan perniagaan syarikat tersebut berjalan dengan baik dan secara berhemah, tetapi semata-mata kerana harga minyak mentah yang tinggi di pasaran antarabangsa.

Tanggapan ini mengandungi andaian seolah-olah fungsi Petronas hanya setakat mengeluarkan minyak dan gas dari dasar laut Malaysia dan kemudiannya menjual bahan mentah tersebut di pasaran antarabangsa.

Oleh yang demikian, syarikat berkenaan dianggap dengan mudah dapat mengaut keuntungan tanpa bersusah payah.

Sebab itu apabila kerajaan membuat keputusan pada 5 Mei 2005 untuk mengurangkan subsidi petroleum secara berperingkat dengan menaikkan harga runcit produk petroleum, ramai pihak yang mendesak agar keuntungan Petronas itu digunakan sepenuhnya untuk menampung subsidi minyak petrol dan gas memasak.

Dengan itu, rakyat Malaysia akan dapat menikmati harga petrol, diesel dan gas yang murah. Mereka yang menyebarkan teori ini mendakwa deposit minyak yang didapati di perairan Malaysia adalah anugerah Tuhan kepada rakyat Malaysia dan dengan itu mereka berhak menikmatinya dalam bentuk subsidi harga pada tahap maksimum.

Meskipun perkara ini sudah banyak kali dihuraikan sama ada oleh pemimpin-pemimpin kerajaan atau melalui tulisan-tulisan yang disiarkan dalam media, saranan menggunakan keuntungan Petronas untuk membolehkan rakyat Malaysia menikmati harga produk petroleum yang rendah nampaknya semakin popular terutama ketika harga bahan tersebut terus memuncak.

Sebenarnya ada dua isu yang perlu difahami di sini. Isu pertama berhubung kait dengan fungsi Petronas, cara ia diuruskan dan bentuk aktiviti perniagaannya. Isu kedua ialah hubungan Petronas dengan kerajaan dan cara-cara kerajaan menguruskan kewangannya. Seperti yang sedia dimaklumi Petronas ditubuhkan khusus untuk menjalankan amanah melindungi dan mengurus khazanah petroleum negara secara cekap dan menguntungkan bukan sahaja untuk generasi sekarang tetapi juga untuk generasi akan datang.

Ini penting kerana kekayaan negara yang dianugerahkan oleh Tuhan perlu dikekalkan untuk dinikmati bersama oleh anak cucu kita akan datang.

Negara agak beruntung kerana sejak ditubuhkan pada tahun 1974, Petronas diuruskan dengan bijak oleh rakyat tempatan yang berdedikasi serta profesional berbanding syarikat minyak nasional sesetengah negara lain yang ditubuhkan lebih awal tetapi masih merangkak-rangkak akibat disalah urus.

Bermula sebagai sebuah syarikat tempatan, Petronas kini muncul sebagai sebuah multinasional yang beroperasi di lebih 30 buah negara di seluruh dunia. Kegiatannya meliputi aktiviti huluan, hiliran, pengilangan dan pemasaran.

Kira-kira 35 peratus pendapatan tahunan Petronas diperoleh daripada hasil operasinya di peringkat antarabangsa. Kecuali syarikat-syarikat minyak dari Amerika Syarikat dan Eropah, tidak banyak syarikat - lebih-lebih lagi dari negara membangun yang dapat menandingi kejayaan Petronas.

Petronas dimiliki 100 peratus oleh kerajaan. Sebagai sebuah syarikat kerajaan, pendapatan Petronas adalah sebahagian daripada sumber pendapatan kerajaan. Dengan kata lain, keuntungan Petronas adalah keuntungan kerajaan dan rakyat.

Pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2005, Petronas menyumbang sebanyak RM31.2 bilion kepada kerajaan dalam bentuk dividen, royalti, cukai dan duti eksport. Jumlah ini merupakan 53 peratus daripada keuntungan kasar (sebelum cukai) sebanyak RM59 bilion yang diperoleh pada tahun kewangan yang sama.

Pada keseluruhannya, kira-kira 25 peratus pendapatan tahunan Kerajaan Persekutuan disumbangkan oleh Petronas. Adalah jelas tanpa Petronas, kerajaan akan kehilangan sumber pendapatan yang besar bagi digunakan untuk pembangunan negara. Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, Universiti Teknologi Petronas dan Kuala Lumpur City Centre, sebagai contoh, dibina hasil daripada wang yang disumbangkan oleh Petronas dan anak-anak syarikatnya. Itulah sebabnya kenapa keuntungan Petronas perlu digunakan dengan penuh berhemat.

Sejak ditubuhkan, Petronas telah menyumbangkan sejumlah RM246 ribu juta kepada kerajaan. Bayangkan Malaysia tanpa Petronas.

Infrastruktur canggih yang kita nikmati hari ini dan pembangunan pesat sebahagiannya adalah dibiayai oleh keuntungan Petronas.

Bagaimana wang ini hendak dibelanjakan tidak ada kena-mengena dengan Petronas, tetapi terpulang kepada budi bicara kerajaan. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan beramanah, kerajaan telah memutuskan untuk membelanjakan sebahagian daripada wang tersebut untuk menampung subsidi petrol, diesel dan gas masak untuk rakyat sementara bakinya digunakan untuk membayar gaji kakitangan awam dan membiayai projek-projek pembangunan seperti pembinaan sekolah, hospital, masjid dan jalan-jalan raya.

Pada tahun lalu sahaja, jumlah yang digunakan untuk subsidi petroleum, termasuk cukai yang dikorbankan, ialah sebanyak RM11.9 ribu juta. Jumlah ini dijangka meningkat kepada RM16.8 ribu juta tahun ini sekiranya paras harga runcit petrol, diesel dan LPG yang ada sekarang dikekalkan.

Ini merupakan 60 peratus daripada peruntukan pembangunan negara. Sekiranya lebih banyak wang yang diperoleh daripada Petronas ini disalurkan kepada projek-projek pembangunan, maka lebih ramai rakyat, terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana dapat menikmati faedah hasil minyak negara daripada menggunakannya hanya untuk subsidi yang lebih menguntungkan golongan berada dan kaya.

Di samping sumbangan terus kepada kerajaan, Petronas juga menyediakan subsidi untuk gas asli yang digunakan oleh sektor tenaga negara. Untuk tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2005 sahaja, syarikat tersebut menyumbang sebanyak RM6 ribu juta dalam bentuk subsidi untuk sektor tersebut.

Sejak Mei 1997 apabila harga gas sebanyak RM6.40 setiap Mmbtu (atau per million British Thermal unit) untuk tenaga dikuatkuasakan, Petronas telah menyumbangkan subsidi sebanyak RM25 ribu juta untuk sektor tersebut. Ini kerana harga di pasaran antarabangsa adalah jauh lebih tinggi. Dengan subsidi ini, tarif elektrik dalam negara dapat dikekalkan pada tahap yang munasabah.

Memulangkan

Untuk sektor bukan tenaga, harga gas ditentukan oleh Petronas secara komersial. Harganya kini di pasaran antarabangsa ialah RM25.70 bagi setiap Mmbtu.

Ada juga pihak yang mencadangkan agar Petronas memulangkan lebih banyak daripada keuntungan tahunannya kepada kerajaan dan dengan itu kerajaan dapat menambah subsidi minyak untuk rakyat.

Seperti yang dijelaskan terdahulu, sebagai sebuah syarikat yang diamanahkan untuk menjaga khazanah asli negara untuk generasi sekarang dan akan datang, Petronas perlu diuruskan dengan berhemah dan secara berpandangan jauh.

Syarikat tersebut perlu menggunakan sebahagian daripada keuntungannya bagi pelaburan semula seperti kegiatan cari gali di dalam dan luar negara, Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), kegiatan hiliran dan seumpamanya.

Tanpa pelaburan semula atau penemuan telaga-telaga baru atau meluaskan operasi di luar negara, Petronas tentulah tidak akan jadi sebuah syarikat besar seperti sekarang.

Perlu diingat bahawa tanpa penemuan telaga baru, simpanan minyak negara akan habis dalam tempoh 19 tahun sementara simpanan gas dalam tempoh 33 tahun dari sekarang. Jika ini berlaku Malaysia tidak akan mempunyai minyak barang setitik pun selepas itu. Oleh itu, hasil minyak perlu diuruskan dengan dengan berhemat. Tanpa penemuan telaga baru juga, kedudukan Malaysia sebagai negara pengeksport bersih minyak akan bertukar menjadi pengimport bersih menjelang tahun 2009. Hal ini telah pun terjadi di Indonesia yang pada masa dahulu merupakan anggota penting OPEC.

Satu lagi perkara yang sering dipertikaikan ialah kedudukan Malaysia sebagai negara pengeksport bersih minyak. Soalan-soalan yang sering diajukan ialah kenapa Malaysia perlu mengeksport minyak mentah dan pada masa sama mengimportnya pula? Kenapa tidak minyak mentah yang dikeluarkan di Malaysia ditapis dalam negara sahaja dan dijual dalam pasaran tempatan.

Dengan itu kononnya harga minyak di Malaysia boleh ditetapkan sendiri (tentunya yang dimahukan ialah pada kadar rendah) tanpa terikat kepada kedudukan pasaran antarabangsa.

Secara ringkasnya minyak mentah yang dikeluarkan di seluruh dunia dikategorikan kepada dua jenis - Jenis Ringan dan Jenis Berat, bergantung kepada bahan-bahan asing yang terdapat dalam minyak tersebut.

Minyak keluaran Malaysia yang dijenamakan sebagai Tapis adalah jenis ringan berbanding, misalnya, dengan minyak mentah yang dikeluarkan oleh sesetengah negara pengeluar minyak di Asia Barat.

Bagi memenuhi permintaan bahan petroleum di negara ini, minyak mentah perlu ditapis. Masa ini, terdapat lima buah loji penapisan minyak yang beroperasi di Malaysia.

Jumlah kapasiti loji penapisan minyak tersebut adalah 547,000 tong sehari. Daripada jumlah tersebut, loji penapisan minyak milik Petronas adalah tiga buah dengan jumlah kapasiti 256,000 tong sehari iaitu 47 peratus daripada jumlah kapasiti keseluruhan yang sedia ada di negara ini.

Baki daripada jumlah kapasiti negara sebanyak 53 peratus adalah dipunyai oleh Shell (155,000 tong sehari), ExxonMobil (88,000 tong sehari) dan ConocoPhillips (48,000 tong sehari).

Jadi untuk memenuhi keperluan permintaan bahan petroleum sebanyak 520,000 tong sehari, negara perlu juga bergantung kepada loji penapisan minyak kepunyaan syarikat minyak antarabangsa. Di samping itu juga tidak semua bahan petroleum permintaan pengguna di negara ini dapat dipenuhi oleh kelima-lima loji yang disebutkan tadi. Sebahagiannya pula diimport seperti fuel oil dan tar. Sementara itu pula ada bahan petroleum yang dikeluarkan dan dieksport seperti naphtha.

Di samping itu, bukan semua minyak mentah yang dikeluarkan di negara ini berada dalam pengawasan Petronas. Syarikat-syarikat lain seperti Shell dan ExxonMobil juga menerima bahagian masing-masing berdasarkan kepada perjanjian perkongsian pengeluaran yang mereka tandatangani dengan Petronas.

Seperti Petronas, syarikat-syarikat ini telah melabur dalam jumlah yang besar untuk membina, membaik pulih dan menaiktarafkan loji tersebut bagi menyediakan bahan petroleum yang mencukupi untuk kegunaan dalam negara. Mereka memerlukan pulangan yang munasabah untuk terus beroperasi di negara ini.

Berdasarkan kepada huraian di atas, adalah jelas bahawa saranan supaya kesemua minyak mentah yang dikeluarkan di negara ini ditapis dalam negara dan dengan itu dijual dengan murah bukan sahaja tidak boleh dilaksanakan secara teknikal tetapi juga tidak produktif dari segi ekonomi.

Penubuhan Petronas adalah bagi memenuhi beberapa matlamat termasuk untuk mengurus khazanah petroleum negara dengan sebaik mungkin. Pengurusan khazanah ini adalah bagi memastikan kesinambungan industri petroleum negara, bekalan berterusan minyak dan gas dan juga hasil minyak negara diuruskan dengan cekap dan dapat dikecapi oleh generasi semasa dan yang akan datang.

Adalah sesuatu yang merugikan sekiranya anugerah yang diberikan ini diguna secara boros tanpa ada perancangan rapi untuk pembangunan ekonomi negara bagi dikecapi juga oleh generasi akan datang.

Lagi pun, apabila kerajaan menubuhkan Petronas dulu, ia tidak pernah berniat untuk menjadikan syarikat tersebut sebagai 'lembu susu' untuk pihak tertentu. Petronas adalah untuk semua rakyat, bukan untuk kepentingan segelintir masyarakat atau golongan tertentu sahaja.

- Datuk Mustapa Mohamed adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

No comments: