Wednesday, August 24, 2005

[Kedah] Krisis Air di Kedah

Krisis air Kedah: Jelapang padi bakal menjadi 'padang jarak, padang tekukur'?
Saturday, 6 Ogos 2005, Harakahdaily
PADANG TERAP, 6 Ogos (Hrkh) - Tidak timbul sebarang kejutan seandainya selepas bulan September depan kawasan sawah padi yang bagaikan saujana mata memandang di Kedah akan berubah menjadi 'padang jarak, padang terkukur'.Ini disebabkan sumber bekalan air bersih di negeri yang bakal maju pada tahun 2010 ini kini berada di tahap paling kritikal.

Ini kerana, menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Haji Mahfuz Omar, takungan air di Empangan Pedu, empangan air terbesar dalam negeri Kedah kini hanya sekitar 10 peratus dari tahap sedia ada.

Harakahdaily sempat merakamkan gambar keadaan terkini Tasik Pedu yang dilinkungi banjaran Bukit Kerengga dan Bukit Sempadan. Turut membimbangkan adalah tahap kandungan Empangan Ulu Muda turut rendah dan gagal kembali ke paras sedia ada sejak tiga tahun lalu.

Empangan Ulu Muda membekalkan air ke kawasan tadahan air Empangan Pedu dan juga menyalurkan air kepada negeri Pulau Pinang. Ketika mulai masuk ke kawasan Tasik Pedu melalui Kampung Pinang, kira-kira 35 Kilometer dari pekan Kuala Nerang, di kiri kanan jalan masih dapat dilihat berkegelimpangan batang-batang balak, ada yang terbakar, ada yang telah dipotong-potong, dan didapati, ia telah lama ditebang.

Kampung Pinang terletak bertentangan dengan Pedu Lake Resort, sebuah pusat percutian yang lebih dikenali menyediakan 'chalet-chalet terapung' kerana jika berada di dalam chalet berkenaan, lantainya seakan mencecah air tasik.

Hati cukup berdebar kerana rombongan yang turut disertai Haji Mahfuz, Setiausaha Sahabat Alam Sekitar (Asas) Merbok, Aziz Man dan Setiausaha Teras Penyupayaan Melayu (Teras), Ahmad Tarmizi Sulaiman telah mula menuruni kenderaan pacuan empat roda ke kawasan Tasik Pedu.

Dari gigi tasik, sehingga ke jarak sekitar 1000 meter, kami dapat melaluinya dengan kenderaan. Rekahan tanah dengan jelas dapat dilihat, pokok-pokok liar setinggi 30 ke 40 kaki yang semakin reput berada di kiri kanan laluan kami. Ketika turun dari kenderaan, hati masih berdebar dan seolah tidak percaya kerana lebih kurang empat tahun lalu, pernah ke situ dengan menaiki bot untuk memancing.

Untuk memulakan langkahan amat berdebar, sekalipun pacuan empat roda tadi lebih berat dari badan manusia, tetapi bila memikirkan dahulunya tanah yang dipijak itu adalah dasar sebuah tasik yang dalamnya sukar diduga kami memandang sesama sendiri.

"Ini Tasik Pedu, empangan paling besar di Kedah tau, kenapa boleh jadi kering sampai macam ni," kata Haji Mahfuz. Dari situ juga jelas dapat dilihat 'chalet terapung' yang digambarkan tadi, kini seolah berada di atas sebuah bukit. Nampak ia terletak di atas tanah tinggi, bukan lagi seperti yang pernah dikunjungi dulu, ia nampak terapung di permukaan air.

Dari seorang nelayan tempatan yang ditemui katanya, keadaan kontang itu sudah berlarutan sejak enam bulan lalu. Sebulan sebelum ini tanah mulai merekah dan rumput halus hijau mulai tumbuh. Katanya lagi, pokok-pokok kering yang ada di sekitar itu mencecah ketinggian sekitar 30 hingga 40 kaki. Sejak sekian lama, air tasik ada kalanya sama tinggi atau hanya kurang lima kaki dari pucuk pokok tersebut.

Mereka yang mengusahakan kolam ternakan ikan turut memberitahu, sebelum ini (sekitar setahun) jarak kolam ikan terapung dengan dasar tasik adalah sekitar 15 kaki, tetapi sekarang turun sehingga lima atau enam kaki sahaja.
Bagi Haji Mahfuz, ini berlaku kerana berlakunya kerja-kerja pembalakan di kawasan berdekatan kawasan tadahan hujan yang tidak terkawal seperti yang berlaku di persekitaran Empangan Ah Ning di Hutan Simpan Bukit Perangin sejak penghujung 2004 sehingga Mac tahun ini.
Isu pembalakan di Bukit Perangin, Kuala Nerang itu berlarutan sehingga memaksa pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) Kedah menemui pihak Pejabat Jabatan Hutan Kedah di Bangunan Sultan Abdul Halim, jam 9.00 pagi, 2 Mac lalu.
Menurut laporan sebuah siaran televisyen swasta, beberapa dokumen berhubung lesen pengeluaran balak turut diambil di jabatan berkenaan, siasatan dikatakan membabitkan pemberian konsesi balak berkenaan yang diluluskan kerajaan negeri tanpa tender terbuka.


Mengikut nilai taksiran Jabatan Hutan, jika kerajaan negeri membuat tender terbuka, nilai tawaran dianggarkan mencecah RM 1.5 juta. Laporan itu juga menyebut, Menteri Besar, Dato' Seri Syed Razak Syed Zain dilaporkan mengesahkan penerokaan hutan itu atas kelulusan kerajaan negeri.

Kata Mahfuz lagi, ini adalah satu keadaan yang cukup membimbangkan, walaupun tahap takungan air di Empangan Pedu masih tinggi, tetapi tahap takungan air yang bakal disalurkan ke empangan terlalu rendah,sehubungan itu beliau mengutarakan beberapa persoalan.

1. Kerajaan Kedah semestinya memaklumkan perkara sebenar ini kepada rakyat, bagi membolehkan rakyat dapat membuat persediaan awal menghadapi sebarang kemungkinan mengenai masalah gangguan bekalan air.
2. Kerajaan Kedah jangan menyembunyikan perkara sebenar di sebalik krisis air ini kerana Empangan Pedu adalah empangan air terbesar di Kedah dan air dari sini adalah untuk keperluan minum dan juga pertanian Kedah.
3. Jangan tunggu sehingga tahap menjadi terlalu kritikal barulah kerajaan mahu bertindak.
4. Mewartakan segera kawasan-kawasan tadahan air seperti yang diarahkan oleh Kerajaan Pusat selepas tindakan menghentikan projek Heli-Havesting di Ulu Muda.
Katanya lagi, keadaan ini amat merisaukan para petani yang berkemungkinan besar tidak akan mengerjakan sawah mereka bagi musim kedua 2005 bermula September ini, memandangkan bagi musim pertama enam bulan lalu telah berlaku pindaan jadual tarikh menanam padi.

Dalam perkembangan lain, Ketua Dewan Ulama' PAS Kedah, Ustaz Haji Zawawi Ahmad meminta kerjasama semua masjid, surau dan rakyat agar sama-sama menunaikan solat hajat memohon agar Allah menurunkan hujan bagi mengatasi kemelut yang semakin meruncing ini. - mks.

No comments: