Wednesday, August 10, 2005

[Malaysia] Kembalikan Royalti Terengganu

Kembalikan hak royalti petroleum kepada Terengganu
Monday, August 08 2005
"Walaupun ketika mentadbir negeri, royalti dirampas, PAS Terengganu mahu royalti dikembali kepada kerajaan BN negeri sekarang "
KUALA NERUS, 8 Ogos (Hrkh) – Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali menggesa kerajaan pusat mengembalikan semula hak royalti petroleum kepada kerajaan negeri sekarang. Beliau berkata, hak mendapat royalti petroleum wajar dikembalikan semula kepada kerajaan negeri di bawah pemerintahan BN negeri.

“Kita meminta kerajaan pusat beri balik hak royalti petroleum itu kepada kerajaan negeri sekarang. PAS sokong jika kerajaan pusat sedia mengembalikan semula hak itu kepada kerajaan negeri ini walaupun BN yang perintah,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penubuhan PAS Cawangan Alor Jambu Pindahan, Mengabang Telipot, baru-baru ini. Majlis tersebut disempurnakan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Katanya, PAS tidak mengira politik tetapi kepentingan rakyat lebih diberi keutamaan meski pun negeri ini diperintah oleh kerajaan BN.

“Kita bukan kira politik sangat tapi untuk kepentingan rakyat dan tidak menjadi masalah kita sokong pemberian hak royalti itu kepada BN Terengganu sekarang ini,” ujarnya. Menurutnya, ketika kerajaan Barisan Alternatif (BA) pimpinan PAS diberi mandat dalam pilihan raya umum ke-10 lalu, hak royalti dinafikan.

Ini kerana katanya, sikap tidak jujur serta iri hati pemimpin-pemimpin Umno yang meminta hak royalti itu ditarik balik oleh kerajaan pusat. Mustafa menjelaskan meski pun menghadapi kekangan kewangan akibat rampasan royalti tetapi kerajaan PAS Terengganu mampu mentadbir negeri dengan baik.

Umno khianati orang Melayu
Sementara itu, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa berucap pada majlis perasmian berkata, telah terbukti bahawa Umno adalah pengkhianat kepada orang Melayu Islam di negara ini. Katanya, Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah pengkhianat yang besar kepada orang Islam dalam politik dan pemerintahan negara.

“Ini jelas kepada kita, Umno adalah pengkhianat yang besar kepada orang Islam dalam bab politik dan pemerintahan sehingga Singapura ‘hilang’ dan banyak tanah-tanah wakaf orang Melayu di Pulau Pinang tergadai,” ujarnya. Ini kerana, katanya dasar politik Umno yang korup telah menyebabkan Singapura terlepas ke tangan orang bukan Islam sejak puluhan tahun lalu.

Menurutnya lagi, politik wang pula bukan perkara baru kerana Umno sejak dari dahulu lagi telah menyuburkan agenda itu atau rasuah di kalangan ahli-ahlinya. Katanya, kuasa politik orang Melayu semakin lemah kerana terdapat di kalangan pemimpin Umno dan kerajaan BN mengamalkan budaya politik wang tersebut. Menurutnya, bahaya besar kepada orang Islam apabila pemimpin sesebuah kerajaan itu mengamalkan budaya duit dan rasuah.

“Amalan politik wang dan rasuah di kalangan pemimpin Umno dan kerajaan BN hari ini akan melemahkan kuasa politik orang Melayu sahaja,” ujarnya. Pada majlis tersebut, sebanyak 23 keping borang keahlian PAS telah diserahkan oleh ketua cawangan, Ustaz Bachtiar Abd Halim kepada Tuan Guru Abdul Hadi yang turut disaksikan oleh Mustafa dan Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Abu Bakar Abdullah.

No comments: