Friday, August 26, 2005

[Malaysia] Gerakan Islam Diingatkan Tidak Perbesarkan Isu Remeh Temeh

Gerakan Islam diingatkan tidak perbesar isu remeh-temeh


Wednesday, August 24 2005, Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Hrkh) - Gerakan Islam di seluruh dunia diingatkan tidak memperbesar isu remeh-temeh yang akhirnya akan mengganggu usaha dakwah, kata Naib Presiden Institut Pemikiran Islam Antarabangsa, Ahmad Totonji. Beliau berkata demikian dalam pertemuannya dengan saf pimpinan PAS di Pejabat PAS Jalan Pahang, 23 Ogos lalu.

Pertemuan itu bertujuan mengeratkan hubungan antara kedua-dua belah pihak dan bertukar-tukar pandangan. Turut hadir ialah, Setiausaha Agung PAS, Dato'Kamaruddin Jaffar; Bendahari, Dr Mohd Hatta Ramli; Ketua Penerangan, Ustaz Ahmad Awang: Pengerusi Hal Ehwal Luar dan Antarabangsa, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, mantan Naib Presiden PAS, Dato' Mustafa Ali, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dan Pengarah Pusat Penyelidikan, Dr Zulkifli Ahmad.

Menurut Ahmad, mutakhir ini gerakan Islam di seluruh dunia terutamanya yang bersabit dengan politik terlalu banyak memberi reaksi terhadap isu yang remeh-temeh. Keadaan itu mengakibatkan matlamat utama perjuangan tidak dapat difokuskan, katanya. "Kadang-kadang sesuatu isu yang remeh-temeh itu mungkin dihasilkan oleh kerja jahat Barat untuk memusnahkan gerakan Islam, kita perlu berhati-hati. Kalau boleh ketepikan (ignore) sahaja," katanya.

Selain itu beliau juga menyeru supaya gerakan Islam tidak berkonfrontasi sesama sendiri dalam menghadapi cabaran dari Barat. Ini adalah kerana sikap berkonfrontasi akan hanya merugikan perjuangan dan menguntungkan pihak lawan, katanya. "Negara Barat seperti Amerika Syarikat sememangnya menanti akan gerakan Islam berkonfrontasi sesama sendiri.Ini akan menguntungkan mereka," katanya. Pada majlis yang sama Ahmad turut memuji sikap PAS yang dilihat terbuka untuk berdialog dengan golongan bukan Islam mengenai pelbagai perkara. – lanh

No comments: