Monday, August 01, 2005

[Malaysia] Kenaikan Minyak Perlu Bijak Ditangani

Kenaikan minyak perlu bijak ditangani
Utusan Online

KUALA LUMPUR 26 Julai 2005 - Kerajaan tidak boleh menggunakan lebihan pendapatan negara untuk melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak kerana itu akan mengakibatkan implikasi negatif terhadap ekonomi negara, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Tanggapan bahawa lebihan pendapatan negara boleh digunakan untuk maksud itu adalah salah, kata Perdana Menteri dalam ucapan yang dibacakan oleh timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak pada pelancaran Hari Pengguna Malaysia 2005 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Abdullah berkata Malaysia merupakan pengeksport bersih petroleum dan kenaikan harga pasaran antarabangsa bahan itu menghasilkan peningkatan dalam pendapatan negara.

Walaupun begitu, kerajaan harus bertanggungjawab serta bijaksana dalam membelanjakan lebihan pendapatan ini, katanya.

"Kerajaan memilih untuk bertindak secara bertanggungjawab dan beramanah dalam hal ini dan bukan untuk meraih keuntungan politik," kata Abdullah.

Kerajaan, katanya, akan terus mengambil langkah berani mengenai hal ini demi menjamin masa depan yang lebih cerah bagi kesemua rakyat untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang negara.

Perdana Menteri berkata rakyat harus sedar pembiayaan subsidi secara berterusan mengakibatkan pengurangan perbelanjaan dalam projek pembangunan termasuk bagi pembinaan sekolah, hospital dan jalan raya.

Walaupun kerajaan tidak akan memberhentikan pemberian subsidi keseluruhannya, ia juga tidak bersedia untuk meneruskan pembiayaan subsidi yang kian meningkat, katanya.

Beliau berkata kenaikan harga pasaran secara berterusan akan bermakna bahawa subsidi yang diberi kerajaan tidak berupaya untuk melindungi pengguna selama-lamanya.

Perdana Menteri berkata antara kesan negatif pemberian subsidi petroleum ialah peningkatan kes penyeludupan minyak dan amalan pembaziran di kalangan rakyat.

Subsidi petrol dan diesel berjumlah RM4.8 bilion tahun lepas dan jumlah itu dijangka naik kepada RM6.7 bilion.

Beliau berkata sekiranya jumlah subsidi itu dicampur dengan pengecualian cukai jumlah keseluruhan akan menjadi RM16.8 bilion bagi tahun ini sahaja.

Pengguna perlu sedar bahawa tujuan kerajaan memberi subsidi ialah supaya pengeluaran produk atau perkhidmatan berada pada kadar yang tidak membebankan mereka, katanya.

Abdullah berkata pendirian kerajaan adalah untuk memastikan harga barangan keperluan di pasaran sentiasa berada dalam lingkungan kemampuan pengguna dan dengan itu mengurangkan kadar inflasi ke satu tahap yang rendah.

Abdullah berkata para pengguna harus berusaha untuk mengurangkan penggunaan tenaga bagi merendahkan kos dan berjimat manakala peniaga pula perlu mengelak daripada meraih keuntungan berlebihan.

No comments: