Monday, August 01, 2005

[Malaysia] Kerajaan Perlukan Sumber Kewangan

Kerajaan perlu sumber kewangan tadbir negara

KUALA LUMPUR 31 Julai - Keputusan untuk menaikkan harga runcit petrol dan diesel terpaksa dibuat kerana kerajaan memerlukan sumber kewangan yang cukup untuk mentadbir negara dan menjayakan pelbagai projek serta prasarana bagi kepentingan rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal berkata, kerajaan sebelum ini perlu menanggung subsidi lebih RM7 bilion disebabkan kenaikan mendadak harga minyak dunia.

Jelasnya, ini boleh memberi kesan jangka masa panjang terhadap kewangan negara dan pembangunan yang telah dirancangkan.

"Duit yang dapat itu bukannya kita letak dekat mana-mana pun, sebaliknya hasil yang diperoleh ini akan disalurkan ke sektor-sektor yang lebih memerlukan seperti biasiswa, prasarana dan perkara-perkara lain yang kerajaan rasa perlu diberi lebih keutamaan," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Hari Pahlawan 2005 di Tugu Negara di sini hari ini.

Kerajaan semalam mengumumkan kenaikan harga runcit petrol dan diesel masing-masing 10 sen dan 20 sen seliter - berkuat kuasa hari ini.

Dengan keputusan terbaru itu, harga runcit baru petrol premium (RON 97) di Semenanjung ialah RM1.62 seliter, petrol (RON 92) RM1.58 seliter dan diesel RM1.281 seliter.

Di Sabah dan Sarawak pula, harga runcit baru RON 97 ialah masing-masing RM1.60 dan RM1.61 seliter, RON 92 RM1.58 seliter di kedua-dua negeri, manakala diesel RM1.284 dan RM1.278 sen seliter.

Kali terakhir kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel ialah Mei lalu, juga sebanyak 10 sen dan 20 sen.

Harga petrol di Malaysia masih murah di ASEAN kecuali Brunei sementara harga diesel pula adalah yang terendah kecuali di Indonesia dan Brunei.

Mengulas lanjut mengenai kenaikan harga minyak ini, Mohd. Shafie menegaskan, memandangkan harganya masih murah di negara ini, kerajaan akan mengambil tindakan tertentu supaya tidak ada penyeludupan walaupun diketahui bahawa kegiatan itu memang berlaku di kawasan utara tanah air seperti di Rantau Panjang, Kelantan.

Di samping itu, katanya, pihaknya sudah menggerakkan pasukan penguat kuasa di seluruh negara dan meminta mereka mengambil tindakan kepada peniaga yang suka mengambil kesempatan di atas kenaikan harga minyak ini.

No comments: