Tuesday, August 23, 2005

[Malaysia] Mahkamah Sudah Bersihkan Anwar

Mahkamah sudah bersihkan Anwar, kata Rais
19 Ogos 2005, Harakahdaily
"Jadi soalnya, betulkah tindakan Umno memecat Anwar dulu?" soal Rais dalam wawancara khas dengan Siasah itu.
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Hrkh) - Penghakiman Mahkamah Persekutuan pada 2 September 2004 telah membersihkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, kata Dato' Seri Rais Yatim. "Dengan keputusan pada 2 September 2004 oleh Mahkamah Persekutuan, sama ada dari segi sodomi atau salah guna kuasa dan lain-lain, semuanya telah dibersihkan oleh kes tersebut, kecuali salah guna kuasa yang ada tempoh dan hadnya habis pada 2008," kata Rais, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Rais, bekas defacto Menteri Undang-undang berkata demikian dalam wawancara yang disiarkan khas oleh sebuah akhbar baru, Siasah bilangan kedua yang diedarkan kepada umum hari ini. Wawancara itu dibuat dengan Rais oleh pengarang akhbar berkenaan, Ahmad Lutfi Othman bersama para wartawannya.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Dato' Hisyamudin menganugerahkan RM4.5 juta kepada Anwar sebagai ganti rugi yang perlu dibayar oleh penulis dan penerbit buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM'. Mahkamah telah membuktikan, tuduhan yang dibuat oleh buku yang ditulis oleh Khaled Jefri itu tidak berasas dan fitnah kepada Anwar. Antara tuduhan buku yang disebarkan kepada perwakilan Umno dalam perhimpunannya pada tahun 1998 itu adalah salah seorang anak Azmin Ali, Setiausaha Sulit Anwar ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri adalah anak Anwar sebenarnya.

Melalui bukti-bukti yang ditunjukkan kepada mahkamah, terbukti dakwaan itu tidak benar dan anak itu disahkan sebagai anak Azmin yang sah. Mahkamah bulan lepas telah menjatuhkan hukuman penjara satu tahun ke atas Khaled Jefri kerana menulis buku yang memfitnah Anwar itu. Khaled kini telah dipotong kaki kanannya hingga ke pangkal paha kerana kencing manis dan kini masih mendapat rawatan di hospital.

Bagi Rais, Umno kini perlu bersedia dengan keadaan semua tuduhan ke atas Anwar dulu sudah bersih, "Jadi soalnya, betulkah tindakan Umno memecat Anwar dulu?" soal Rais dalama wawancara dengan Siasah itu. - ZS

No comments: