Thursday, August 04, 2005

[Malaysia] PROGRAM REALITI TV HARUS MENGHORMATI NILAI-NILAI TEMPATAN

SIARAN MEDIA
2 Ogos 2005

PROGRAM REALITI TV HARUS MENGHORMATI NILAI-NILAI TEMPATAN

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik dan mendokong teguran yang dibuat oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap rancangan-rancangan hiburan realiti tempatan yang cenderung meniru secara membuta tuli budaya barat. Sebahagian daripada rancangan-rancangan tersebut memang merupakan cedukan bulat-bulat format rancangan keluaran asing. Dari pelbagai sudut, rancangan-rancangan yang ada menampilkan mesej dan imej yang bertentangan dengan nilai-nilai agama dan adab-sopan timur.

Program-program realiti tersebut bertujuan sebagai hiburan disamping turut mempunyai sudut komersial bagi penganjurnya. Hiburan, kalaupun yang tidak bercanggah dengan nilai-nilai yang dipegang oleh masyarakat tidak sewajarnya ditonjolkan secara berlebihan sehingga melalaikan kita daripada urusan yang lebih utama. Keadaannya akan lebih buruk jika program-program realiti tersebut tidak menghormati dan peka dengan batas halal-haram dan kesopanan timur. Jika ini berlaku, ia sebenarnya menyumbang kepada kecelaruan nilai dan kerapuhan jatidiri anggota masyarakat yang menjadi faktor peningkatan gejala sosial dalam masyarakat.

Hakikat bahawa program-program realiti tersebut sangat popular dan mendapat liputan meluas di tengah masyarakat tidak seharusnya menyebabkan kita memejam mata daripada bersikap kritikal dan objektif terhadap kesan negatif yang mungkin terhasil. Semua pihak yang berwewenang dan berkaitan perlu peka dan berperanan sewajarnya dalam menangani isu ini. Dalam konteks ini, peringatan dan teguran YAB Timbalan Perdana Menteri sangat bertepatan dan perlu di ambil perhatian oleh semua.

YUSRI MOHAMAD
Naib Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia

No comments: