Tuesday, August 23, 2005

[Malaysia] Pekerja Melayu Terpinggir - MTUC

Ramai pekerja Melayu terpinggir, tertekan dengan kehidupan - MTUC
21 Ogos 2005, Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Hrkh) - Pekerja-pekerja Melayu ketika ini masih ramai yang berpendapatan rendah dan hidup dalam suasana kehidupan yang amat tertekan terutamanya dalam era globalisasi. Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamad berkata, kerajaan perlu menyelesaikan tersebut dengan membela nasib orang Melayu di mana ada yang bergaji dengan hanya RM540 sebulan.

"Mereka 'hunus keris' demi Melayu tapi ada yang gajinya RM540, ini yang kita kena tanya, saya bukan mahu menimbulkan satu sentimen atau satu emosi supaya kita marah, bukan tetapi kerana inilah realiti, ini bukan Akademi Fantasia ia sesuatu yang berlaku di hadapan kita," ucapnya dalam pembentangan kertas kertas kerja di Seminar Pekerja 2005 anjuran Lajnah Pekerja dan Pengguna Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan di sebuah hotel dekat sini, hari ini.
Beliau berkata, ini dapat dilihat apabila seorang pengurus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini menghubunginya menyatakan bahawa ada orang Melayu yang berusia 53 tahun yang gajinya tidak sampai RM540.
Malah katanya, jumlah pekerja Malayu terutamanya wanita yang bekerja dalam industri elektronik pendapatan mereka hanya RM1,200 sedangkan bekerja hampir 25 tahun. "Saya berjumpa dengan mereka sendiri dan gajinya memang RM1,200 tetapi apa yang boleh buat dengan gaji tersebut jika ikan kembung sekilo RM8.40 sen.

Ini katanya, berbeza dengan negara Eropah, Jepun, Korea, kerana seorang tukang sapu pendapatnya tidak jauh beza dengan pekerja bank. “Di Malaysia ini bila kita tanya kerja apa segan nak sebut kerja kilang sebab malu dengan pendapatannya," katanya.

Oleh kerana itu katanya lagi, beliau keliru dengan istilah ‘modal insan’ yang digunakan kerana manusia diperlekeh dalam era globalisasi ini. Ertinya katanya insan sudah boleh diperniagakan sedangkan kita sendiri tidak berlaku adil kepada insan yang lain. Menurutnya, globalisasi bukan perkara lama ia merupakan satu perkara yang sudah berlaku dulu iaitu zaman klonalisme, imperialisme kemudian dia berubah kepada globasisasi.

“Globalisasi adalah dunia tanpa sempadan tetapi ini kepada golongan mempunyai kekuasaan di sudut kewangan, kuasa modal dan pengaruh.

“Tapi bagi golongan pekerja dunia ini masih banyak sempadan” katanya lagi. Ini katanya, kesan globalisasi terhadap pekerja tidak lagi ada jaminan dan perlindungan kerana dalam era globalisasi syarikat besar lebih mahu kepada polisi yang anjal (fleksibiti) dalam kata lain ‘mereka boleh ambil pecat kemudian ambil dan pecat’.

Seminar tersebut yang bertajuk 'Isu pekerja pasca era globalisasi' dirasmikan Pesuruhjaya PAS Wilayah persekutuan, Ustaz Mohamad Noor Mohamad yang turut menampilkan ahli panel yang terdiri dari Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS, Hanifa Maidin, Tian Chua (Parti Keadilan Rakyat) dan Syed Shahir. Sementara itu Hanifa semasa menjawab soalan seorang peserta berhubung 'akujanji' kakitangan awam dalam majlis tersebut berkata, perjanjian itu bercanggah dengan perlembagaan negara. - mks.

No comments: