Wednesday, August 10, 2005

[Malaysia] Sikap Pemimpin Melayu Punca DEB Gagal

Sikap pemimpin Melayu punca DEB gagal
Sunday, August 07 2005
Oleh ANIS NAZRI
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Hrkh) - Kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mencapai ekuiti untuk 30 peratus pemilikan ekonomi kaum Melayu berpunca dari sikap pemimpin-pemimpin Melayu yang mengutamakan kepentingan peribadi.Menurut Institut Pengemblengan dan Pembangunan Kominiti (Impak) dan Teras Pengupayaan Melayu (Teras), wujudnya amalan kronisme atas nama bangsa Melayu dan penyaluran bantuan kepada beberapa kerat Melayu yang terpilih adalah antara sebab dasar berkenaan gagal.

"Pemilihan itu menyebabkan berlaku penompokan kekayaan kepada segelintir oang Melayu sahaja. Golongan Melayu terbanyak terpinggir malah tidak mendapat bantuan secara adil dan saksama," tegas Presiden Impak dan Teras,Haji Mahfuz Omar dan Azmi Abdul Hamid. Menurut memorandum mereka kepada Harakahdaily, kegagalan DEB untuk membantu kaum Melayu tidak sepatutnya dituding hanya kepada sikap dan minda orang-orang Melayu sahaja.

Malah, tegas mereka, akibat faktor itulah sikap dan minda orang-orang Melayu telah terkondisi akibat sindrom naungan, menyuburkan pergantungan, membiaknya amalan kronisme dan nepotisme yang diamalkan pemimpin Melayu kerajaan yang sengaja dibentuk oleh pemimpin Umno.
Kata mereka, selagi pembersihan dan pemurniaan mekanisme DEB itu sendiri tidak diperbetulkan, selagi itulah penegasan semula DEB yang disyorkan di perhimpunan agung Umno, baru-baru ini tidak membawa sebarang apa-apa makna. Mereka mendakwa, perhimpunan Umno itu telah mengalih perhatian rakyat dari menumpu kepada faktor-faktor yang menyebabkan kegagalan DEB kepada menegaskan semula dasar itu dalam apa yang disebutkan sebagai Agenda Baru Nasional.

"Penegasan semula DEB tidak memberi makna selagi kajian tehadap kesilapan dan kesalahan pendekatan dasar yang diperkenalkan sejak 1970 hingga 1990 itu tidak diperbetulkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu dalam Umno," tegas mereka. Dalam pada itu, Mahfuz dan Azmi berkata, kegagalan DEB juga disebabkan ketiadaan sistem kawalan yang rapi dalam proses penswastaan pelbagai agensi-agensi kerajaan yang sepatutnya dapat dimanfaatkan untuk orang-orang Melayu.

"Bagaimanapun, ia hanya menguntungkan segelintir Melayu tertentu. Projek pengswastaan yang dilancarkan ternyata tidak membantu membina kecekapan yang diharapkan untuk rakyat, malah tidak memberi kesan pengagihan kepada orang-orang Melayu secara saksama dan adil," tegas mereka lagi. Sehubungan itu, Impak dan Teras mengemukakan beberapa tuntutan untuk dilaksanakan oleh pihak kerajaan jika benar pihak kerajaan bena-benar mahu membela nasib oang-orang Melayu.

Antaranya ialah; (1) menyiasat dan bertindak tegas ke atas amalan rasuah dan kronisme di kalangan pemimpin-pemimpin serta pegawai tinggi kerajaan, (2) menyiasat kekayaan dan gaya hidup mewah di kalangan pemimpin-pemimpin Umno, (3) mewujudkan sebuah badan bebas untuk menilai dan memantau semua projek pengswastaan yang telah dan akan dilaksanakan supaya penyelewengan dapat dibanteras, (4) mengkaji semula keberkesanan semula agensi-agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk membantu masyarakat bumiputera seperti UDA, Mara, Tabung Haji, Felcra, Felda dan Risda, dan (5) mengkaji semula kesan perbadanan ekonomi kerajaan negeri yang membolot projek-projek pembangunan dan menjejaskan kedudukan syarikat-syarikat bumiputera yang kecil, yang masih bergantung kepada projek-projek kerajaan. - mks.

No comments: