Bersih esok
Nov 09, 07
Perhimpunan Agung Umno 2007 baru sahaja selesai kira-kira jam 6.30
petang tadi dengan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi
menyudahkan majlis 'suram' itu dengan lagak bengis 'membalun'
habis-habisan himpunan aman yang bakal diadakan oleh Gabungan Pilihan
Raya Adil dan Bersih (Bersih) di Dataran Merdeka esok.
Bagaikan singa, Abdullah yang sebelum ini dikenali dengan pemimpin yang
"lembik, lemah dan kuat tidur" akhirnya terjaga dari lamunan semata-mata
kerana adanya pihak yang mahu menganjurkan himpunan 100,000 rakyat di
tempat keramat iaitu di Dataran Merdeka di mana di situlah bendera Union
Jack diturunkan.
Cukup marah dan keras kecaman yang dilemparkan Abdullah terhadap Bersih
satu gabungan pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik yang mahu
demonstrasi jalanan sebagai satu kaedah memberi tekanan kepada
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mereformasikan perjalanan pilihan raya
di negara ini.
Bimbang kehadiran pimpinan utama pembangkang
Mana tidaknya himpunan esok akan membariskan antaranya, Presiden PAS,
Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat Parti Keadilan Rakyat
(KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim; 68 NGO dan pelbagai parti
pembangkang lain seperti DAP, KeADILan dan Parti Sosialis Malaysia
(PSM).
Dari ucapan Abdullah sebentar tadi, nyata beliau mungkin sekali telah
mengarahkan jentera kerajaan terutamanya pihak polis untuk bertindfak
ke atas perhimpunan esok.
Kata Abdullah himpunan sedemikian bukanlah amalan demokrasi yang
dibenarkan di negara ini kerana katanya bimbang ianya akan menjadikan
negara kucar-kacir.
Abdullah mengambil peristiwa di Batu Burok pada 8 September lalu
sebagai 'contoh' kononnya ia adalah keganasan pihak pembangkang yang
tidak mahu tunduk kepada undang-undang.
Anak menantu PM sendiri langgar undang-undang?
Penulis ingin ingatkan kepada Perdana Menteri bahawa kenyataan beliau
itu juga adalah satu peringatan kepada beliau sendiri memandangkan
begitu ramai kepimpinan negara hari ini yang sebenarnya tidak
menghormati undang-undang.
Anak Perdana Menteri, Kamaluddin Abdullah sendiri melanggar undang-
undang rimba ciptaan Umno (ISA), dengan bekerjasama dengan BSA Tahir
melalui syarikat Scomi membekalkan komponen nuklear yang akhirnya BSA
Tahirlah yang terperangkap dalam akta 'draconian' itu dengan disumbat
ke dalam ISA.
Laporan Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Ezam Mohd
Noor terhadap anak PM mengenai penggunaan kedudukan PM untuk mendapatkan
beberapa tender kerajaan juga merupakan satu penyelewengan dan tidak
menghormati undang-undang negara.
Selain itu ketika penamaan calon di Pilihan Raya Dun Ijok, menantu Perdana
Menteri, Khairy Jamaluddin disebut-sebut sebagai individu yang mencetus
provokasi yang menyebabkan keadaan menjadi tegang hingga adanya adegan
baling membaling antara penyokong BN dan KeADILan ketika itu.Bukankah ini
satu pelanggaran undang-undang?
Menantu PM sendiri didakwa menggunakan kedudukan Perdana Menteri untuk
memiliki saham dalam ECM Libra yang akhirnya terpaksa dijual semula
setelah adanya desakan dari pembangkang dalam isu tersebut.Ini juga
satu penyelewengan.
BN guna jentera kerajaan ketika pilihan raya
Dalam pilihan raya pula rasuah politik, penyelewengan daftar pemilih,
penggunaan jentera kerajaan dalam kempen pilihan raya, penggunaan pihak
berkuasa polis, platform rasmi kerajaan semasa dan selepas Parlimen
dibubarkan adalah satu salahguna kuasa dan tindakan yang tidak patuh
kepada undang-undang.Bukankah Abdullah juga menyedari hakikat ini,
tetapi menyembunyikannya untuk kepentingan politik.
Umum mengetahui bahawa BN dan Umno akan menggunakan semua jentera,
kemudahan dan media massa untuk berkempen habis-habisan ketika pilihan
raya sedangkan suara pembangkang disenyapkan.
Inikah demokrasi yang dinyatakan Abdullah sebagai jalan yang seharusnya
direstui rakyat? Malang sekali Malaysia memiliki Perdana Menteri
berfikiran kelas ketiga dan teruk daripada itu kepimpinan beliau
ternyata dikritik oleh bekas 'boss' nya, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana
kelemahan dalam mentadbir negara.
Penyelewengan yang berlaku di setiap kali pilihan raya tidak pernah
didedahkan media arus perdana, sebaliknya media mempropagandakan
keburukan pembangkang untuk mendoktrinasi pemikiran rakyat untuk terus
tunduk kepada rejim sedia ada.
Himpunan hambar dan tidak ada isi
Malang sekali, Perhimpunan Agung Umno yang berlansung sejak 5 November
lalu hanya berakhir dengan ketakutan yang amat sangat oleh Presidennya
sendiri setelah menghentam habis-habisan program yang bakal membuka
pekung kerajaan di mata rakyat.
Benarlah kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar bahawa tiada
mesej besar yang disampaikan Abdullah dalam himpunan Umnom kali ini
melainkan melagukan semula retorik Islam Hadharinya selain bermegah
dengan pencapaian yang tidak setara mana itu.
Jika Abdullah dan kerajaanya bertindak menghalang keras himpunan esok
dengan pelbagai taktik seperti penggunaan provokator di kalangan polis
berpakaian awam bagi menghuru-harakan keadaan nyatalah sebenarnya
merekalah yang melanggar undang-undang dan bukannya Bersih atau rakyat
yang ingin berhimpun secara aman.
Alasan Bersih untuk teruskan himpunan esok
Berikut ialah antara alasan mengapa Bersih mahu meneruskan himpunan
100,000 rakyat esok.
Bersih yang menggabungkan 67 badan bukan kerajaan berdaftar menggariskan
enam alasan bagi merayu pihak polis meluluskan permohonan permit untuk
mengadakan perhimpunan aman di Dataran Merdeka, esok.
Surat rayuan yang ditandatangi Sivarasa Rasiah dihantar kepada Ketua
Polis Kuala Lumpur, Zulhasnan Najib Baharuddin.
Lima alasan rayuan Bersih itu adalah:
1. Permohonan permit telah dibuat oleh Bersih sebagai satu gabungan yang
dianggotai oleh 67 badan-badan berdaftar termasuk badan-badan bukan
kerajaan (NGO) dan lima parti politik. Senarai semua pertubuhan ini telah
pun dikemukakan. Tambahan pula, tiga orang individu iaitu Anuar Tahir,
Sivarasa Rasiah and Liew Chin Tong sebagai ahli jawatankuasa induk BERSIH
telah pun menandatangani permohonan tersebut.
Bagaimanapun, bagi memastikan perkara ini tidak menjadi satu halangan
untuk permohonan ini, salah satu pertubuhan dalam gabungan BERSIH iaitu
Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) sanggup menggantikan BERSIH sebagai
pemohon. Kami melampirkan di sini surat pengesahan daripada Parti
Keadilan Rakyat.
2. Berkenaan dengan alasan bahawa tidak ada surat kelulusan daripada tuan
punya tapak, Bersih berpendapat bahawa Dataran Merdeka adalah satu tempat
umum yang diakses oleh orang umum pada bila-bila masa. Ia tidak boleh
disamakan dengan bangunan atau dewan yang dimiliki oleh Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur.
Tambahan pula, Dataran Merdeka adalah hanya kawasan bagi mengumpulkan
orang ramai sebelum berarak ke Istana Negara. Pihak Bersih juga telah
memaklumkan program ini kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur secara
bertulis dan ini adalah dalam pengetahuan pihak polis.
3. Berkaitan dengan alasan bahawa ada program lain di tapak itu pada hari
itu, pihak Bersih dimaklumkan bahawa program tersebut hanya bermula pada
jam 4.30 petang. Ini telah dimaklumkan kepada pihak polis dan pihak kami
memberi jaminan bahawa perhimpunan kita akan beredar keluar dari Dataran
Merdeka sebelum 4.30 petang.
Dengan kerjasama polis trafik, kami akan memastikan bahawa kehadiran
peserta di persekitaran Dataran Merdeka tidak akan mengganggu apa jua
program yang akan bermula pada 4.30 petang tersebut. Kami juga
dimaklumkan bahawa program tersebut (satu progam kebudayaan) adalah
terbuka kepada orang awam dan peserta kita juga berhak menyaksikan dan
menhayatinya.
4. Dari maklumat yang diperolehi pihak kami, terdapat kumpulan tertentu
akan mengambil kesempatan menimbulkan keadaan tidak tenteram dan tidak
selamat kepada orang awam yang menyertai perhimpunan tersebut. BERSIH
telah memberi jaminan kepada pihak polis akan menyediakan 300 petugas
atau 'marshals' yang akan memastikan peserta dalam perhimpunan aman kami
berhimpun dan berarak secara aman dan teratur tanpa menggangu
ketenteraman dan keselamatan kawasan itu.
Kami mengalu-alukan kehadiran pihak polis berpakaian seragam dalam jumlah
yang sesuai supaya bersama dengan kami dengan jarak yang wajar bermula
dari Dataran Merdeka sehingga ke Istana Negara. Sekiranya ada kumpulan
tertentu yang ingin melakukan kekacauan, kami anggap adalah tanggung
jawab dan tugas polis untuk mengawal keadaan dan memastikan mana-mana
orang atau kumpulan ini ditahan daripada melakukan perkara yang tidak
diingini.
Sekiranya polis ada maklumat dalam tangan mengenai kumpulan tertentu ini,
polis harus mengumumkan nama dan identiti mereka dan memberi amaran kepada
mereka bahawa polis akan bertindak sekiranya mereka melakukan kekerasan
atau tindakan yang menimbulkan kekacauan.
5. Bersih berpendapat bahawa alasan kelima yang diberi iaitu perhimpunan
kami akan menimbulkan gangguan laluan lalu lintas tidak wajar dan perlu
dikaji semula. Adalah ternyata bahawa mana-mana perhimpunan dan perarakan
baik sederhana atau besar boleh sedikit sebanyak menganggu laluan lintas.
Jadi sekiranya ini digunakan sebagai alasan, ia akan memusnahkan hak
berhimpun.
Sepertimana yang disebutkan di atas, Bersih akan memastikan perarakan ini
teratur dan aman. Gangguan kepada laluan lalu lintas mampu dikurangkan
setakat yang boleh dan memerlukan kerjasama pihak polis trafik
sepertimana yang kita lihat dalam kebanyakan perarakan besar di luar
negara kita. Pendekatan ini boleh menjamin perlindungan yang perlu bagi
hak asasi berhimpun dan berarak secara aman sambil memastikan gangguan
yang minima kepada penggunan laluan lalu lintas.
6. Alasan keenam yang diberi oleh Tuan Ketua Polis Daerah adalah bahawa
perhimpunan kami akan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
Alasan ini tidak memberi apa jua butiran dan tidak berasas. Kami
mengulangi dengan tegas apa yang disebut di atas di perenggan (d) dan
(e).
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment