Nov 05, 07
KUALA TERENGGANU, 5 Nov (Hrkh) - PAS memberi jaminan bahawa Himpunan 100
ribu rakyat pada 10 November ini di Dataran Merdeka berlaku secara tertib
dan aman.
PAS yang menjadi antara parti dalam gabungan Badan Bertindak Menuntut
Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) bersama Parti KeADILan Rakyat
(KeADILan), DAP, Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta Badan-badan Bukan
Kerajaan (NGO) akan menyertai perhimpunan tersebut.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi berkata demontrasi
aman secara besar-besaran itu bagi menghantar memorandum kepada Majlis
Raja-Raja menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.
"Insya-Allah, pada 10 November kita akan mengadakan satu demontrasi aman
secara besar-besaran untuk menghantar memorandum kepada Majlis
Raja-Raja."
"Kita (PAS) memberi jaminan, demontrasi diadakan dengan penuh tatatertib
dan aman dan sebarang kekecohan yang berlaku itu adalah provokasi yang
dilakukan oleh musuh kita dan lawan," ujarnya ketika ditemui di Pejabat
Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, baru-baru ini.
Menurutnya, tuntutan Bersih agar kerajaan membersihkan daftar pemilih
dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menghapuskan undi pos, penggunaan
dakwat khas kepada pengundi dan keadilan pihak media.
Sehubungan itu, kata Dato' Seri Abdul Hadi berdasarkan 'postmortem' yang
dilakukan pada 2004 bahawa rakyat negeri Terengganu masih lagi menyokong
PAS kerana berlaku peningkatan undi di beberapa kawasan.
"Postmortem kita tahun 2004 rakyat masih menyokong kita (PAS) kerana undi
yang kita dapat ada kawasan-kawasan yang meningkat tiga peratus, ada
kawasan-kawasan yang menurun hanya dua peratus sahaja."
"Peratus keluar mengundi hampir 90 peratus dan di luar kebiasaan seluruh
dunia yang mempraktikkan demokrasi dan ini menunjukkan di sana berlaku
sesuatu yang tidak sihat dalam amalan demokrasi di negara kita," ujarnya.
Bahkan, katanya secara menyeluruh postmortem yang dilakukan menunjukkan
bahawa negeri-negeri yang kuat dipengaruhi oleh PAS seperti Kelantan,
Kedah, Terengganu dan Perlis peratus keluar mengundi melebihi 80 peratus
dan negeri Terengganu hampir 90 peratus.
Menurut beliau, di negeri-negeri lain antara 60 hingga 70 peratus sahaja
keluar mengundi dan ini menunjukkan berlakunya penipuan serta
penyelewengan dalam pilihan raya.
Katanya, SPR tidak bebas kerana diletakkan di bawah Jabatan Perdana
Menteri dan bukan satu badan yang benar-benar bebas termasuk
penyelewengan dalam undi pos.
"SPR tidak bebas. SPR di bawah Jabatan Perdana Menteri dan bukan satu
badan yang bebas termasuk juga undi pos. Undi Pos adalah undi tentera,
undi polis dan pegawai-pegawai kerajaan. "Undi pos ini tidak boleh
dipantau dan beberapa kawasan menang dengan undi pos dan bukan undi biasa
yang boleh dipantau parti-parti politik," tegasnya. - mks.
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment