Saturday, November 10, 2007

Apa yang perlu anda lakukan bila ditahan polis?

Himpunan 10 Nov: Apa yang perlu anda lakukan bila ditahan polis?

Nov 05, 07

Jika saudara ditangkap dan dibawa ke balai polis, laksanakan
perkara-perkara berikut:

* Jika saudara digari sepanjang perjalanan ke balai, minta polis membuka
gari sebaik sahaja saudara sampai di balai polis. Bahkan saudara mesti
meminta polis membuka gari sebaik sahaja saudara dimasukkan ke dalam truk
polis untuk dibawa ke balai.


* Ketika berada di balai polis, gunakan telefon bimbit saudara untuk
memberitahu isteri, anak, ahli keluarga, rakan atau peguam di balai mana
saudara ditahan, pukul berapa saudara sampai ke balai tersebut, nama
pegawai polis yang bertanggungjawab menahan saudara dan maklumat lain
yang boleh membantu saudara dibebaskan segera.


* Jika telefon bimbit saudara dirampas, minta senarai barang rampasan
daripada pegawai polis yang bertugas.


* Jika pihak polis enggan menyerahkan senarai barang rampasan, hafal nama,
nombor dan muka pegawai-pegawai polis yang berada di balai tersebut.


* Jika saudara tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit saudara, minta
pegawai polis menelefon isteri, sahabat atau peguam saudara dengan
menggunakan telefon bimbit mereka atau telefon balai bagi memberitahu
isteri, sahabat atau peguam butiran-butiran di atas.


* Jika pihak polis enggan membuat panggilan telefon yang saudara pohon,
hafal nama, nombor dan muka pegawai-pegawai polis yang berada di balai
tersebut.


* Jika saudara dibawa oleh polis ke sebuah bilik untuk merakamkan
kenyataan di bawah Seksyen 113, pegawai polis yang bertugas perlu
membacakan kepada saudara kenyataan seperti berikut: "Adalah menjadi
kewajipan saya memberi amaran kepada kamu bahawa kamu tidak diwajibkan
berkata apa-apa atau menjawab apa-apa soalan, tetapi apa-apa jua yang
kamu katakan samada sebagai jawapan kepada sesuatu soalan atau tidak,
boleh dijadikan sebagai keterangan"


* Minta sehelai kertas dan pen daripada pegawai polis tersebut untuk
mencatatkan percakapan saudara dengan beliau.


* Saudara tidak perlu memberi sebarang jawapan kepada mana-mana soalan
polis di bawah Seksyen 113 tersebut. Ingat, perkara ini amat penting!


Sebagai contoh untuk saudara semua sekiranya ditahan di lokap polis, saya
perturunkan soal jawab antara saya dengan K/ASP Nasmizarizal ketika saya
ditahan di Balai Polis Subang Jaya. Saya ditangkap semasa demo membantah
kenaikan harga tol di pusat membeli belah The Summit USJ pada Ahad, 18
Mac 2007.


Pegawai penyiasat atau IO adalah K/ASP Erny Yusnida dan pegawai perakam
adalah K/ASP Nasmizarizal. Saya dihadapkan ke hadapan pegawai perakam
oleh Konstabel 153750. (Semua butiran ini saya ingat kerana saya membuat
catatan di atas kertas yang saya minta daripada K/ASP Nasmizarizal)


Rekod keterangan saya di bawah Seksyen 113 adalah seperti berikut:


S: Adakah kamu faham percakapan beramaran yang telah dibacakan dan
diterangkan kepada kamu tadi?


J: Saya tiada jawapan


S: Adakah kamu hendak bertanya apa-apa mengenai kata-kata amaran yang
dibacakan tadi?


J: Saya tiada jawapan


S: Adakah sesiapa yang mengugut, mendorong atau menjanjikan apa-apa untuk
kamu memberikan percakapan ini?


J: Tiada jawapan


S: Adakah kamu memberi percakapan ini secara sukarela?


J: Saya tidak mahu menjawab apa-apa


S: Adakah kamu telah ditangkap oleh polis?


J:Saya tidak mahu menjawab apa-apa


S: Apa yang ingin kamu beritahu kepada saya kenapa kamu ditangkap oleh
pihak polis?


J: Saya tidak mahu menjawab apa-apa


S: Pada jam berapakah kamu ditangkap?


J: Saya tidak mahu menjawab apa-apa


S: Di manakah kamu sewaktu kamu ditangkap?


J: Saya tidak mahu menjawab apa-apa


S: Apakah yang kamu lakukan sehingga kamu ditangkap polis?


J: Saya tidak mahu menjawab apa-apa


S: Adakah pihak kamu terlibat di dalam demonstrasi membantah kenaikan
harga tol di Hotel Sumiit USJ pada petang hari ini?


J: Saya tidak mahu menjawab apa-apa


S: Adakah kamu tahu siapa penganjur demonstrasi membantah kenaikan harga
tol di Hotel Summit USJ pada petang hari ini?


J: Saya tidak mahu menjawab apa-apa


S: Adakah kamu tahu siapakah lagi yang telah ditangkap bersama kamu?


J: Saya tidak mahu menjawab apa-apa


S: Adakah kamu berada di sekitar Hotel Summit pada petang hari ini?


J: Saya tidak mahu menjawab apa-apa


S: Adakah kamu mahu ceritakan apa-apa kepada saya sekarang?


J: Saya tiada komen


S: Adakah apa-apa yang kamu hendak ubah, tambah atau pinda dalam
percakapan kamu ini?


J: Tiada komen


S: Adakah kamu bercakap benar?


J: Tiada komen


Ingat, jangan cepat termakan budi! Jika sesampai sahaja saudara ke balai
polis, saudara dijamu dengan teh tarik dan nasi bungkus oleh polis dan
kemudian disoal secara manis dan berbahasa oleh polis, itu tidak boleh
menjadi sebab bagi saudara untuk 'membalas budi' mereka dengan menjawab
semua soalan di bawah Seksyen 113 secara lengkap.


Jawab saja: "Saya tiada jawapan..atau saya tidak mahu jawab". Jangan
takut!
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: