Thursday, November 15, 2007

100,000 berhimpun, mana Pak Lah nak letak muka! - Bersih

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Hrkh) - Segagah mana atau selantang mana sekalipun,
akhirnya amaran keras dan amanat tegas Presiden Umno Dato' Seri Abdullah
Ahmad Badawi ternyata lemah dan gagal menggugat semangat rakyat untuk
terus bangkit menyertai Himpunan Rakyat semalam biar apa jua rintangan
serta ugutan yang mendatang.

Rakyat hanya punya satu matlamat bahawa Malaysia mesti mengamalkan
demokrasi yang berada dilandasan benar dan sebuah pilihan raya adil yang
tidak disalahguna dan dirosakkan oleh kerajaan BN yang ada selama ini dan
suara rakyat ini akhirnya berjaya di sampaikan ke pengetahuan Istana
Negara!


"Di mana Pak Lah nak letak muka dia," demikian soal AJK Bersih Anuar Tahir
ketika berucap di Taman Melewar semalam di samping memberi penjelasan
kepada orang ramai situasi terkini yang berlaku pada sebelah petangnya.


"Dia kata pantang dicabar. Yang lebih layak berkata ialah rakyat lagi
pantang dicabar haknya!"


"Dan terbukti bahawa rakyat telah berjaya mencabar untuk menunjukkan
bahawa mereka berjaya melakukan himpunan secara aman dan mahu sebuah
demokrasi yang bersih!," katanya di atas beranda bumbung Markaz mengadap
kira-kira 2,000 hadirin yang mendengar ceramah.


Katanya biarpun telah berlaku insiden tidak diingini, seperti polis
melepaskan gas pemedih mata dan menyuraikan orang ramai secara kasar
namun para peserta himpunan dan rakyat tetap bersabar dan mematuhi
undang-undang termasuk taat kepada arahan pimpinan.

"Tiada berlaku provokasi oleh orang ramai malah tangkapan yang dilakukan
polis kerana mereka ingin menyertai himpunan menuju ke arah Istana
Negara,"katanya.


"Sebenarnya, rakyat yang boleh mendisplinkan Polis!," katanya lantang dan
berbangga dengan semangat, displin dan kesabaran yang ditunjukkan semua
para peserta khususnya rakyat yang datang daripada luar Kuala Lumpur.


Katanya lagi rakyat tidak boleh dipermainkan dan diperbodohkan malah
masanya amat tepat kerana rakyat mahu mengadu kepada institusi yang
paling atas dalam negara iaitu DYMM Agong dan Raja-Raja Melayu kerana
tidak percaya kepada kerajaan yang sedia ada supaya dapat dilakukan
perubahan kepada negara yang mengalami pelbagai kepincangan dari sudut
ekonomi, jenayah, rasuah dan salah guna kuasa.


"Jangan main-main dengan rakyat. Sekali lagi kita dipermainkan, kita akan
turun lagi di jalan raya," katanya.


Turut menyampai ceramah utama ialah Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Haji
Abdul Hadi Awang dan Penasihat KeADILan Dato Seri Anwar Ibrahim.


Hadir sama Naib Presiden PAS Haji Mohamad Sabu, Setiausaha Agung KeADILan
Tan Sri Khalid Ibrahim,Ronnie Liu (DAP) dan beberapa pimpinan politik dan
NGO yang lain.-->

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: