Saturday, November 10, 2007

Awas provokasi kumpulan yang 'berpakaian awam' untuk sabotaj himpunan

Awas provokasi kumpulan yang 'berpakaian awam' untuk sabotaj himpunan

Nov 09, 07

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Hrkh) - Pelbagai sekatan, provokasi dan fitnah yang
kini giat dijalankan oleh pihak tertentu bagi memastikan perhimpunan aman
Rakyat gagal atau berlangsung dengan insiden seumpama yang berlaku dalam
tragedi berdarah Batu Buruk pada 8 September lalu.

Terdapat pihak yang membuat tanggapan bahawa apa yang berlaku seolah-olah
memperlihatkan ia adalah usaha terancang pihak tertentu bagi mencetuskan
kekalutan dan insiden yang tidak diingini, dengan tujuan pihak penganjur
yakni Bersih dipalitkan dengan imej yang buruk.


Sebelum ini terdapat risalah disebarkan yang mendakwa perhimpunan esok
didalangi oleh pertubuhan antara agama yang bertujuan untuk menghancurkan
Islam (IFC).


Selain itu juga, terdapat sms dan handbill yang menyatakan bahawa
perhimpunan tersebut dibatalkan, termasuk ada yang menyatakan perhimpunan
ditunda, bertukar lokasi.


Bahkan ada yang mendakwa ia didalangi oleh Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah
Islamiah Malaysia (Pekida), dengan kerjasama polis cawangan Khas (SB) yang
dilantik sebagai agen provokator yang akan bertugas.


Tidak cukup dengan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan juga
mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan yang
dirancang di Dataran Merdeka esok kerana menurutnya ia mampu mencetuskan
kekecohan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.


Katanya, memandangkan perhimpunan yang bakal diadakan tidak mendapat
permit, maka polis tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas bagi
menghalang perhimpunan itu daripada diadakan.


Musa berkata walaupun ada yang mendakwa ia perhimpunan aman, namun polis
meragui tujuan sebenar perhimpunan itu diadakan, demikian menurut laporan
Bernama.


Kenyataan tersebut ternyata senada dengan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy
Jamaludin yang menggesa pihak keselamatan supaya bertindak tegas
menangkap mereka yang menganjurkan perhimpunan rakyat esok di Dataran
Merdeka kerana ianya akan diadakan secara haram.


Perhimpunan itu akan diadakan sehari selepas tamatnya perhimpunan agung
Umno hari ini.


"Saya cabar pembangkang, jangan jadi beruk-beruk di jalan raya tetapi
bertanding dalam gelanggang pilihan raya umum," katanya.


Sementara itu, terdapat desas-desus mengatakan segolongan ahli Putera Umno
yang kononnya akan dikerah untuk menunjukkan kehebatan mereka esok. Mereka
yang majoritinya terdiri daripada Mat Rempit ini dikatakan akan dikerah
supaya bertembung dengan peserta himpunan rakyat 'gelombang kuning'.


Selain itu, terdapat juga sekumpulan 'khadam' suruhan seorang anak muda
dengan codenamed “beruang hitam” sedang menyebarkan risalah di
sekitar Kuala Lumpur dan Lembang Klang. Kadam-kadam berkenaan diarah oleh
bosnya untuk menggagalkan gelombang kuning yang akan menggelora daripada
Dataran Merdeka menuju ke Istana Negara, Kuala Lumpur, yang bermula pada
jam 3 petang esok


Khadam-khadam “beruang hitam” juga menyebarkan berita bahawa bos
mereka telah mengarahkan sekumpulan “askar upahan” untuk memprovokasi
peserta gelombang kuning supaya bertindak liar di sepanjang perjalanan
mereka menuju ke Istana Negara.


Menyedari akan risiko-risiko yang akan terjadi serta dengan mengambil kira
makluman awal yang diterima daripada pelbagai sumber mengenai insiden yang
bakal tercetus, pihak Bersih meminta agar orang ramai tidak patah semangat
untuk terus bangkit dalam perhimpunan esok.


Bagi Bersih, apa yang akan dan telah berlaku seperti telahpun diatur
dengan baik oleh dalang yang masih tidak dapat dikenalpasti dengan niat
untuk menggagalkan kebangkitan 'gelombang kuning'. - mr


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: