Saturday, November 10, 2007

Kumpul di 4 lokasi kalau Dataran ditutup - Bersih

10 November 2007

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Hrkh) : Polis dijangka menutup semua jalan
menuju ke Dataran Merdeka bagi mengelakkan orang ramai berkumpul untuk
menuntut sebuah sistem pilihan raya yang bersih esok. Sekiranya itu
berlaku, penganjur perhimpunan, Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan
Adil (Bersih) mengumumkan empat lokasi untuk orang ramai berkumpul sebagai
langkah alternatif.

"Tempat-tempat tersebut adalah di Sogo, Masjid India, Masjid Negara dan
Pasar Seni. Orang ramai dinasihatkan berkumpul di keempat-empat lokasi
tersebut sehingga isyarat bergabung diterima daripada pemimpin
perhimpunan," kata ahli jawatankuasa Bersih, Tian Chua dalam satu
kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun katanya, sekiranya Dataran Merdeka tidak ditutup,
orang ramai diminta berkumpul di situ seperti rancangan asal. Selain itu,
kata Tian, orang ramai juga dinasihati masuk ke Kuala Lumpur lebih awal
kerana pihak penganjur menjangkakan polis akan mengadakan sekatan-sekatan
jalan raya di kebanyakan lalaun memasuki ibu kota. - lanh

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: