Saturday, November 10, 2007

Jangan gusar dengan gertak polis

Jangan gusar dengan gertak polis

Oleh Intan Abdullah

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Hrkh) - Meskipun pelbagai usaha dilakukan bagi
menyekat kebangkitan rakyat menerusi Perhimpunan Aman Rakyat esok, namun
ia tetap akan diteruskan juga. Pengerusi Perhimpunan Aman Rakyat Bersih,
Mohamad Sabu, meminta orang ramai bertenang dan tidak sesekali gusar
dengan ancaman serta gertakan pihak-pihak yang tidak senang hati dengan
program tersebut.

Menurutnya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam, Bersih
mengambil inisiatif mengeluarkan beberapa panduan kepada orang ramai yang
akan turun beramai-ramai ke Dataran Merdeka esok.

Mereka dinasihati agar menggunakan kenderaan awam bagi mengelakkan diri
dari kesesakan lalu lintas.

Sekiranya menggunakan kenderaan sendiri, mereka boleh meletakkan
kenderaan mereka seperti berikut :

Dari Selatan : digalakkan meletakkan kenderaan mereka di stesen Star LRT
Bukit Jalil dan turun di Masjid Jamek.

Dari Utara : Digalakkan meletakkan kenderaan di stesen komuter Rawang
dan turun di stesen Kuala Lumpur.

Dari Timur : digalakkan meletakkan kenderaan mereka di stesen Putra LRT
Gombak dan turun di stesen Masjid Jamek.

Bagi yang khuatir cuaca hujan mereka tidak digalakkan membawa payung
sebaliknya membawa baju hujan serta topi berwarna kuning.

Selain membawa bekalan air minuman, mereka juga digalakkan membawa
sebarang alat rakaman seperti kamera dan kamera video bagi merakamkan
peristiwa bersejarah ini.

Orang ramai tidak digalakkan membawa sebarang objek tajam dan
membahayakan tetapi membawa kain rentang yang menjurus kepada tuntutan
Bersih, bendera Malaysia serta kain kuning yang boleh dikibarkan.

Sementara itu, Bersih juga dimaklumkan mengenai penyertaan Persatuan
Orang-orang Buta Malaysia dalam perhimpunan tersebut.

Pergerakan ini akan bermula di Dataran Merdeka dan kemudiannya berarak
menuju ke Istana Negara dengan menggunakan jalan bersebelahan dan terus
menuju ke Istana Negara.

Ia akan diakhiri dengan upacara pelepasan belon di perkarangan Istana
Negara pada jam 5 petang selepas penyerahan memorandum kepada Yang
diPertuan Agong selesai dijalankan.

Bagi mereka yang berada di luar Lembah Klang dan tidak berkesempatan
untuk menyertai himpunan tersebut boleh mengikutinya yang akan disiarkan
secara langsung menerusi web tv www.webtv.pas.org.my, www. kelantan.tv,
dan www.tvpas.com. - mr

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: