Monday, November 05, 2007

Deklarasi Pemuafakatan Serambi Makkah

DEKLARASI PEMUAFAKATAN SERAMBI MAKKAH
Oleh Mohd Azmi Abdul Hamid

'Dengan nama Allah Yang Pemurah dan Penyayang'

Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang yang berjuang di jalannya
dalam barisan yang teratur umpama bangunan yang tersusun:kukuh
(Ash-Shaff:4)

Sesungguhnya (agama Tauhid) Ini adalah agama kamu semua; agama yang satu
dan Aku adalah Tuhanmu, Maka sembahlah Aku. ( Al-Anbiyaa': 92)

Dengan ini; Persidangan Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia
di Kota Bharu , Kelantan pada 15-16 Syawal 1428/27-28 hb Oktober 2007
yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim dan Sekretariat
Kongres Umat Islam Malaysia (SKIMA) dan disertai 500 orang perwakilan
dari 78 Pertubuhan-Pertubuhan Islam peringkat Negeri dan Kebangsaan telah
bermuafakat bahawa:

Menyedari bahawa seluruh pendokong Pertubuhan-Pertubuhan Islam sebagai
golongan yang lebih dipertanggungjawabkan untuk membela agama Allah. Oleh
itu sewajarnya kita terus memikul tanggungjawab memandu, memimpin serta
membimbing umat agar jelas dengan visi dan misi untuk membangun bersama
Islam dan menghayatinya dalam kehidupan yang diredhoi oleh Allah.

Memahami bahawa tugas Pertubuhan-Pertubuhan Islam amat berat terutama
dalam keadaan cabaran semakin bertambah. Para aktivis
Pertubuhan-Pertubuhan Islam perlu bersedia dan melengkapkan diri dengan
ilmu, kemahiran dan siasah kepimpinan yang diperlukan disamping banyak
memahami dan menganalisis permasalahan umat semasa. Pertubuhan-Pertubuhan
Islam perlu bijaksana dalam merancang, menjana program tindakan untuk
dilaksanakan.

Menginsafi bahawa umat sedang menghadapi berbagai masalah dan cabaran
sama ada berbentuk lokal atau global. Sikap ulama dan umat haruslah terus
positif bahawa tiada masalah yang tidak dapat ditangani dan diatasi
asalkan semangat berjihad dan berkorabn untuk Islam disuburkan . Sikap
pertama yang harus dipupuk ialah melihat masalah itu sebagai peluang dan
cabaran, bukan penghalang.

Mengingati bahawa dalam Pertubuhan-Pertubuhan Islam masih wujud
kelemahan dan kekangan yang perlu diatasi segera, kelemahan tersebut
termasuk kekurangan menterjemahkan potensi dan meningkatkan kemahiran
beroganisasi, keengganan berjuang dalam wadah Ulama kerana kepentingan
masing-masing. Akibatnya berlaku pengabaian usaha membasmi kejahilan
umat. Ulama berpecah, umat sengsara dan parah.

Mewaspadai taktik dan rancangan golongan yang memusuhi Islam melalui
pelbagai cara sama ada secara terang atau tersembunyi, bersikap lokal,
nasional atau global. Maka, para Pertubuhan-Pertubuhan Islam perlu
bangkit, bertindak, menyatukan barisan dan menguatkan perpaduan dan
intergriti serta berusaha secara jama'ie menghadapi tantangan musuh
dengan strategi yang lebih berkesan.

Mengambil perhatian bahawa ukuran kejayaan sesuatu usaha
Pertubuhan-Pertubuhan Islam bukan terletak kepada semangat dan laungan
semata-mata, bukan hanya menghasilkan resolusi demi resolusi tanpa
tindakan yang berkesan. Para aktivis, Pertubuhan-Pertubuhan Islam dan
pendokong mereka seharusnya berganjak ke suatu paradigma baru yang
menekankan strategi bertindak secara rapi , perlaksanaan secara konsisten
, mendepani seteru Islam secara berani dan yakin dan membina barisan
amilin secara berterusan.

Meneliti bahawa perkembangan muktakhir umat Islam di rantau Palestin,
Iraq dan Afganistan terus bergolak angkara tindakan musuh Islam dan kuasa
penjajahan disamping kelemahan dalaman umat. Umat Islam seluruh dunia
perlu bertindak membantu dan membebaskan saudaranya yang dizalimi.

Mengingati usaha untuk memperkasakan Ummah perlu komitmen berterusan dan
dan meningkat. Para aktivis Pertubuhan-Pertubuhan Islam dan anggota mereka
serta Ulama dan Umarak perlu membantu dan bekerjasama dalam bidang yang
boleh disepakati dan mengelakkan perselisihan yang merugikan umat.

Menginsafi bahawa usaha untuk mencerdaskan umat perlu bermula dengan
pendidikan dari peringkat paling dasar hingga ke tahap yang tertinggi,
membangun intelektual, membina budaya ilmu, budaya Iqra dan menghayatinya
dalam kehidupan.

Memahami bahawa status umat masa kini dilihat dari perspektif nasional
dan global belum menampakkan kesatuan yang kukuh dan mempunyai kekuatan
dari segi rohani, spiritual, dan intelektual Maka usaha berterusan perlu
digandakan untuk membantu keadaan yang masih gawat.

Menghayati bahawa tugas murni para aktivis dan pendokong
Pertubuhan-Pertubuhan Islam sejak dulu, kini dan selamanya sentiasa
berusaha mencerdaskan diri dan umat, menambah ilmu, menegak dan
menghayati syariah dan akhlak Islami, melaksanakan amanah Allah serta
ikhlas membangun umat secara jama'i.

Maka Kami dari Pertubuhan-pertubuhan Islam Beriltizam dan Bermuafakat:

1. Meningkatkan keberkesanan gerakkerja Pertubuhan-Pertubuhan Islam
masing-masing demi menyumbang kepada usaha mendaulatkan Islam di negara
ini khususnya dan dunia ini amnya.

2.Menggabungkan seluruh kekuatan antara pertubuhan-pertubuhan Islam
dalam suatu saf gertakerja yang lebih tersusun dan berkesan untuk
mengangkat martabat umat dalam seluruh bidang kehidupan.

3. Menjadikan pertubuhan-pertubuhan Islam sebagai wadah pemersatu ummat
dan benteng mempertahankan izzah serta kesucian Islam dari segala ancaman
musuh.

4. Mengikis segala sikap dan amalan yang merugikan ummah dalam
mendaulatkan Islam dikalangan wadah-wadah Islam samada dalam tindakan
individu atau kumpulan. Seluruh anggota aktivis dan kepimpinan organisasi
Islam perlu saling menghormati ,mengukuh dan meningkatkan kerjasama yang
efektif demi kecemerlangan Islam.

5. Sentiasa berwaspada dalam menghadapi strategi musuh untuk mengadu
domba dan melemahkan organisasi Islam. Semua kepimpinan Islam perlu
mengukuhkan persepakatan dalam mengenali gerak geri musuh.

6. Membina suatu imej yang sentiasa menjadikan pertubuhan-pertubuhan
Islam sebagai pembawa mesej penyayang, penegak keadilan dalam sosial dan
hak demokrasi kepada segenap masyarakat sama ada Islam dan bukan Islam.

7. Sentiasa memberi keutamaan kepada pembinaan syaksiah dan nilai hidup
muslim yang sejati melalui pendekatan tarbiyah dan dakwah berkesan kearah
mewujudkan model-model masyarakat Islam yang dapat dicontohi.

8. Sentiasa menggerakan usaha untuk menjadi pembela kepada hak
masyarakat yang tertindas dan terpinggir dari proses pembangunan demi
mengembalikan kesejahteraan dan kesaksamaan sosial.

9. Membina jaringan dan penggabungan sumber tenaga dan material untuk
membenteras gejala sosial sehingga ke akar umbi.

10. Mengusahakan gerakerja yang dapat memurnikan kepimpinan politik
negara melalui pendidikan awam berkaitan prinsip dan kewajipan politik di
dalam Islam.

11. Sentiasa bergabung tenaga dalam mengarus perdanakan proses
menggangkat kepimpinan ulama dalam proses pembinaan negara.

12. Menggiatkan usaha yang lebih tersusun, terancang dan berkesan dalam
mengukuhkan status dan kekuatan ekonomi ummat dalam seluruh bidang
termasuk pertanian, perkhidmatan, perindustrian dan pengeluaran demi
melahirkan masyarakat Islam yang mandiri.

13. Sentiasa meningkatkan pengembelengan usaha untuk gerak kempen
pembasmian rasuah dan penyalahgunaan kuasa dari segenap peringkat.

Allahu Akbar.

Sekian.

Pengarah,
Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Islam MALAYSIA


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: