Thursday, November 15, 2007

Polis, FRU cetuskan kekecohan

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Hrkh) - Belumpun Perhimpunan Aman Rakyat dimulakan,
pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengepung lebih 5 ribu peserta
yang berhimpun di Masjid Jamek dekat sini.

Tiga trak water canon dan 50 anggota FRU memenuhi sepanjang jalan di bawah
stesen LRT Masjid Jamek jam 2.30 petang.


Jalan Tun Perak yang biasanya mengalami kesesakan sepanjang hari, ditutup
polis dari kedua-dua arah.


Suasana pada awalnya agak terkawal apabila kira-kira 100 anggota Unit
Amal PAS yang membuat barisan ditengah-tengah jalan terbabit untuk
mengawal para peserta himpunan supaya tidak dikacau oleh pihak polis.


Selepas itu, tiga trak water canon mengambil posisi di hadapan simpang
Dataran Merdeka dan terus mara di tengah-tengah himpunan.


Keadaan menjadi lebih kecoh, apabila FRU mengeluarkan arahan menghalau
para peserta himpunan yang mula mara ke Dataran Merdeka.


Dengan laungan takbir 'Allahuakbar; Lailahaillah berulang-ulang
kali,dengan tidak menghiraukan arahan polis itu, menyebabkan FRU
melepaskan semburan asid kepada orang ramai yang berada di hadapan
bangunan bank OCBC, setesen LRT, dan kedai-kedai yang berada di sepanjang
jalan bawah LRT.


Hampir setiap sudut dan kedai-kedai di sepanjang masjid jamek di sembur
oleh FRU, keadaan menjadi kelam kabut dan masing-masing peserta berlari
bertempiaran mengelak daripada terkena semburan asid.


Walaupun dalam keadaan hujan yang amat lebat, orang ramai tidak putus asa
sambil mengarahkan kumpulan mereka supaya terus mara ke Dataran Merdeka
sementara FRU tidak memuntahkan semburannya.


Bagaimanapun, ramai di kalangan peserta yang kena semburan air agak
keletihan dan tidak terdaya dengan mata dan kulit muka kemerah-merahan
akibat terkena semburan air yang mengandungi bahan 'Chemical'.


Ketika ini kedengaran para peserta himpunan menjerit 'cepat.. bergerak'
berulang kali meminta para peserta terus mara ke Dataran Merdeka.


Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Mohd Ramli yang merupakan ketua peserta
himpunan di Masjid Jamek terus meminta semua peserta mara ke Dataran
Merdeka.


Dalam keadaan para peserta sedang mara ke Dataran Merdeka, FRU sekali
lagi menghala semburan kepada mereka menyebabkan keadaan menjadi kecoh
dan kelam kebut dan mereka berlari bertempiaran sambil menjerit-jerit.


Beberapa minit kemudian, para barisan FRU yang terdiri daripada 10 orang
sekali gus melepaskan tembakan gas pemedih mata di hadapan Stesen LRT
Masjid Jamek dan di celah lorong ke Masjid India menyebabkan para peserta
himpunan lari menyelamatkan.


Malah ada beberapa peserta yang memberanikan diri mengambil semula peluru
gas pemedih mata yang jatuh di hadapan mereka dan membalingkan semula ke
arah pasukan FRU walaupun berhadapan dengan risiko sesak nafas dan pedih
mata.


Ekoran daripada tindakan ganas FRU yang melepaskan sepuluh peluru gas
pemedih mata sekali gus menyebabkan para peserta himpunan seperti putus
asa dan undur semula ke arah perkarangan Masjid Jamek.


Ada di antara peserta yang terpaksa kembali ke masjid untuk mengelak dari
terkena gas pemedih mata malah ada di kalangan mereka terbahak-bahak
sehingga termuntah kerana terhidu gas pemedih mata.


Segerombolan FRU mengejar para peserta himpunan menyebabkan mereka
terpaksa berlindung di kawasan masjid, di samping itu kira-kira 20 orang
FRU berbaris sambil memegang perisainya di hadapan pintu pagar masjid
menyebabkan para peserta himpunan tidak dapat keluar.


Hampir setengah jam, para peserta tidak kira tua, muda, remaja, bahkan
kanak-kanak terpaksa berlindung seketika di dalam Masjid Jamek sambil
membersihkan muka yang terkena semburan asid dari FRU.


Akhirnya peserta himpunan berunding dengan pihak FRU untuk keluar dari
kawasan masjid dan memberitahu mereka para himpunan akan bersurai.


Kelihatan para peserta memecat semula baju kuning mereka sebagai taktik
untuk keluar dari perkarangan masjid kemudian selepas itu mereka memakai
semula 'T-Shirt Bersih untuk sama-sama berarak ke Istana Negara. - mr


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: