Saya tertarik apabila membaca tajuk di atas di dalam akhbar Berita
Harian, Khamis, 1 November 2007, ruangan Nasional halaman 16.
<http://www.bersih.org/> Di dalam berita tersebut melaporkan, Samy
Vellu meminta semua kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT)
menghentikan serta merta tindakan meroboh kuil bagi menghormati penganut
agama Hindu. Katanya "Saya sudah pun beberapa kali membawa perkara ini
dalam mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri tetapi masih ada kuil
yang dirobohkan." "Isu pencerobohan kuil di kampung Karuppiah, Padang
Jawa, Shah Alam, semalam (kelmarin) melukakan hati penganut agama Hindu
di kawasan berkenaan." Samy Vellu berkata, beliau merayu kepada pihak
berkenaan supaya tidak mengambil tindakan drastik dengan merobohkan kuil
walaupun ia dibina tanpa mengikut undang-undang.
Sementara itu, Selangor mengarahkan pemaju menyediakan tapak membina
semula kuil Hindu yang diroboh di perkampungan setinggan kampung Rimba
Jaya, dekat sini petang kelmarin. Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri, Datuk Mohd Mokhtar
Ahmad Dahlan berkata, kuil akan dibina di sekitar kampung berkenaan oleh
pemaju, Khidmat Tulen Sdn. Bhd. Mohd Mokhtar berkata, operasi merobohkan
setinggan termasuk kuil disambung esok selepas ditangguhkan dua hari
hasil perbincangan Samy Vellu dengan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah
Ahmad Badawi dan Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.
Membaca berita ini, hati saya benar-benar terusik, dan jiwa saya
benar-benar sedih. Di manakah pimpinan Malaysia beragama Islam yang
berani tampil ke hadapan membela maruah Surau dan Masjid yang dirobohkan
seperti yang dilakukan oleh Samy Vellu dalam membela hak penganut agama
Hindu di Malaysia. Tak dapat saya kira telah berapa banyak Surau dan
Masjid yang telah dirobohkan tetapi pemimpin-pemimpin Islam kerajaan
Islam Hadhari membisu seribu bahasa. Seolah-olah yang dirobohkan itu
adalah sarang anai-anai yang tiada nilainya pada umat Islam khasnya dan
manusia umumnya. Di manakah letaknya maruah kita sebagai manusia yang
mendabik dada manyatakan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia? Tiada
sedikitpun di hati pemimpin-pemimpin kerajaan Islam Hadhari terluka
apabila Surau dan Masjid dirobohkan sepertimana terlukanya hati Samy
Vellu.
Marilah sama-sama kita muhasabah diri, nilailah sejauh mana keimanan
kita sebagai pengamal ajaran Islam, bukan sekadar sebagai pemeluk agama
Islam. Semoga Allah ampunkan kita di atas keterlekaan kita selama ini.
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment