Wednesday, October 21, 2009

Tol: Dilema rakyat dan rasional kerajaan

Shahrir cadang kerajaan beli saham Plus elak tol naik
November 25 2007

JOHOR BAHARU, 25 Nov (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang
Awam (PAC) Datuk Shahrir Abdul Samad menyarankan kerajaan membeli
keseluruhan pegangan saham Plus Expressway Berhad (Plus) sebagai langkah
mengelakkan kadar kenaikan tol lebuh raya.

Katanya pembelian saham itu sekaligus menjadikan aset Plus sebagai aset
awam yang merupakan langkah terbaik bagi mengelak bebanan kerajaan
kemungkinan terus terpaksa membayar pampasan kepada pemegang konsesi tol
jika caj tidak dinaikkan serta beban rakyat untuk membayar caj sekiranya
tol dinaikkan.

"Pada saya kalau kita tengok umumnya, adalah lebih baik sekiranya kerajaan
membeli saham Plus. Jadi tol tidak naik kerana konsesi terbatal dan tol
yang dikutip itu hanya ditumpu bagi tujuan penyelenggaraan lebuh raya
sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen derma darah
di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Seri
S. Samy Vellu di Dewan Rakyat, Khamis lepas bahawa kerajaan perlu
membayar pampasan RM380 juta kepada pemegang konsesi tol jika mereka
tidak dibenarkan menaikkan caj tol pada tahun depan.

Shahrir yang juga anggota parlimen Johor Baharu berkata pembelian aset
Plus itu juga perlu dilakukan kerajaan bagi menjayakan rancangan
penstrukturan semula subsidi dan sebagai permulaan pembelian aset Plus
itu harus dibuat secara berperingkat.

"Buat permulaan, kerajaan mungkin boleh membeli Lebuhraya Utara-Selatan
sebelum seterusnya Lebuhraya Lembah Klang Baru, Lebuhraya Seremban-Port
Dickson dan sebagainya.

"Apabila Plus menjadi aset awam maka tempoh pulangan pinjaman kepada bank
dapat dilanjutkan dalam tempoh yang panjang berbanding sektor swasta yang
singkat. Maka sektor swasta tidak menanggung beban bayaran pinjaman dan
rakyat seterusnya juga tidak perlu lagi menanggung beban kenaikan tol,"
katanya.

Samy Vellu pada persidangan Dewan Rakyat memberitahu bahawa lapan syarikat
konsesi lebuh raya dijadual menaikkan kadar tol masing-masing pada 1
Januari tahun depan sementara sebuah lagi syarikat pada 1 Okt 2008.

Pampasan sebanyak RM75 juta telah diberikan kepada pengendali lebuh raya,
LITRAK di Kuala Lumpur berikutan keputusan mengurangkan kadar tol lebuh
raya berkenaan daripada RM2.20 kepada RM1.60 sebagaimana yang diluluskan
pada tahun ini.

Projek konsesi yang terlibat dalam isu kenaikan tol ialah lebuh raya
bertingkat Ampang (RM28 juta), Lebuhraya Elite (RM18 juta), Lebuhraya
Utara-Selatan termasuk rangkaian Seremban-Port Dickson (RM178 juta),
Kulim-Butterworth Expressway (RM10 juta), Linkedua ke Singapura (RM6
juta) Lebuhraya Barat Kuala Lumpur (RM34 juta), New Klang Valley
Expressway (RM9 juta) dan Jambatan Pulau Pinang (RM22 juta).


Tol: Dilema rakyat dan rasional kerajaan
Mat Zain Mat Isa
Nov 25, 2007

Balik-balik alasan sama yang diberikan kerajaan bagi merasionalkan
kenaikan kadar bayaran tol di beberapa lebuh raya negara. Bukan kali
pertama kerajaan menyandarkan hujah bahawa tindakan itu adalah hak
syarikat-syarikat konsesi terbabit sebagaimana dimaktubkan di dalam
perjanjian.

Bukan asing juga bagi rakyat untuk mendengar alasan bahawa kerajaan sudah
tidak bersedia membayar pampasan ratusan juta kepada syarikat-syarikat
tersebut sekiranya tidak membenarkan mereka menaikkan kadar tol.


Rakyat juga pernah dijinakkan dengan hujah kononnya sebarang kenaikan tol
telah mengambil kira pandangan semua pihak. Bahkan, sering dihujahkan
juga kononnya kenaikan itu dijamin tidak membebankan rakyat, khususnya
pengguna lebuh raya-lebuh raya terbabit. Kononnya kadar baru tol itu
masih rendah berbanding perjanjian asal. Pernah juga dikatakan kadar
tol negara kita jauh lebih murah berbanding beberapa negara lain.


Kini sebahagian alasan dan rasional (yang sebenarnya sangat tidak
rasional!) itu kembali berkumandang. Rakyat yang sudah sedia terbeban
kehidupan mereka dengan kenaikan harga minyak, kos pengangkutan dan
harga berbagai barangan keperluan, kini sekali lagi dipaksa menerima
hakikat kenaikan tol di beberapa laluan utama di seluruh negara.


Akhbar-akhbar harian bermula Jumaat (23 November) menyiarkan kenyataan
dan ulasan beberapa pihak berkaitan isu kenaikan tol. Ia bermula dengan
kenyataan Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S. Samy Vellu bahawa kerajaan
terpaksa membayar RM380 juta kepada syarikat-syarikat konsesi lebuh
raya jika kadar tol tidak dinaikkan pada tahun depan.


Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2008 peringkat
jawatankuasa di Dewan Rakyat, Khamis lalu, Samy Vellu mengumumkan
sebanyak lapan syarikat terbabit dijadualkan menaikkan kadar tol
masing-masing pada 1 Januari dan 1 Oktober 2008.


"Kementerian Kerja Raya menganggarkan pampasan sebanyak RM380 juta perlu
disediakan bagi tahun 2008 sekiranya kenaikan kadar tol tidak
dilaksanakan," katanya, sebagaimana dipetik Utusan Malaysia, Jumaat.


Beliau merujuk kepada anggaran kementeriannya terhadap nilai pampasan
kepada lapan lebuh raya, iaitu Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Hulu Klang
(RM28 juta), Lebuh Raya Utara-Selatan-Hubungan Tengah (RM18 juta),
Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (RM178 juta) dan Lebuh Raya
Kulim-Butterworth (RM10 juta).


Empat lagi ialah Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (RM6 juta),
Lebuh Raya Utara-Selatan, Klang Utara Baru (RM9 juta), Skim Penyuraian
Trafik Kuala Lumpur Barat (RM34 juta) dan Jambatan Pulau Pinang (RM22
juta). Jumlah keseluruhan ialah RM205 juta.


Samy Vellu berkata, pampasan RM75 juta lagi diperuntukkan kepada
pengendali Lebuh Raya LITRAK di Kuala Lumpur ekoran pengurangan kadar
tol daripada RM2.20 kepada RM1.60 yang telah diluluskan tahun ini.


Sebagaimana dimaklumi, isu kenaikan kadar bayaran tol bukan isu baru. Ia
telah berbangkit sejak pembukaan lebuh raya bertol yang pertama di negara
ini, iaitu Lebuh Raya Utara-Selatan, pada Mei 1988 lalu. Ia diikuti
Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak pada Julai 1994 dan Lebuh Raya Bertingkat
Ampang-Kuala Lumpur pada Mei 1996.


Suatu yang nyata, rakyat sebagai pengguna lebuh raya terbabit semacam
tidak pernah merestui bayaran yang terpaksa mereka keluarkan setiap
kali melintasi plaza tol. Bantahan terhadap sebarang kenaikan kadar tol
senantiasa kedengaran. Bahkan, suara-suara agar kutipan tol dihapuskan
terus, juga tidak pernah padam.


Berbagai pihak telah tampil mengemukakan segala macam cadangan dan
pandangan agar rakyat tidak terus-menerus dibebankan dengan kenaikan
tol. Pernah disuarakan beberapa persatuan pengguna agar kerajaan
menubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi mengkaji terma-terma perjanjian
konsesi lebuh raya antara kerajaan dan syarikat-syarikat terbabit.


Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Dato' Dr Maamor Osman
menganggap syarikat konsesi lebuh raya selama ini memperolehi keuntungan
bukan sahaja menerusi kutipan tol, tetapi juga melalui bayaran papan
iklan dan tempat perniagaan di sepanjang lebuh raya.


Pandangan sama oleh tokoh sama sebenarnya bukan sahaja disebutnya Jumaat
lalu, tetapi telah pun disuarakannya ketika isu kenaikan tol hangat
dibahaskan pada Ogos 2005 lalu.


Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris pula
pernah mencadangkan agar syarikat konsesi mengurangkan kos pentadbirannya.
Bagi beliau, pemegang konsesi tidak mencatat keuntungan kerana mereka
memperuntukkan perbelanjaan yang tinggi bagi tujuan pentadbiran.


Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof.
Dato' Hamdan Adnan pula pernah mencadangkan agar kerajaan mengambil
alih syarikat konsesi terbabit dan menjualnya kepada syarikat lain yang
mampu mengenakan kadar tol yang lebih rendah.


Terbaru ialah cadangan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang supaya Petronas
mengambil alih semua lebuh raya di negara ini. Malangnya, setakat ini
kerajaan tidak menampakkan sebarang minat untuk menimbang, apatah lagi
melaksanakan cadangan dan pandangan itu.


Pernah juga ada cadangan agar kerajaan melanjutkan tempoh konsesi seperti
yang termaktub dalam perjanjian sedia ada kepada tempoh lebih panjang.
Kononnya, dengan tempoh lebih panjang itu syarikat terbabit tidak perlu
menaikkan kadar tol bagi memperolehi kembali jumlah kutipan yang
disasarkan. Hasilnya, rakyat tidak akan dibebankan dengan kenaikan tol
lagi.


Menurut rekod, kerajaan pernah melaksanakan cadangan ini. PLUS Berhad,
pemegang konsesi untuk Lebuh Raya Utara-Selatan telah mendapat
keistimewaan dari pelaksanaannya. Dalam perjanjian asal, ia memperolehi
kontrak mengutip tol untuk tempoh 30 tahun iaitu dari Mei 1988 hingga
Mei 2018.


Pada tahun 1999, kontrak itu disambung 12 tahun lagi, sehingga 2030. Pada
2005, ia disambung lapan tahun lagi untuk tempoh 2030 hingga 2038.
Ertinya syarikat berkenaan telah mendapat sambungan tempoh konsesi
selama 20 tahun.


Malangnya, hasrat rakyat untuk melihat tiada lagi kenaikan kadar tol di
lebuh raya yang dikendalikannya tidak juga kesampaian. Kerajaan
membenarkan PLUS menaikkan kadar tol pada 1998, 2002, 2005 dan akan
naik lagi pada 2008 nanti.


Alasan lain pula diberikan bagi merasionalkan kenaikan itu. Syarikat
terbabit dikatakan terpaksa mengeluarkan belanja tambahan untuk
berbagai kemudahan dan keselesaan pengguna. Antaranya bagi melebarkan
jalan daripada empat kepada enam lorong, membesarkan beberapa plaza tol
yang dikenal pasti mengalami kesesakan dan sebagainya.


Berdasarkan apa yang pernah berlaku, kerajaan senantiasa mengemukakan
hujah dan alasan tersendiri bagi merasional setiap kenaikan kadar tol.
Tidak nampak sebarang kemungkinan kerajaan akan mengurangkan kadar
bayaran yang telah dikenakan itu.


Kini, rakyat tinggal hanya satu harapan untuk membebaskan mereka dari
bebanan bayaran tol. Ingat lagi apa kata Ketua Umum Parti Keadilan
Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim beberapa bulan lalu
mengenai perkara ini?


"Insya Allah, kalau ditakdirkan hari ini kita (Barisan Alternatif)
perintah Malaysia, esok kita turunkan harga minyak... kita boleh kaji
semula kadar tol," demikian kata beliau. Anwar yakin, menurut
pengalamannya mentadbir kewangan negara sebagai Menteri Kewangan,
perkara itu tidak mustahil dapat dilaksanakan.


Kenyatan senada turut diucap beberapa pemimpin BA lain, terutama dari
kalangan pemimpin PAS. Dalam keadaan tidak ada langsung kemungkinan ke
arah itu yang boleh diharapkan daripada pemimpin BN, tidak ada salahnya
rakyat memberi kepercayaan kepada BA pula untuk membuktikan janjinya
itu.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: