Sunday, October 18, 2009

Demokrasi IPT dan Pendidikan Islam di tahap membimbangkan

Demokrasi IPT dan Pendidikan Islam di tahap membimbangkan
Ali Bukhari Amir, Oct 28, 2007

KOTA BAHRU,28 Okt (Hrkh) " Amalan demokrasi dalam pilihan raya kampus
(PRK) dan konsep penghayatan pendidikan Islam di negara kita berada di
tahap membimbangkan.

"Hal ini bertambah kalau tiada usaha berkesan untuk menyemak semula amalan
pendidikan hari ini," kata Presiden Wadah Pemersatu Umat (Wadah) Dr.
Siddiq Fadhil.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja Ulamak dan
Umarak: Penyatu Pembangunan Ummah dan Negara.

"Apakah sistem pilihan raya kampus universiti hari ini benar-benar
merupakan sebuah demokrasi yang tulen?"soal beliau.

Dr Siddiq menyifatkan hal ini sebagai sindrom seorang bapa yang sanggup
mencederakan anaknya sendiri.


"Saya risau generasi masa depan mencemuh dan menyatakan betapa tergamak
bapa mereka (pimpinan universiti) mencacatkan anaknya sendiri," kata
beliau.


Sementara itu, aktivis dan bekas Yang Dipertua Abim Pulau Pinang, Prof
Madya Dr Fadhlullah Jamil berkata telah wujud sekatan ke atas Pendidikan
Islam di universiti.


"Ruang untuk pendidikan Islam di universiti perlu diperluaskan. Di USM
ada Kanita, suatu pusat pengajian wanita ditubuhkan."


"Tapi, kenapa pusat pengajian Islam di USM tidak ditubuhkan, walhal kami
perjuangkan hal ini lama dulu," kata beliau.


Selain itu, tambahnya, kini ada tekanan dari pihak atasan bagi melantik
Timbalan Naib Canselor dari kalangan bukan Melayu.


"Dan hal itu kadangkala bukanlah berasaskan merit. Ia berdasarkan desakan
sebuah parti bukan Melayu daripada komponen BN," kata beliau.


Namun, seorang pensyarah yang enggan namanya disiarkan berkata, "Boleh
jadi MCA atau Gerakan yang membuat tuntutan ini."


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan
Teknologi YB Mohd Amar Abdullah berkata pendidikan Islam hari ini perlu
disemak untuk menuju pendidikan yang mengembalikan akhlak.


"Hishammuddin berkata bahawa pendidikan kita mahu disemak semula. Tapi,
idea itu cuma melahirkan pelajar yang baik dalam akademik dan bukan
penghayatan. "Syed Muhammad Naquib al-Attas berkata, pendidikan Islam
memadai ditakrifkan dengan kebaikan akhlak saja. Hujahnya berdasarkan
hadis yang banyak menyentuh soal akhlak," kata Mohd Amar. -
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: