Sunday, October 18, 2009

Sejarah Bukan Sekadar Melihat

Surat kepada SS Mufti Perlis
SEJARAH BUKAN SEKADAR MELIHAT
-Azizi Hj Abdullah

Mengimbau sejarah memang baik. Tapi sejarah bukan saja untuk diimbau
melainkan memetiknya lalu dijadikan iktibar. Iktibar tidak boleh
diklasifikasi atas sebab status atau kedudukan. Apabila dikatakan
iktibar, ia tidak sekadar imbauan dengan catatan nama dan fakta tetapi ia
perlu menjadi asas teguran masa kini.

Jika di zaman sahabat, Mu`awiyah (sekadar sebutan contoh) dianggap
melakukan hukuman dan tindakan melampau, ia bukan sekadar sebuah cerita
menganggap Mu`awiyah melampau tetapi mereka yang melakukan seperti
Mu`awiyah masa kini mesti juga dianggap melampau dan diperlukan tindakan.
Dan sebutan bukan lagi `mereka' tetapi mestilah A atau B.

Mahu menyalahi kesalahan Mu`awiyah mengikut cerita sejarah tentulah
mustahil kita hendak menggali kubur Mu`awiyah untuk membuktikan batang
tubuh itu salah. Tetapi jika yang melakukan seperti Maayiwah kini, ia
bukan sejarah tetapi ia mengulangi sejarah seperti Mu`awiyah maka ia
perlulah disebut siapa dan perlu dihukum.

Saya melihat tulisan Dr.Asri Zainul Abidin, Mufti Kerajaan Perlis di dalam
MM muka 6, keluaran 28 Oktober 2007 sangat tidak adil, mempunyai unsur
ketidakberanian menyatakan melalui imbauan sejarah, tidak berani berterus
terang dan mempunyai agenda yang berat sebelah.

Saya melihat sejak akhir-akhir ini tulisan Sahibussamahah seakan membodek
pihak tertentu dan menyalahkan pihak tertentu dari tiupan nafas politik
yang disenangi dan tidak disenangi, dari roh politik yang terjamin dan
tidak terjamin.

Jika atas niat ingin menyatakan ramai manusia yang teraniaya disebabkan
berita palsu yang direka, kemudian memberitahu penderitaan atau
kezaliman, cerita bohong, penyelewengan fakta melalui imbauan sejarah
Nabi Isa, sesungguhnya malang fakta dan hujjah ini bukan saja diketahui
umum tetapi seakan nampak Sahibussamahah ingin menyatakan sesuatu yang
terkini tetapi agak takut pernyataan itu melantun ke muka kembali.

Sepanjang setengah muka surat akhbar Mingguan Malaysia yang lebar itu,
tidak ada satu contoh, sebutan kes, fakta, pembohongan, penyelewengan,
kezaliman yang disebut berlaku masa kini, yang tentunya belum lagi
menjadi pekasam sejarah. Sepatutnya inilah yang mesti disebut, diberi
peringatan dengan hujah dan dalil Al-Qur`an serta hadis.

Misalnya penyelewengan hakikat Nabi Isa, penyelewengan tentang Saidina Ali
sampai lahirnya fahaman Syiah, apakah relevannya kes beribu tahun itu
sedangkan masa kini penyelewengan tentang konsep, dasar Islam termasuk
penambah baik Hadhari yang masih dipertikai? Mengapa tidak ada sebutan
dan ganjaran pembalasan terhadap si anu dan si dia yang melakukan
penyelewengan itu.

Ini bukan kes CIA atau SB. Ini bukan sejarah tapi realiti.

Dinukilkan surah Al-Baqarah ayat 79, dipetik juga Al-Hujurat ayat 6
tentang dosa penyelewengan, pembohongan dalam sejarah yang lalu. Ayat 79
surah Al-Baqarah, ayat 6 surah Al-Hujurat sememangnya mempunyai sebab
turunnya ketika itu, tetapi ayat-ayat ini relevan, menjadi peringatan,
panduan hingga akhir zaman. Tulisan Sahibussamahah hanya menyebut
permulaan para nabi, sahabat sedang ayat tersebut boleh diguna pakai,
bagaimana penyelewengan wang negara, perbelanjaan yang tidak telus
seperti yang dilaporkan oleh Audit Negara. Kenapa tidak disebut langsung?

Kenapa tidak menyebut kementerian itu, jabatan ini dan anu-anu yang
bertanggung jawab dalam sesuatu jabatan atau kementerian tersebut?

Kenapa pula mesti disebut Syiah zaman lampau sehingga memetik kata-kata
Al-Ghazali sedangkan pakar-pakar ekonomi kita, ulama, agamawan sudah
membongkar tentang berlaku tidak telusnya golongan tersebut. Apakah
dengan menyebut Al-Ghazali, kita seperti tidak ada apa-apa yang berlaku?

Al-Ghazali dan imam-imam yang empat menulis dan menegur pemerintah atau
khalifah di waktu itu dengan menyebut si polan – si polan, penguasanya
tetapi kita tidak pernah menyebutnya. Kita hanya mengimbau sejarah dan
memberi gambaran sejarah ribuan tahun yang lalu sedangkan di depan mata
kita, kita tidak berani. Bukankah Al-Ghazali telah menegur Sultan Sanjar
anak Raja Seljuk Gavenor Wilayah Khurasan di dalam satu majlis, di
hadapan pengiringnya?

Ghazali juga menulis kepada seorang menteri, Fakhrul Mulk, Mujiruddin.
Ghazali tidak menulis mengesahkan sejarah. Ghazali menghala tulisannya
kepada individu.

Tapi malangnya tulisan seorang yang berkedudukan tinggi, yang tulisan
tersebut mempunyai nilai yang tinggi, yang mempunyai kesan yang kuat,
tidak mampu dilakukan seperti sejarah yang diceritakan.

Di zaman pemerintahan Dr. Mahathir selama 21 tahun bukan tidak ada
penyelewengan, korup dan kezaliman dan bukan kita tidak tahu siapa yang
telah ditentukan oleh pengadilan, mengapa kita `sereyau' hendak
menyebutnya?

Para sahabat, ulama, para imam-imam sering menegur dan menulis surat
secara peribadi dan mengkritik secara terbuka tetapi kita masih juga
memetik kisah sejarah ribuan tahun. Masalah pembunuhan beramai-ramai
tahun 1985 di Mamali memerlukan orang-orang seperti Sahibussamahah
mengkritik, menegur, kerana ia melibatkan umat Islam, tetapi kita tidak
pernah membaca buah fikirnya. Penutupan sekolah agama, juga tidak pernah
cuba memberi pandangan.

Kita tidak mendesak para Sahibussamahah seperti Mufti Kerajaan Perlis
membuat hukuman di atas peristiwa yang berlaku. Tapi sebagai agamawan
yang berstatus, kita ingin mendengar sesuatu; sama ada benar atau salah
perkara tersebut. Tidak pernah ada sepucuk surat dari kalangan
Sahibussamahah menulis kepada Perdana Menteri, baik kepada Dr. Mahathir
atau sekarang menyatakan itu tidak betul, ini tidak betul berdasarkan
surah dan ayat Al-Qur`an, seperti Al-Ghazali menulis kepada Sultan
Sanjar., sedangkan kebobrokan dan penyelewengan berlaku berbilion-bilion.

Ini bukan soal politik. Al-Ghazali pernah menulis minta rakyat menjauhi
pemerintah yang zalim, yang tidak adil. Tetapi kita, walaupun kezaliman
dan tidak adil berlaku di depan mata, kita tidak pernah menulis seperti
Al-Ghazali.

Dalam tulisan itu juga Sahibussamahah Mufti Kerajaan Negeri Perlis menulis
tentang kebohongan di zaman Harun Aminurrashid. Tapi sayang sekali beliau
tidak menyentuh langsung bagaimana saksi-saksi bohong bersepah-sepah
dalam perbicaraan zaman kita, terutama di zaman pemerintahan Dr.
Mahathir. Apa ertinya imbauan sejarah kalau realitinya kita membisu?

Lupakah kita bagaimana pendakwaan dan saksi mengubah tarikh-tarikh,
saksi-saksi fasik, tuduhan liwat dan zina tanpa ada saksi syarak. Mengapa
tidak disebut sedangkan imbauan sejarah disebut panjang lebar. Apakah
saksi dan tuduhan di abad ini tidak ada nilai buruk seperti yang berlaku
di zaman Aminurrashid? Apakah sesuai disebut imbauan sejarah sahaja?

Memang benar apa saja yang berlaku kini dilihat sebagai isu politik.
Mungkin para mufti dan ulama, cerdik pandai tidak mahu mencampuri
politik. Tetapi apakah kita mesti memejam mata tentang ketidak adilan,
kezaliman, penyelewengan dalam politik? Apakah kezaliman, ketidak adilan,
penyelewengan dalam politik menghalal cara, termasuk soal hukum agama?

Apa relevannya kisah kaki buli di zaman Abu Nawas ratusan tahun yang
lampau sedangkan kaki belit dan penipun, penyelewengan sekarang ini
berlambak-lambak? Jika kebenaran itu perlu dinyatakan mengikut persepsi
agama, kenapa mesti dilindungi sebutan si A dengan sikap belitanya
sehingga berjuta-juta. Di dalam Umno berlambak-lambak kaki belit, penipu.
Di dalam kementerian juga ramai. Di dalam jabatan juga ramai, malah dalam
urusan pembinaan masjid juga ramai.

Kenapa mesti disebut tentang dendam dan kebencian Yazid bin Muawiyah
ratusan tahun yang lalu, sedangkan dendam dan benci yang berlaku di tahun
2000-2007 seperti tidak ada sebutir dosapun dilakukan oleh orang-orang
seperti Yazid? Apakah tidak ada Yazid bin Muawiyah sekarang, seperti
tidak adanya Abu Lahab sekarang?

Kenapa memetik `kod' Ibn Taimiyah bagaimana tidak adilnya hakim-hakim
ketika itu, sedangkan hakim-hakim yang tidak adil, hakim diperlekeh,
hakim boleh dibeli tidak disebut masa kini.

Kenapa kita berkata pembunuhan Hussain bin Ali tidak ada bukti
keterlibatannya sedangkan berapai ramai yang tidak terlibat dengan
jenayah dan rusuhan merengkuk di dalam penjara hingga kini?

Saya secara peribadi tidak menafikan ilmu dan sejarah untuk dijadikan
pengajaran sepanjang zaman. Tapi dengan hanya menyebut sejarah kemudian
kita memejam mata apa yang berlaku sekarang, ia tidak membawa apa-apa
makna.

Ulama, agamawan, apa lagi yang berkedudukan tinggi tidak sekadar memiliki
ilmu tetapi kita memerlukan juga keberanian. Keberanianlah yang tidak ada
kepada ulama dan agamawan sekarang. Sepanjang penulisan ulama, agamawan
ataupun ceramah, kuliah, yang disebut hanyalah sejarah bukan realiti.

Dr. Mahathir yang melakukan kesalahan banyak perkara yang bersangkutan
dengan agama, apabila ada golongan yang mengkritik, mereka dianggap
`pembangkang' . Mana dia golongan yang berkedudukan tinggi dalam
institusi agama, para mufti melainkan hanya seorang dua yang sanggup
dipecat. Jika begitu keadaan, apa perlunya mengimbau sejarah?

Oleh yang demikian, bagi saya mengimbau sejarah tentang dosa
penyelewengan, kezaliman dengan hujah Al-Qur`an dan fakta tidak membawa
apa-apa faedah, melainkan untuk melengkap sebuah tesis kesarjanaan. Akan
tetapi jika kritikan, teguran berdasarkan seperti apa yang berlaku dalam
sejarah kemudian diikuti apa yang berlaku kini secara `khusus' adalah
lebih bermakna. Yang berlaku sekarang umum, bukan khusus. Disebut
kezaliman tapi tidak disebut siapa yang melakukannya. Di sebut tidak adil
tapi tidak disebut siapa. Disebut dosa penyelewengan, walaupun Laporan
Audit Negara menyatakan berlaku, tapi tak siapa berani menyebut sebagai
contoh.

Apabila kes di bawa ke mahkamah, disebut pula biarlah mahkamah yang
menentukan. Tetapi apabila didapati bersalah, sepi semuanya. Tidak pun di
sebut si A sama sejarahnya dengan Yazid bin Muawiyah yang memiliki sifat
benci dan dendam.

Kita hanya berani menyebut, `sesetengah pihak, di antara mereka, mereka
yang melakukannya. ' Tidak ada yang berani menyebut si A atau si B. Para
ulama, agamawan, mufti, cerdik pandai yang mengimbau hal-hal sejarah
buruk tidak berani membuat penilaian masa sekarang, sedangkan dalam soal
ibadah merekalah yang selalu membuat penilaian dan perbandingan; misalnya
solat berjemaah 37 kali pahala dari solat seorang diri.

Sampai bila kita hendak jadi berani? Memetik kata-kata Dr Sidek Fadil di
Perhimpunan NGO Islam di Kelantan baru-baru ini; Kita tidak ada `jantan'
lagi.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: