Thursday, October 22, 2009

Dipecat tetapi disemadi di Makam Di Raja

Dipecat tetapi disemadi di Makam Di Raja

Saya percaya ketika menulis artikel ini jasad Almarhum Dato Ishak Baharom
sedang disemadikan di Makam Di Raja Selangor di Shah Alam.

Sebaik "dipecat" dari jawatan Mufti Selangor pada tahun 1997 wajah
Almarhum tidak lagi mendapat tempat di kaca TV atau media arus perdana.
Satu-satunya ulamak besar yang dilahirkan oleh negeri Selangor ini terus
dipinggirkan oleh kerajaan negerinya sendiri. Betapa sedihnya seorang
bertaraf bekas Mufti tidak dibenarkan memberi kuliah atau berkhutbah di
negerinya sendiri!

Namun Almarhum bukan calang-calang ulamak. Beliau tetap "consistent"
dengan sikap dan pendiriannya dari semasa beliau menjawat jawatan Mufti
selama 12 tahun sehinggalah beliau dipecat dari jawatan itu.

Antara faktor pemecatan beliau adalah kerana beberapa lanngkah berani yang
telah diambilnya atas nama Mufti Selangor. Langkah berani itu dikatakan
kontroversial oleh mereka yang cemburu pada Islam. Ketika Almrhum
Muftilah fatwa mengharamkan rokok dikeluarkan oleh Pejabat Mufti
Selangor. Beliau terlibat secara langsung dalam mengambil tindakan
terhadap pertandingan ratu cantik yang melibatkan wanita Islam serta
operasi pembenterasan maksiat sehinggalah tindakan beliau itu tidak
disenangi oleh sesetengah pihak. Peristiwa yang berlaku di "Restoran The
Ship" di Damansara Utama, dimana serbuan dibuat oleh pihak berkuasa agama
ketika berlangsungnya majlis maksiat di sana, merupakan insiden yang telah
mengakibatkan Almarhum dipecat.

Pihak tertinggi di Selangor ketika itu malangnya menyebelahi penganjur
maksiat dan tergamak memecat seorang Mufti.

Hari ini jasad ulamak besar ini dimakamkan dikomplek Makam di Raja
sekaligus memberikan penghormatan tertinggi kepada beliau sungguhpun masa
hidupnya beliau dipinggir dan dimusuhi. Begitulah berakhirnya hayat
seorang yang mulia. Yang pentingnya adalah di alam akhirat nanti yang
sudah pasti menjanjikan tempat yang lebih indah dan selesa bagi mereka
yang berkorban diri untuk agama Nya di dunia.

Dalam Utusan Malaysia hari ini dimuatkan pandangan seorang bekas Mufti dan
seoang Mufti berkenaan Almarhum:

"Beliau adalah guru yang sangat alim dan tinggi akhlaknya. Malah
Allahyarham yang saya kenali juga seorang yang berpendirian tegas serta
tidak berkompromi terutamanya yang menyentuh soal amar makruf nahi
mungkar" (bekas Mufti Wilayah, Datuk Hashim Yahya)

"Allahyarham ialah seorang ulama yang cukup gigih, berani, tegas dalam
berdakwah sehingga disegani kawan dan digeruni lawan. Malah sepanjang
beliau berkhidmat dahulu pun, beliau sanggup menegakkan kebenaran Islam
tanpa memikirkan apa yang bakal dihadapi kesan daripada tindakannya itu."
(Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria)


Jenazah Dato' Ishak Baharom selamat bersemadi di Makam Diraja
Jan 31, 2008

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Hrkh) - Jenazah Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS
Pusat, Allahyarham Dato' Ishak Baharom selamat disemadikan di Makam
Diraja, Shah Alam jam 10.55 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham yang juga bekas Mufti Negeri Selangor dibawa keluar
dari rumahnya di Jalan Seri Sambanthan, Taman Seri Andalas jam 9 pagi
untuk disolatkan di masjid Lipat Kajang, Seri Andalas.


Turut hadir di masjid Lipat Kajang ialah Presiden KeADILan, Datin Seri Dr
Wan Azizah Wan Ismail.


Sebelum disemadikan di Makam Diraja, jenazah dibawa ke Masjid Negeri
Shah Alam bagi disolatkan.


Lebih seribu orang hadirin menyembahyangkan jenazah Almarhum.
Antara pemimpin PAS yang hadir ialah Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin
Jaffar; Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang; AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifly
Ahmad dan Dr Syed Azman Syed Nawawi; Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor,
Dr Osman Sabran; Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh;
Timbalannya, Wan Hasrina Wan Hassan; dan Ketua Penerangan, Salbiah Abd
Wahab.


Turut hadir ialah Ahli MPT KeADILan, Ustaz Badrulamin Baharon; Ketua
Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib; dan Ketua Pengarah Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dato' Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz .


Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan Pengarang
Harakah, Taufek Yahya turut menunaikan solat jenazah dan menghadiri
majlis pengkebumian di Makam Diraja, Shah Alam.


Orang ramai seawal jam 9 pagi sudah memenuhi ruang masjid Negeri Shah
Alam dan makam Diraja yang terletak di hadapan masjid.


Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Khalijah Abdullah serta tiga
orang anak yang sudah berumahtangga.


Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.05 petang, 30 Januari
lalu di Pusat Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh.


Pimpinan PAS turut memberi penghormatan terakhir di rumah Allahyarham
petang semalam antaranya, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat
Isa; AJK PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin; bekas Timbalan Presiden
PAS, Ustaz Hassan Shukri; bekas Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Subky
Latif; dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hassan Mohd Ali.


Sementara itu, Dato' Kamaruddin menyarankan ahli PAS di setiap kawasan
supaya mengadakan majlis memperingati Allahyarham.


Katanya, walaupun Allahyarham dipecat daripada meneruskan jawatan sebagai
Mufti tetapi beliau tidak patah semangat untuk meneruskan perjuangan
dalam Islam.


Bagi memastikan maruah Islam dipandang tinggi, Allahyarham sanggup
mengorbankan kemewahan yang diperolehi dan rela dipecat sebagai Mufti.


Allahyarham dilantik sebagai Mufti Selangor dari Ogos 1985 hingga Oktober
1997.
Allahyarham dipecat pada penghujung Oktober 1997 kerana mengeluarkan fatwa
mengharamkan pertandingan ratu cantik yang diadakan di salah sebuah hotel
di Selangor.


Pemecatan tersebut tidak menghalang Allahyarham untuk meneruskan
perjuangan dalam Islam sebagai pendakwah bebas.


Allahyarhum dilantik sebagai Ahli Majlis Syura Ulama PAS dari tahun 2003
hingga 2007.


Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam golongan orang
yang beriman. Al-Fatihah.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: