Thursday, October 22, 2009

Dato' Ishak Baharom diingati istana selepas pemergiannya

Dato' Ishak Baharom diingati istana selepas pemergiannya
Subky Abdul Latif
Feb 04, 2008

Sejurus selepas pukul 3 petang, 30 Januari 2008, Mufti Dato' Ishak Baharom
dipanggil Tuhan kepangkuan-Nya semasa berusia 82 tahun. Segera beritanya
tersebar ke seluruh negara.

Sejak Asar, masjid di mukimnya di Taman Seri Andalas, Klang dipenuhi
pengunjung yang kasih dan menyanjungnya. Kawasan masjid seperti suasana
kedatangan solat Jumaat.


Sekalian segera bergegas ke situ, kerana akhir-akhir ini umat Islam amat
peka untuk menyegerakan penyempurnaan jenazah, apa lagi jenazah itu
adalah alim terbilang diketahui tawaduk dan zuhudnya.


Tetapi istana Selangor memerintahkan pengkebumiannya disempurnakan penuh
istiadat negeri di Makam Diraja Shah Alam. Perintah Sultan adalah
perintah tertinggi yang tidak boleh dibantah. Urusan jenazahnya tidak
dapat disegerakan, ditunda hingga esoknya. Pada syaraknya Raja tidak
boleh dikenakan hukum hudud atas apa kesalahan jua.


Dalam perjalanan ke rumahnya saya menyebut kemungkinan Sultan campur
tangan atas urusan pengkebumian Mufti yang terpecat tahun 1997 itu. Kawan
sekereta berasa tidak. Tetapi katanya, kalau Harussani, Mufti Perak yang
meninggal, Sultan Perak dan Raja Nazrin berupaya mengambil tindakan
tertentu.


Sangkaan saya tepat. Sultan Selangor bertindak berani terhadap jenazah
seorang ulama yang diketepikan negara yang Almarhum Sultan Selangor
sebelum ini tidak dapat berbuat apa-apa bagi mempertahankan Mufti yang
kontraknya ketika itu baru saja disambung.


Almarhum Dato Ishak Baharom dipecat kerana bertegas melaksanakan
undang-undang syarak yang dilulus oleh kerajaan BN Selangor, mencegah
gadis Islam menyertai ratu cantik dengan mendedahkan aurat.


Beliau mempertahankan tindakannya kerana percaya, orang-orang yang ada
kuasa mesti mencegah perbuatan berdosa. Melarang tindakan demikian boleh
menggugurkan aqidah.


Selepas dipecat, kerajaan BN Selangor mengharamkannya berdakwah di masjid
dan surau di negeri itu. Pengharaman itu dihormati oleh negeri-negeri yang
diperintah BN. Tiada yang sedar larangan itu ditarik balik tahun 1999
kerana beliau tidak lagi berceramah di masjid dan surau di Selangor.


Anak kelahiran Kanchong Darat, Banting ini mendapat didikan agama dari
Madrasah Al-Masriyah Bukit Mertajam di bawah pimpinan Haji Ahmad Fuad
Hassan, pengasas PAS. Kemudian ke Darul Ulum India.


Hubungannya dengan Haji Ahmad Fuad amat rapat hingga beliau dikahwinkan
keluarga Haji Ahmad Fuad dari Manong, Perak. Anak laki-lakinya dinamakan
Ahmad Fuad. Beliau mewarisi banyak dari kitab Haji Ahmad Fuad.


Selepas tidak lagi terikat dengan kerajaan, maka Almarhum bebas bergerak
dalam PAS. Pernah menjadi Ahli Majlis Syura Ulama, satu badan tertinggi
dalam PAS. Dan semasa meninggal adalah ahli Dewan Ulama PAS Pusat.


Beliau mula dilantik menjadi Mufti bulan Ogos 1985. Almarhum adalah mufti
yang paling berpengaruh dan sangat dihormati oleh semua pihak khususnya
rakyat jelata.


Sekelian Raja-Raja, pembesar-pembesar negara dan pegawai tinggi kerajaan
juga menghormatinya bukan saja kerana ilmu yang tinggi tetapi juga sikap
dan pendapatnya yang tegas.


Bukan mudah bagi seorang Mufti untuk mendapat penghormatan yang demikian,
kerana pandangan umum merasakan mufti adalah terikat dengan pengaruh
Sultan dan dalam zaman merdeka Perdana Menteri dan Menteri Besar menjadi
penasihat utama para Sultan, maka mufti dirasakan lebih kurang sama
dengan lain-lain pegawai kerajaan.


Walaupun Dato Ishak terikat dengan peraturan bekerja, tetapi dalam
perkara agama Islam beliaulah orang yang paling berautoriti dalam negeri.
Maka beliau tidak menyorokkan apa yang dirasakannya benar mengikut Islam.


Justeru itu kerana enakman syariah negeri Selangor memberi kuasa
kepadanya untuk menguatkuasakan pencegahan maksiat, maka dengan
menggunakan peruntukan itu beliau bertindak apa yang sepatutnya terhadap
peserta pertandingan ratu cantik yang disertai oleh orang Islam.


Tindakannya tidak disenangi oleh orang-orang yang suka
berseronok-seronok. Kerajaan yang ada pun takut dengan tindakan itu
kerana ia boleh menghilangkan sokongan orang bukan Melayu kepada
kerajaan.


Perdana Menteri ketika itu Dr. Mahathir memang tidak berapa suka dengan
sesetengah pencegahan maksiat lalu memerintahkan kerajaan Selangor tidak
meneruskan tindakan yang disokong oleh Mufti itu. Dato Ishak bertegas
mempertahankan tindakan itu.


Tetapi yang berkuasa adalah Menteri Besar dan kerajaan, maka tidak banyak
yang dapat dibuat oleh Mufti apabila berdepan dengan Perdana Menteri dan
Umno.


Ternyata Dr. Mahathir dan Dato Ishak Baharom tidak dapat disesuaikan
lagi, maka tidak banyak yang dapat dibuat oleh kerajaan negeri dan
menteri besar melainkan menjaga hati Perdana Menteri. Kuasa Sultan pun
tidak berupaya mempertahan Muftinya, maka tiada jalan lain selain dari
menamatkan perkhidmatannya.


Ulama terpaksa menyatakan kedudukan hukum. Rakyat mahukan penjelasan
kerana media tidak boleh menyiarkan sebarang penjalasan yang bertentangan
dengan perasaan Perdana Menteri.


Maka orang minta penjelasan Mufti. Beliau diundang ke banyak masjid
dan surau. Perkara itu terangkannya.


Umno tidak mahu apa-apa yang menyentuh Perdana Menteri disebutkan dalam
premis yang dimiliki kerajaan. Maka dilarang masjid menjemputnya.


Tetapi dunia ini terbuka kepadanya. Almarhum menerima semua undangan
untuk berceramah di seluruh negara. Allah mentakdirkan tahun-tahun akhir
dalam riwayatnya adalah bersama jihadnya dalam PAS. Payah cari Mufti
sepertinya.- tajdid


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: