Sunday, October 18, 2009

Hanya hudud mampu cegah jenayah

Hanya hudud mampu cegah jenayah
Subky Abdul Latif
Oct 08, 2007

Keterangan polis dalam seminggu ini menyebutkan kadar jenayah di Malaysia
pada keseluruhannya adalah meningkat. Hanya di tempat tertentu kadar itu
menurun, tetapi pada umumnya ia meningkat.

Ada pun cerita jenayah itu meningkat itu sudah lama. Seperti keadaan
harga barang. Ia tidak pernah turun. Ia meningkat dan meningkat.

Dalam tulisan saya sebelum ini, telah saya sebutkan bahawa keadaan
jenayah yang parah itu adalah bayaran tunai Allah kepada masyarakat yang
menolak hudud. Hudud cuba diperkenalkan oleh PAS di Kelantan dan
Terengganu, selian ia adalah perintah Allah, tetapi ia saja undang-undang
yang paling berkesan bagi mencegah jenayah.

Tetapi ia bukan sekadar dihalang oleh kerajaan Pusat, malah dipersenda
oleh masyarakat Islam yang mempertahankan undang-undang ciptaan manusia
itu.

Kedua-dua pimpinan ulama utama PAS, Tuan Guru Mursyidul Am Nik Abdul Aziz
dan Presiden Ustaz Abdul Hadi Awang memberi komen serentak terhadap
kenyataan polis tentang peningkatan jenayah itu, mengesahkan ubat kepada
penyakit sosial itu adalah melaksanakan hudud.

Tok Guru Nik Aziz bercakap begitu dalam interbiu dengan Harakah dan Tuan
Guru Abdul Hadi pula ketika berucap di Maahad Tahfiz di Tok Jiring dekat
Kuala Terangganu.

Kedua pemimpin PAS itu mengingatkan kembali betapa jenayah dalam
masyarakat bukan sekadar tidak dapat dihapuskan, malah tidak dapat
diminimakan selagi tidak dilaksanakan undang-undang ciptaan Allah
khususnya hudud.

Sejak mula PAS membuat tuntutan supaya dilaksanakan undang-undang Islam di
Malaysia merdeka ini, tujuannya selain dari mentaati perintah Allah,
adalah demi mententeramkan negara dan masyarakat dari semua bentuk
maksiat termasuklah jenayah.

Isu itu tambah menonjol apabila Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri
dalam satu pilihan raya kecil DUN dekat Kuala Terengganu hujung 80-an
mencabar supaya PAS merangka undang-undang hudud.

Ia memberikan ruang yang lebih ketara kepada PAS untuk menerangkan
secara terperinci tentang hikmat pelaksanaan hudud itu.

Pilihan raya kecil itu adalah untuk mengisi kerusi yang dikosongkan oleh
Ustaz Baharudin dari PAS yang kemenangannya dibatalkan oleh mahkamah.

Cabaran Dr. Mahathir itu dipercayai bukan kerana mahu hudud itu
dilaksanakan tetapi untuk menjauhkan lagi PAS dari masyarakat bukan
Islam, kerana antara hukum hudud itu adalah mengerat tangan pencuri.
Masyarakat bukan Islam gerun mendengar hukuman itu, maka diharapkannya
pengundi bukan Islam tidak lagi mendekati PAS.

Tetapi ia adalah kesempatan pula bagi semua penduduk untuk mengikuti
penjelasan dari PAS tentang hikmat pelaksanaan hudud itu. Ia saja
undang-undang yang dapat menyelesaikan kejadian jenayah yang berleluasa
dalam masyarakat.

Sebelum kemunculan Islam di Makkah, masyarakat jahiliyah Arab bergelumang
dengan jenayah. Pelaksanaan hudud berikutan masyarakat Arab menerima
Islam, jenayah dapat dibenteras.

Amerika adalah bangsa yang paling maju dengan undang-undang jenayah yang
ketat dan polis yang cekap, tetapi pembunuhan di New York bukan lagi
mengikut hari tetapi mengikut jam. Setiap jam ada pembunuhan.

Undang-undang manusia telah terbukti gagal untuk mengekang jenayah.

Antara yang dijelaskan, selain dari jenayah itu amat berkurangan oleh
pelaksanaan undang-undang yang menggerunkan tetapi adil, Allah tanamkan
ke hati orang ramai rasa benci kepada semua bentuk jenayah. Justeru itu
mereka tidak melakukan jenayah. Akhirnya jenayah itu hapus bukan kerana
banyak tindakan yang dilakukan, tetapi kerana orang ramai dengan sendiri
tidak melakukan jenayah.

Yang menghapuskan jenayah itu bukan kerana polis cekap dan kuat kerja,
tetapi keberkatan yang Allah beri menyebabkan tiada kejadian jenayah.

Ia menambah kefahaman umat Islam tentang hikmat hudud dan orang
bukan Islam ada pengetahuan mengenainya.

Dan apabila undang-undang itu diluluskan oleh DUN Kelantan dan
Terengganu, kerajaan Malaysia dan Umno menolaknya dan berloyar buruk pula
dengannya. Maka hudud tidak dilaksanakan.

Dulu jenayah itu terus ada kerana hudud tidak ada. Ia tidak seteruk
sekarang kerana antara pemimpin kerajaaan dan Umno yang melaksanakan
undang-undang dan memerintah tidak mendapat penjelasan Islam yang cukup
tentang hudud.

Sekarang mereka telah mendapat penjelasan yang cukup. Tetapi mereka
menolaknya dan rakyat pula menyokong kedegilan kerajaan itu. Maka apakah
balasan kepada orang-orang yang ingkar itu? Allah turunkan bala. Jenayah
yang kian banyak itu adalah bala kerana tidak menerima ajaran Islam yang
mengatakan hudud boleh mencegah jenayah. Kerajaan mengaku undang-undang
Islam itu elok dan sempurna tetapi terus bebal dengan menolaknya.

Nurin yang belum baligh menjadi mangsa pembunuhan. Apa salahnya? Dia
tidak bersalah tetapi masyarakatnya dan kerajaan yang berkuasa atas
masyarakatnya menolak hudud.

Kerajaan kononnya bersungguh memerangi jenayah termasuk rasuah, ditambah
polis dan staf BPR, dilatih mereka, tetapi percayalah selagi hudud tidak
dilaksanakan, semua bentuk jenayah akan berganda dan peperangan terhadap
rasuah adalah gendang kosong.

Ia akan menjadi kerajaan yang sia-sia.
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: