Wednesday, October 21, 2009

Rampas tanah rakyat, kezaliman berterusan kerajaan BN Terengganu

Rampas tanah rakyat, kezaliman berterusan kerajaan BN Terengganu
Nov 26, 2007

BESUT, 26 Nov (Hrkh) - Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu di bawah
kepimpinan Menteri Besarnya, Dato' Seri Haji Idris Jusoh bertekad
meneruskan tindakan zalim, membatal serta merampas semula tanah-tanah
rakyat di bawah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di seluruh negeri.

Kesemua tanah-tanah RTB yang dianugerahkan kepada rakyat oleh kerajaan PAS
Terengganu di negeri ini dirampas semula oleh kerajaan Umno/BN Terengganu.

Tindakan tersebut dibuat oleh kerajaan negeri kononnya Lesen Menduduki
Sementara (LMS) itu telah tamat tempoh.

Walaupun tindakan 'di luar perikemanusiaan' itu mengundang kemarahan dan
penentangan rakyat secara menyeluruh di negeri ini termasuk mengadakan
demontrasi secara aman di depan Wisma Darul Iman, kerajaan Umno/BN tanpa
rasa berdosa terus mengkhianati rakyat.


Beberapa siri pencerobohan dan perobohan rumah-rumah rakyat termasuk rumah
seorang anggota tentera di RTB Pengkalan Merbau, Setiu, sebuah masjid di
RTB Bujal, Kemaman, perobohan sebanyak 14 buah rumah rakyat di RTB
Belimbing Api, di Jabi Besut, semuanya dilakukan dengan alasan remeh,
rakyat menduduki tanah kerajaan secara haram.


Episod terbaru yang dialami oleh rakyat berlaku di RTB Padang Landak dan
RTB Padang Luas dalam Dun Jerteh, Besut yang wakil rakyatnya adalah Idris
Jusoh.


Seorang peserta RTB, Mohd Asri Ismail, 42, dari Kampung Padang Landak
berkata sudah mendirikan tapak serta kerangka rumah dengan kos melebihi
RM5000.


Menurutnya, kerajaan telah merobohkan kerangka rumah tersebut bagi
kerja-kerja pembangunan lain pada bulan Julai 2007 lalu.


"Saya cukup marah, sedih dan kesal dengan tindakan kerajaan negeri dan
kerja meroboh struktur rumah kami dilakukan oleh pihak kontraktor,"
ujarnya.


Mustafa Ibrahim, 55, turut melahir rasa kesal dan dukacita dengan tindakan
kerajaan bertindak kejam 'merampas' kembali tanah-tanah peserta di RTB
Padang Landak ini.


Menurut beliau, sisa-sisa perobohan itu dipunggah serta dibuang pada waktu
malam bagi mengelak dikesan oleh penduduk di sekitarnya.


"Saya juga kerugian tidak kurang dari RM5000 di atas kos tapak serta
struktur rumah yang telah didirikan sebelum dirobohkan," ujarnya.


Manakala, rakannya Saudin Junus, 42, berkata tindakan undang-undang akan
dibuat bagi menuntut kembali hak serta keadilan yang dirampas.


Menurutnya, kerajaan negeri wajar menggantikan tapak lain yang sesuai
jika kawasan tersebut mahu digunakan bagi tujuan lain.


"Kami (peserta) bukan berdegil tetapi kami mahu hak dan keadilan. Jika
kerajaan mahu ambil balik tanah itu perlulah diganti dengan yang lain
kepada rakyat," jelasnya ketika membawa wartawan ke lokasi berkenaan.


Sementara itu, seorang suri rumah, Hasnah Hassan, 33, merayu kerajaan
negeri agar bertindak adil, tidak meroboh rumah kediamannya. Katanya,
rumah yang didirikan di atas tanah di RTB Padang Landak itu kini sudah
diduduki dengan kos perbelanjaan lebih RM30,000.


"Saya rayu supaya kerajaan negeri bersikap waras tidak roboh rumah kami
yang telah kami diduduki sejak lebih dua tahun lalu."


"Saya rasa cukup sedihlah kalau kerajaan roboh juga rumah ini yang kami
buat sedikit demi sedikit dari hasil titik peluh bekerja dan kami tidak
ada tempat lain lagi," ujarnya dengan nada sedih.


Difahamkan, kesemua tapak di RTB Padang Landak itu telah diambil balik
oleh kerajaan negeri dan fasa kedua perobohan akan dibuat pada bila-bila
masa sahaja. - buletinonline.net-->

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: