Thursday, October 22, 2009

Ini adalah revolusi rakyat - Husam

Mar 09, 2008

KOTA BHARU, 9 Mac (Hrkh) - Kegagalan besar Barisan Nasional (BN) dalam
pilihan raya kali ini seperti satu revolusi, kata Naib Presiden PAS,
Datuk Haji Husam Musa.


"Ini adalah revolusi rakyat. Rakyat bangkit dan bersatu. Mesej yang jelas
kepada kerajaan ialah 'Enough is enough' (cukuplah!)", beliau memberitahu
pemberita.


Reuters pula memetik sumber yang rapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri
Abdullah Badawi berkata: "Apa yang berlaku ialah rasa tidak puas di
mana-mana - India, Cina dan Melayu. Ribut ini datang serentak dan akan
berlaku perubahan yang besar".


Awal-awal lagi sumber itu menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan
mengalami kemerosotan terbesar sejak 1969 dan hanya akan mendapat
majoriti mudah.


Pada tahun 1969, Perikatan (yang kemudiannya betukar nama kepada BN) tidak
pula kehilangan sehingga lima negeri.


Reuters juga menyifatkan pilihan raya kali ini adalah satu referendum atau
pungutan suara rakyat terhadap pemerintahan Abdullah.


Perdana Menteri bagaimanapun enggan melihat kebangkitan rakyat itu sebagai
undi tidak percaya kepadanya.


"Saya tidak melihat itu (undi tidak percaya). Ini hanya pendirian rakyat
yang mahu saya meningkatkan lagi kekuatan," kata beliau.


Mengenai wujud tekanan pihak dalam parti supaya beliau meletakkan jawatan,
Abdullah berkata: "Tak tahu siapa yang tekan saya."


Abdullah tidak menolak kemungkinan keputusan pilihan raya ini memberi
isyarat bahawa rakyat tidak berpuas hati dengan beberapa isu, termasuk
kenaikan harga barang.


"Ini memberi mesej yang penting dan saya akan lihat isu berkenaan,"
katanya.


Dengan tamparan sebegitu hebat, Perdana Menteri enggan bercaikap banyak
dan beliau dipercayai akan membaca kenyataan yang disediakan oleh
pembantu-pembantunya.


"Apa-apa pandangan mengenai keseluruhan keputusan pilihan raya ini, saya
akan buat hanya selepas selesai keputusan semua kerusi," katanya.


Menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin yang dilihat antara punca terbesar
kekalahan BN dipetik oleh Bernama sebagai berkata: "Kami akan melawan
semula".


Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dan Pemangku Presiden Gerakan, Tan
Sri Dr Koh Tsu Koon adalah antara pemimpin kanan BN yang kecundang.
selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 diumumkan setakat jam 3 pagi
ini.


Selain Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya, turut mengalami kekalahan
ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz
Shamsuddin; Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin; dan Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul
Jalil.


Turut kecundang ialah 10 timbalan menteri termasuk Timbalan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas; Timbalan Menteri Hal Ehwal
Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho dan Timbalan Menteri Pertanian dan
Industri Asas Tani, Datuk Mah Siew Keong, Timbalan Menteri Pembangunan
Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman, Timbalan Menteri
Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, Timbalan Menteri Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk G Palanivel yang juga Timbalan
Presiden MIC, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah
Kiow, Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Seri Chia Kwang Chye, Timbalan
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk S Sothinathan dan Timbalan
Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: