Tuesday, October 23, 2007

Siasatan BPR langsung tak munasabah, saya pula diugut!

Pada hari ini tiga orang pegawai dari Badan Pencegah Rasuah mengunjungi
pejabat saya buat kali kedua dalam tiga minggu berikutan siasatan mereka
terhadap rakaman video yang telah saya siarkan kepada awam pada 19
September 2007.


Saya menghargai kerjasama BPR yang berterusan tetapi saya ingin menegaskan
kegusaran saya bahawa kerajaan menggunakan BPR untuk melambatkan siasatan
sebenar dan mengalihkan perhatian orang ramai dari isu-isu penting
berkaitan salahlaku kehakiman yang ditimbulkan oleh video tersebut.


BPR merakam sebuah kenyataan lanjutan dari saya hari ini. Saya memaklumkan
kepada mereka bahawa klip video 14 minit yang asal bersama dengan sumber
yang membawanya kepada saya. Saya memberikan mereka jaminan saya bahawa
saya akan membekalkan salinan sebenar yang mana mereka boleh menentukan
kesahihan klip video tersebut pada Khamis 25 Oktober.

Namun selepas habis mengambil kenyataan serta mendapat jaminan saya,
pegawai BPR menerima arahan untuk mengarah saya menyerahkan klip asal
rakaman video tersebut, termasuk segmen 6 minit yang belum dikeluarkan
kepada orang ramai, pada atau sebelum Khamis.

Arahan ini dikeluarkan meskipun saya sudah memaklumkan bahawa salinan asal
ada dengan sumber. Kegagalan memenuhi arahan ini mungkin akan berakhir
dengan pendakwaan.
Adalah langsung tidak munasabah bahawa BPR terus menumpukan perhatian
mereka terhadap kesahihan video tersebut sedangkan VK Lingam, Ahmad
Fairuz, Vincent Tan dan Tengku Adnan yang disebut di dalamnya masih belum
disiasat atau memberi kenyataan awam menafikan perbualan di dalam video
tersebut.


Justeru, saya menyeru BPR untuk memenuhi matlamat mereka untuk membanteras
rasuah dan menyiasat salahlaku pegawai awam dan bukan sekadar siasatan
terhadap pendedah rasuah.


Saya juga amat prihatin dengan kebajikan individu atau individu-individu
yang telah meminta saya membawa video ini ke perhatian umum. Permintaan
kami untuk jaminan terhadap keselamatan peribadi mereka dan perlindungan
dari tindakan undang-undang masih lagi belum dijawab. Ini merupakan
persoalan yang mesti dijawab sebelum kami mengeluarkan baki rakaman video
tersebut.


Penubuhan sebuah Suruhanjaya DiRaja yang bebas untuk menyiasat tuduhan
serius rasuah di dalam video ini terus mendapat sokongan Majlis Peguam
Malaysia, parti-parti politik dari pembangkang dan juga di dalam
kerajaan, serta badan-badan bukan kerajaan. Saya hanya ingin mengulangi
desakan saya agar langkah-langkah ini diambil agar siasatan ini dapat
disempurnakan segera.


Rombongan BPR tersebut diketuai Tuan Sazali bin Salbi, Ketua Cawangan
Tindakan Khas merangkap Timbalan Pesuruhjaya BPR Putrajaya.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: