Saturday, October 06, 2007

Media cemar reputasi Abim, siar gambar anggotanya dalam berita kes bunuh Nurin

Media cemar reputasi Abim, siar gambar anggotanya dalam berita kes
bunuh Nurin

Oct 03, 07

SEREMBAN, 3 Okt (Hrkh) - Peristiwa yang menimpa Allahyarham Nurin Jazlin
Jazimin baru-baru ini memang menyentuh perasaan seluruh rakyat Malaysia .


Justeru itu menjadi harapan kepada semua pihak agar pihak yang terbabit
dengan pembunuhan kes tersebut dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.
Bagaimanapun keghairahan pihak media mendapatkan berita terhadap kes ini
perlu beretika agar tidak menjejaskan perasaan keluarga Allahyarham Nurin
serta mereka yang tidak bersalah, kata Setiausaha Agung Angkatan Belia
Islam Malaysia (Abim) Khairul Ariffin Muhammad Munir.
Abim amat kesal dengan beberapa akhbar dan media tempatan yang telah
melakukan kesilapan dengan menerbitkan foto Setiausaha Eksekutif Abim
Pusat, Azwiralbukhari Abdul Aziz, dengan berita berhubung kes kematian
Nurin, dua hari lalu.
Beliau yang ketika di tempat kejadian sedang menziarahi dan membantu
keluarga salah seorang pemuda yang dibebaskan oleh polis, kata Khairul
Ariffin dalam satu kenyataannya hari ini.
Memandangkan kes ini adalah kes berprofil tinggi dan mendapat perhatian
seluruh rakyat Malaysia maka penyiaran gambar tersebut sebagai salah
seorang suspek telah menjatuhkan reputasi beliau sebagai aktivis belia
dan masyarakat lebih-lebih beliau berkhidmat di bawah organisasi seperti
Abim, katanya.
Sehubungan itu Abim meminta pihak media yang terlibat membuat pengumuman
ralat di dalam penerbitan akhbar dengan serta merta berikutan kesilapan
tersebut, katanya.
Seterusnya pihak media diminta agar tidak akan mengulangi kesilapan
membabitkan beliau atau mana-mana orang awam yang tidak bersalah samada
di dalam bentuk akhbar atau dalam bentuk yang lain pada masa-masa akan
datang, katanya.
"Tidak dapat dinafikan peranan media amat penting khususnya dalam kes ini
kerana masyarakat inginkan perkara yang sebenarnya berlaku. Namun media
perlu bertanggungjawab dan teliti dalam mendapatkan kesahihan sumber
maklumat tersebut,"katanya.

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: