Saturday, October 06, 2007

Pita Lingam : Anwar beri kata dua kepada BPR

Pita Lingam : Anwar beri kata dua kepada BPR

Oct 05, 07

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri
Anwar Ibrahim menyoal Badan Pencegah Rasuah (BPR) samaada akan menyiasat
individu-individu yang dikaitkan dalam klip video VK Lingam termasuk
Lingam, Vincent Tan dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Gesaan berupa pertanyaan itu dibuat Anwar petang tadi semasa ditemaui dua
wakil BPR di rumahnya semasa siasatan dijalankan pegawai SPR Putrajaya ke
atasnya berikutan pendedahan klip video Lingam.


Turut serta ialah peguamnya yang juga Bendahari Agung KeADILan, William
Leong; Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah dan ahli baru KeADILan,
Din Merican.


Mengulas lanjut beliau berkata, seharusnya BPR menyiasat individu-individu
yang disebut dan terbabit dengan klip video itu memandangkan isunya kini
ialah korupsi besar dalam sistem kehakiman negara.


"Soalan mereka hanya berkisarkan tentang kesahihan klip video itu
sahaja,"katanya.


Siasat yang mendedahkan
Bagaimanapun hingga kini BPR hanya menyiasat individu-individu yang
mendedahkan klip itu selain cuba mencari sumber mana yang menyimpan klip
itu.


Sementara itu mengulas mengenai siasatan BPR petang tadi, Anwar berkata
beliau telah memberi kerjasama yang sebaik mungkin kepada dua pegawai BPR
yang bernama, Wan Abdul Rahman dan seorang lagi dikenali sebagai Ang.


Begitu pun ketika pegawai itu meminta beliau mendedahkan identiti pemberi
maklumat beliau berkata, beliau boleh berbuat demikian dengan syarat BPR
memberi jaminan keselamatan ke atas saksi (pemberi maklumat) itu.


Ini kerana katanya hingga kini pihak BPR hanya boleh menyimpan rahsia
pemberi maklumat tetapi tidak boleh memberi jaminan ke atas keselamatan
mereka.


"Saya sudah maklumkan kepada BPR bahawa sumber kami bersedia menerbitkan
kenyataan umum meskipun beliau risaukan keselamatan peribadinya.Kami
terus yakin bahawa kebenaran akan didedahkan, dan kami tidak akan
sekali-kali bertolak ansur terhadap keselamatan sumber-sumber
kami,"tegasnya.


Sebarang cubaan memenjarakan pihak yang mendedahkan salah laku hanya akan
menambah lagi kemarahan orang ramai dan akan mengundang kritikan
masyarakat antarabangsa untuk menyelia perkemabangan itu," katanya.


Anwar juga memberi komitmen akan mendedahkan baki enam minit lagi rakaman
klip itu kepada BPR dan umum sekiranya saksi diberi jaminan keselamatan.


"Saya janji saya akan buat, saya bukan Barisan Nasional (BN) hanya pandai
berjanji,"katanya.


Anwar juga kelihatan tegas dengan kenyataannya mempertahan klip video yang
didedahkan dan mahu ianya disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja.


Terdahulu pagi tadi, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengecam keras kaedah
siasatan dan ugutan yang dilakukan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap
dua anggota Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) dalam siasatan kes klip
video VK Lingam semalam.


Suaram menggangap ugutan yang dilakukan ke atas Naib Presiden KeADILan,
Sivarasa Rasiah dan Pegawai Khas Anwar Ibrahim, Sim The Tzin adalah
bermotifkan politik dan intimidasi untuk mendiamkan isu koruspi
kehakiman, kata Pengarah Eksekutif Suaram, Yap Swee Seng.


Katanya lagi, disamping itu tindakan BPR ini satu tindakan yang tidak
boleh diterima, katanya.


Sumber kepada pita rakaman itu tidak seharunys menjadi isu utama dalam
menyiasat kes ini, dan dua saksi (Sivarasa dan Sim) perlu dilindungi
sebagai saksi, katanya.


"Apa yang perlu BPR siasat dengan mandat yang ada.Samada soal kebenaran
pita itu atau soal korupsi yang berlaku dalam kes ini,"kata Yap Swee
Seng lagi.


"Dalam kes ini jelas kelihatan BPR bagaimana BPR dipergunakan sebagai
alat politik, katanya.


Tindakan ke atas dua anggota KeADILan ini adalah sebagai mesej yang
dibuat BPR ke atas awam supaya mendiamkan kes meskipun berlakunya
korupsi, atau jika menghebahkan mereka akan berhadapan dengan tindakan
penjara, katanya.


Hal ini sekali lagi memperlihatkan bahawa janji membanteras rasuah yang
diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak
terlaksana, ujarnya.


Suaram menggesa BPR agar tidak lagi memberi tekanan kepada Sivarasa
dan Sim dala kes ini, sebaliknya menyiasat korupsi yang mungkin
berlaku, kata Yap.


Suaram juga menggesa agar Suruhanjaya DiRaja diadakan dalam menyiasat
kes pita Lingam, katanya.


BPR didakwa mengugut dua anggota KeADILan yang terbabit dalam
pendedahan klip video skandal perbualan antara seorang peguam yang
disyaki, VK Lingam dan hakim kanan yang didakwa sebagai, Tun Ahmad
Fairuz Sheikh Abdul Halim.


Ugutan itu didakwa dilakukan ke atas Naib Presiden KeADILan, Sivarasa
Rasiah dan Penyelaras Politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Sim Tze Tzin
semalam, kata satu laporan Suara KeADILan lewat petang semalam.


BPR dikatakan memberi notis bahawa jika sumber video skandal Ketua
Hakim Negara tidak didedahkan, mereka boleh dipenjara selama dua tahun,
kata laporan itu.


Namun begitu, Sivarasa telah mengumumkan kesanggupan beliau untuk
menghadapi apa-apa hukuman demi mempertahankan identiti sumber
tersebut, katanya.


Terdahulu, Naib Presiden KeADILan dan Pembantu Khas Anwar Ibrahim itu
telah dipanggil oleh BPR semalam secara mengejut bagi memberi
keterangan semula berhubung isu pita Lingam.


Kedua-dua mereka dikehendaki menghadiri pejabat BPR Wilayah Persekutuan
pada jam 4.00 semalam selepas mendapat panggilan telefon 2 Oktober lalu.


Sebelum ini, Sivarasa telah dipanggil oleh BPR pada 27 September lalu
untuk membantu siasatan. Manakala, Sim pula dipanggil oleh BPR pada
Selasa lepas.


Mereka masing-masing telah dipanggil ke ibu pejabat BPR di Putrajaya
pada tarikh tersebut.

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: