Saturday, October 06, 2007

FKontroversi Sharifah Hapsah, Saran Kaur dan gaji Prof RM8 juta!

Oct 01, 07 | 1:15:00 pm MYT

BANGI, 1 Okt (Hrkh) - Majoriti kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM), termasuk para profesor kanan, semakin tidak berpuas hati dan
resah-gelisah dengan gaya pentadbiran Naib Canselor, Prof Dato' Dr
Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Sekurang-kurangnya dua isu besar menjadi bualan umum warga kampus di sini.
Pertama, pelantikan Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan
Masyarakat, Prof Dr Saran Kaur a/p Delio Singh, dari Pusat Bahasa dan
Linguistik, mulai 1 September lalu, untuk tempoh tiga tahun.


Pelantikan itu dikatakan tidak dibuat secara telus dan terbuka mengikut
tatacara dan prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
Prosedur sedia ada ialah pencalonan dibuka untuk warga UKM membuat
cadangan dalam tempoh tertentu dan diikuti dengan sesi temuduga calon
setelah mereka mengisi borang kompetensi dan ujian MEQI bagi menilai
emosi dan intelek calon.


Bagaimanapun, Naib Canselor mengetepikan semua prosedur berkenaan.


Lagi pula, jawatan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam ialah
TNC Hal-Ehwal Pembangunan, bagi merancang dan memantau projek pembangunan
yang diberikan peruntukan hampir RM1,000 juta bagi tempoh Rancangan
Malaysia Kesembilan. Bagaimanapun Sharifah Hapsah telah mengubah nama dan
bidang tugas jawatan tersebut.


Menurut sumber, bidang tugas TNC baru ini bertindan-tindih dengan dua TNC
sedia ada, iaitu TNC Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni, serta TNC Hal-Ehwal
Penyelidikan dan Inovasi. Khabarnya Saran Kaur masih belum pasti apa yang
dapat dilakukan kerana pembahagian tugas di antara TNC sedia ada masih
jauh daripada jalan penyelesaian.


"Beliau hanya memanaskan kerusi sahaja," kata seorang kakitangan UKM yang
tidak mahu dikenali.


"Malah, dari segi kelayakan," tambahnya, "beliau memang tidak layak
langsung untuk memegang jawatan TNC. Kepakaran beliau dalam linguistik
tidak akan berguna dalam membincangkan hal-hal seperti isu pemindahan
teknologi, paten, hak-cipta intelek dan sebagainya. Beliau juga tidak
pernah menjawat jawatan pentadbiran yang memberi cukup pengalaman untuk
melaksanakan tugas TNC."


Difahamkan Sharifah Hapsah melantik Saran Kaur, walaupun tanpa mengikut
prosedur lazim, kerana mereka merupakan kawan rapat sejak lama, selain
faktor gender. Banyak jawatan kanan di UKM kini, termasuk dekan dan
pengarah institut, mudah diperolehi oleh pensyarah wanita dan ini
menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak.


Misalnya, jawatan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), yang
dikosongkan oleh Prof Dr Shamsul Amri Baharuddin diisi oleh seorang
pensyarah kejuruteraan, Prof Dr Che Husna Azhari.


"Kita tak kisah kalau mereka yang dilantik itu berkelayakan, sama ada
lelaki atau wanita," kata seorang lagi pensyarah. "Tapi kalau yang
dipilih itu tidak menepati kriteria akademik, hanya kerana mereka kawan
rapat Naib Canselor, maka ia sesuatu yang menyedihkan."


Dikatakan pejabat bagi TNC baru juga belum ada dan berlaku suasana
kelam-kabut apabila ia disedang dibuat proses ubah-suai sehingga beberapa
bahagian terpaksa dipindahkan ke Kolej Kediaman Keris Mas.


Menurut pemerhati, kalaupun KPT mahu melantik kalangan bukan Bumiputera
sebagai TNC, masih ramai lagi calon yang lebih layak dan berkebolehan
serta berpengalaman berbanding Saran Kaur.


"Apakah Naib Canselor UKM membuat keputusan hanya berdasarkan perasaan,
tanpa melihat rasional dan asas kukuh?" tanya seorang bekas pensyarah
kanan yang ditemui. "Jika ini pegangan dan amalan beliau maka akan
hancurlah UKM dan sia-sialah perjuangan dan pengorbanan orang Melayu
menubuhkan UKM dahulu."


"Waktu mula datang ke UKM, beliau membawa janji-jani ketelusan dan
keterbukaan," tambahnya. "Sekarang terbukti semua jaminan itu palsu,
malah beliau terbukti seorang yang tidak mempunyai sebarang misi atau
visi. Beliau hanya mahu menjaga hati Perdana Menteri, TPM, Dato' Mustapa
Mohamad dan segala kroninya sahaja dan tidak peduli apa akan berlaku
kepada universiti."


"Bagaimanapun, saya kira Pak Lah sendiri tak akan berpuas hati dengan
prestasinya," ujar bekas pensyarah kanan itu lagi. "Tiada idea-idea baru
yang dikemukakan. Kepimpinannya juga dipertikai ramai. Pejabatnya sudah
menjadi tempat lepak dua tiga orang kawan-kawan rapat yang kini memegang
jawatan tinggi di UKM. Kalau ini berterusan impian meletakkan UKM sebagai
universiti penyelidikan akan musnah begitu saja."


Harakah edisi cetak akan membuat pendedahan lebih menggemparkan tentang
satu lagi isu yang hangat diperkatakan sekarang, iaitu pelantikan Prof Dr
Tan Hock Lim, rakyat Malaysia, dari Universiti Adelaide, Australia, bagi
menubuhkan Anvanced Surgical Skills Center di Hospital UKM.


Ini kerana ia membabitkan perbelanjaan hampir RM8 juta hanya untuk gaji
Dr Tan!


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: