Thursday, October 11, 2007

"Kami buat untung pada bank tapi bank rompak kami" - Pekerja bank
Oct 09, 07

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Hrkh) - Kira-kira 1000 pekerja bank di sekitar
bandaraya Kuala Lumpur yang terdiri dari ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja
Bank (NUBE) mengadakan piket di hadapan Menara Maybank bagi menuntut tiga
perkara daripada majikan mereka iaitu bonus, elaun sara hidup dan
kenaikan gaji 30 peratus.

Mereka mula memenuhi sepanjang jalan di depan Menara Maybank tepat jam
12.30 sebaik sahaja waktu rehat bermula menyebabkan berlaku kesesakan
tambahan pula dalam keadaan suasana ibu kota yang kelam kabut menjelang
Aidilfitri.


Piket selama sejam itu, turut mendapat sokongan penuh daripada Kongres
Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).


Masing-masing pekerja bank dari seluruh bank di Kuala Lumpur memakai
lencana yang tertulis 'Bank Robs Our Bonus' serta mengikat kepala dengan
kain hitam.


Dengan memegang kain rentang dan poster sambil meniup wisel serta
membunyikan siren menyebabkan suasana di tengah hari itu menjadi gamat
dan bising di tambah pula hon dari kenderaan yang melalui depan mereka.


Tindakan mereka itu hanyalah satu untuk menyatakan ketidakpuasan hati
terhadap pihak majikan mereka yang mementingkan diri sendiri.


Sambil memegang poster 'kami buat untung pada bank tapi bank rompak
kami', 'bank hisap darah pekerja', dan 'Maybank CEO greedy robs our
bonus' mereka turut menyanyi lagu-lagu yang berunsurkan sindiran kepada
majikan mereka.


Setiausaha Agung NUBE J.Solomon yang ditemui di tempat piket berkata,
mereka mahu kenaikan gaji 30 peratus, kontrak bonus dua bulan kepada
kakitangan bank dikekalkan, dan kos sara hidup.


Beliau mempersoalkan, kakitangan bank yang bekerja di Sabah dan Sarawak
diberikan elaun sara hidup tetapi mereka di sini tidak diberikan elaun
tersebut.


"Kenaikan petrol dua tiga tahun lalu mengakibatkan kami berhutang banyak
kerana semua barang naik harga, dan pada masa yang sama kakitangan di
Sabah dan Sarawak mereka ada elaun sara hidup semenjak tahun 80-an,"
katanya.


Katanya, mereka ada kos sara hidup dari 12.5 peratus sehingga 22 peratus
sebaliknya kakitangan di Semenanjung langsung tidak dapat elaun tersebut.


"Kami minta dengan bank la, mengapa kami dianaktirikan!," tegas beliau.


Sehingga hari ini, Solomon berkata, majikan bersetuju untuk memberi
kenaikan gaji 30 peratus tetapi kontrak bonus yang ditetapkan sebanyak
dua bulan akan ditarik balik serta menegaskan elaun sara hidup tidak akan
diberi.


Katanya, syarat Persatuan Bank Komersial Malaysia (MCBA) yang mahu
menghapuskan bonus jika mahu kenaikan gaji disifatkan tidak
berperikemanusiaan kerana bank untung berbilion-bilion ringgit hasil
kerja keras kerani dan kakitangan bukan perkeranian yang sepatutnya
diberikan imbuhan bagi menghargai jasa mereka.


Seramai 30,000 kerani dan kakitangan bukan perkeranian di bank seluruh
negara yang hidup kesempitan berikutan gaji sekarang terlalu rendah dan
tidak sesuai dengan peningkatan kos sara hidup.


Solomon berkata, kerani dan kakitangan bukan perkeranian di sektor
perbankan adalah golongan yang menerima gaji terendah dengan gaji pokok
bermula RM662 hingga RM1.254 berbanding gaji Ketua Pegawai Eksekutif yang
dianggarkan antara RM1 juta hingga RM4 juta setahun.


Sementara itu, Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud yang ditemui
bersama-sama para pekerja bank menyokong penuh apa yang dituntut oleh
NUBE memandangkan kos hidup yang melambung tinggi ekoran kenaikan harga
minyak.


"Apa yang dituntut oleh NUBE adalah sangat perlu kerana kos hidup
meningkat dari semasa ke semasa, pada tahun depan pula tol akan naik, ini
akan memberikan kesan sampingan kepada mereka yang bergaji rendah,"
katanya.


MTUC masih meneruskan tuntutannya iaitu gaji minima RM900 dan elaun sara
hidup sebanyak RM300 kepada seluruh pekerja swasta.


Katanya, bank mendapat keuntungan berbilion ringgit setiap tahun, tetapi
mereka yang bertungkus lumus mendapatkan keuntungan itu masih diberi gaji
yang rendah.


"Sepatutnya bank kena bagi gaji yang setimpal dengan keuntungan berlipat
ganda yang mereka memperolehi daripada pelaburan," katanya. - mns

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: