Monday, June 20, 2005

[Malaysia] Umat Islam Kuat Bukan Kerana Duit

Umat Islam kuat bukan kerana duit melimpah - Bekas Presiden ABIM
Thursday, June 16 2005, Harakahdaily

KOTA BHARU, 16 Jun (Hrkh) – Kekuatan umat Islam sebenarnya bergantung kepada kemampuan menghayati isi kandung al Quran dan bukannya mempunyai wang ringgit yang melimpah.

Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dato’ Dr Siddiq Fadzil berkata, keadaan itu terbukti apabila umat Islam di zaman Nabi Muhammad SAW mampu melahirkan ummah yang bertaraf dunia. “Keadaan itu berlaku kerana umat Islam ketika itu benar-benar menghayati isi kandung al Quran. Era tersebut juga lahir pemimpin Islam yang agung antaranya Khalifah Abu Bakar, Sayidina Umar, Osman dan Ali.

“Mereka adalah pemimpin bertaraf ‘world class’ yang mampu dilahirkan di satu tempat dalam tempoh masa yang sama. Sedangkan usaha untuk melahirkan pemimpin bertaraf itu sukar dilakukan di satu tempat dan tempoh masa yang sama,” katanya ketika menyampaikan ceramah sempena Majlis Penyampaian Hadiah Tilawah al Quran di Balai Islam, malam tadi.

Penyampaian hadiah kepada semua pemenang disempurnakan Sultan Kelantan. Hadir sama, Raja Perempuan Kelantan, Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan.

Dr Siddiq adalah pemimpin ABIM pada tahun 1980-an. Di bawah eranya ABIM berubah orientasi ke arah pendekatan menangani dan menyelesaikan masalah (problem-solving). Pendekatan tersebut ternyata mampu melahirkan banyak institusi dan agensi ABIM seperti Islamic Outreach-ABIM. ABIM merupakan sebuah badan bukan kerajaan NGO Islam yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan pada 17 Ogos 1972 di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Muktamar ABIM yang pertama diadakan pada tahun 1972 di mana Prof Dr Razali Nawawi dipilih sebagai Presiden ABIM yang pertama, manakala Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Setiausaha Agung.

Pada tahun 1974 Anwar dilantik sebagai Presiden ABIM yang kedua dan Dr Siddiq dilantik memangku dan menjadi Presiden ABIM selepas Anwar menyertai Umno pada tahun 1982.

Dr Siddiq yang kini menjadi pensyarah di Darul Hikmah berkata, kekuatan ekonomi tidak menjamin melahirkan sebuah masyarakat yang mantap kerana masing-masing berebut peluang kekayaan.

Selain itu, menurutnya, kekuatan amanah juga perlu ada pada umat Islam bagi melahirkan yang benar-benar cemerlang dan progresif. Pada ceramah yang sama beliau menjelaskan ketinggian ilmu tanpa dikongsi dengan kekuatan kuasa belum mampu melahirkan sebuah kehidupan yang benar-benar berjaya.

“Orang yang berilmu tetapi tidak mempunyai kuasa hanya sekadar menjerit-jerit di dewan kuliah sahaja. Sebab itulah kuasa cukup penting bagi membentuk sesebuah masyarakat,” katanya.

Sementara itu, qari dari Pasir Mas, Zulkifli Haron diisytiharkan sebagai johan tilawah tersebut. Beliau mendapat markah sebanyak 74.32 peratus. Tempat kedua, Che Aziz Mohamad, dari Tumpat mendapat 72.99 peratus. Manakala di tempat ketiga, Khairul Azwa Alias (68.9 peratus).

Pemenang tempat pertama menerima hadiah wang tunai sebanyak RM4,500 berserta piala pusingan, sijil dan cenderahati. Tempat kedua (RM3,500 bersama piala, sijil dan cenderahati) dan ketiga wang tunai sebanyak RM2,500.

Seramai lapan lagi peserta termasuk johan menunggu menerima hadiah sagu hati dan sijil penyertaan. Mereka iaitu Saupi Ismail (johan menunggu), Alwi Yunus (Kota Bharu), Mahmood Zakaria (Pasir Puteh), Mohd Anwar Ghazali (Machang), Che Nordin Che Hussin (Bachok), Mat Yusof Deraman (Gua Musang),Ghazali Ibrahim (Tanah Merah) dan Mohd Azmi Abdullah (Kuala Krai). - MJ

No comments: