Saturday, June 25, 2005

[Malaysia] Kenapa Tiba-Tiba Begitu Banyak Fakir Miskin di Malaysia?

Sungai Petani, 25 Jun 2005

Kenapa tiba-tiba sejak setahun dua kebelakangan ini, terlalu banyak fakir miskin di Malaysia? Hampir setiap hari, kita diberitakan mengenai kisah keluarga demi keluarga yang hidupnya begitu melarat di Malaysia. Ada yang tidak sanggup meninggalkan ibunya yang miskin, lalu sanggup pula dipenjarakan 14 hari kerana tidak dapat menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Ada yang sanggup menjual anaknya yang sedang dikandung isterinya untuk membiayai kos perubatan anaknya yang lain. Ada pula yang terpaksa menagih simpati, memohon makan dan wang menyekolahkan anak-anaknya. Yang kita dengar ini adalah yang dilaporkan oleh media. Bagi setiap kes yang dilaporkan ini, apakah kita merasakan wujud 10 lagi kes yang belum diketahui?

Persoalannya kini, bagaimanakah fenomena ini berlaku ketika kita mendabik dada sebagai sebuah negara maju yang merdeka sedangkan kaum pribumi, terlalu melarat melebihi mereka yang sering menganggap diri mereka warga kelas kedua dan ketiga? Seringkali kita "dipujuk" untuk menerima hakikat bahawa pemerintah mempunyai sistem kebajikan yang teruji dan berkesan. Kita ada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang begitu prihatin. Kita punya pimpinan masyarakat dan wakil pemerintah di peringkat akar umbi dan seumpamanya. Malah negara kita dikatakan mempunyai dasar kukuh mengenai pembelaan rakyat dan masyarakat bumiputera. Namun, kemiskinan pada peringkat keperluan dan kebajikan asas tetap berlaku. Mereka ini dipinggirkan dalam arus pembangunan rakus yang tidak mempedulikan siapa mereka.

Fenomena ini menampilkan sekurang-kurangnya dua kelemahan. Pertama, meskipun kita mempunyai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun mereka lebih selesa berada di pejabat dari turun ke padang. Bukankah lebih mudah menunggu para fakir dan si miskin datang mengemis di depan bilik pejabat? Bukankah meletihkan sekiranya mereka terpaksa keluar mencari si fakir dan miskin, yang tinggal entah di ceruk dan pelusuk negara? Bagi mereka ini, kalau si fakir dan miskin itu benar-benar memerlukan bantuan, maka terpaksalah mereka datang. Kalau tidak, kata orang putih, "business as usual"! Buat apa susah payah meredah hutan dan semak samun mencari-cari keluarga miskin. Ahh... pedulikan!

Tetapi bagi segelintir pegawai JKM ini, mereka sangat prihatin, sanggup bersusah payah, berpanas dan berpeluh-peluh mencari manusia miskin yang melarat. Usaha ini dilakukan bukan di atas dasar menjalankan tugas (sense of duty), tetapi kerana kecintaannya (sense of love) untuk menolong sesama manusia. Malah, mereka sanggup melakukan usaha ini di luar waktu pejabat, meskipun tidak dapat membuat tuntutan kos perjalanan (travel claims). Mereka inilah yang patut dinobatkan sebagai "the unsung heroes". Namun, yang mengejutkan ialah kebanyakan mereka ini adalah kaum bukan Melayu.

Kelemahan kedua ialah kegagalan total JKKK yang kononnya ditubuhkan sebagai agen perubahan masyarakat mewakili pihak pemerintah. Hasilnya apa yang berlaku, sepertimana makluman ramai orang, JKKK hanyalah dijadikan saluran mengukuhkan kuasa politik tempatan yang tidak pernah stabil, dan sentiasa kelam-kabut (chaos). Ini adalah kerana dalam suasana 'chaos' inilah, banyak kesempatan dapat diraih oleh mereka yang berkepentingan. JKKK yang sepatutnya memaklumkan kepada pemerintah (JKM) mengenai golongan masyarakat yang memerlukan bantuan, sebaliknya merasakan itu adalah hak mereka untuk membolot bantuan.

Akhirnya, bantuan tidak dapat disalurkan menerusi pemerintah kepada rakyatnya sebagaimana yang diajar kepada sejumlah mahasiswa dalam kelas Pentadbiran Awam (Public Administration). Sebaliknya, terpaksalah media membuat tabung dan dana mengutip wang bantuan. Kerana inilah kita bertanya: apakah tugas Kerajaan adalah untuk mengukuhkan kuasa politik atau memberi manfaat kepada rakyat yang bernaung?

Kalau tak percaya, cuba-cubalah mencari data, fakta dan angka mengenai jumlah bantuan kebajikan yang diberikan kepada golongan miskin. Tanyalah berapa banyak bantuan diberikan (mengikut negeri, kalau boleh, dari tahun ke tahun). Tanyalah kepada golongan mana yang menerimanya dan berapa orang (mengikut pecahan negeri dan tahun ke tahun). Tanyalah lagi prosedur untuk mendapatkan bantuan kebajikan. Tanyalah lagi... Tanyalah lagi... kerana bantuan itu datangnya dari cukai yang kita bayar. Dan kerana itu kita berhak dan layak bertanya ke manakah ianya dibelanjakan.

Kalau tak percaya lagi, cubalah!

No comments: