Saturday, June 25, 2005

[Malaysia] Janji RM 500, Dapat RM 150, Lagi RM 350?

Mangsa banjir hanya terima RM150, RM350 lagi di mana?
Wednesday, June 22 2005, Harakahdaily

TANAH MERAH, 22 Jun (Hrkh) – Akhir tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri mengumumkan mangsa banjir akan diberi RM500 setiap seorang, namun anehnya apa yang berlaku beberapa hari lalu hanya RM150 diterima mereka.

"Ke mana hilangnya RM350 lagi. Dahlah lebih enam bulan baru dapat, tiba-tiba duit yang diterima cuma RM150. Pak cik benar-benar tidak faham," kata seorang penerima bantuan banjir di sini. Sedangkan Dato' Seri Najib Razak mengumumkan setiap keluarga mangsa banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan akan menerima bantuan segera sebanyak RM500 daripada Tabung Bantuan Bencana Negara.

Seorang pemimpin masyarakat di sini, Haji Abu Bakar Rashid berkata, bantuan banjir itu baru diterima penduduk di jajahan ini beberapa hari ini. Majlis penyampaian bantuan tersebut diadakan di Sekolah Menengah Tanah Merah 1, di mana seramai 950 orang menerimanya. "Sedangkan sebelum ini semua orang tahu timbalan perdana menteri sendiri mengumumkan setiap mangsa banjir akan menerima bantuan RM500, tapi sekarang ke mana hilangnya RM350 lagi," katanya di sini.

Bagaimanapun beliau mendakwa pihak lawan cuba mempengaruhi penduduk kampung kononnya selebihnya bantuan itu akan diberi kerajaan negeri pula. Kata beliau, ramai penduduk yang hadir menerima bantuan banjir tersebut mendedahkan kepadanya mengenai isu yang dicipta pihak tertentu bagi memburuk-burukkan kerajaan negeri.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan di KUALA KRAI, Penyelia DUN Manek Urai, Ustaz Zamzuri Mat Lazim mendedahkan sebahagian besar penerima bantuan banjir di jajahan terbabit adalah di kalangan penyokong kuat Umno.

Beliau mendakwa, ada di kalangan mereka tidak pernah berpindah turut mendapat bantuan sebanyak RM500. Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Dato' Ramzi Abdul Rahman menyampaikan bantuan itu di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra kira-kira sebulan lalu. Difahamkan seramai 700 penduduk menerima bantuan tersebut, sedangkan mangsa sebenar banjir yang terpaksa menanggung banyak kerugian tidak mendapat apa-apa bantuan.

"Di Manek Urai iaitu kampung yang terjejas teruk akibat banjir akhir tahun lalu, hanya di kalangan penyokong Umno yang mendapat bantuan sebanyak RM500.

"Bukan penyokong Umno disingkirkan daripada senarai, biar pun mereka mengalami banyak kemusnahan harta benda akibat banjir. Apa yang anehnya penyokong Umno yang tinggal di atas bukit juga mendapat bantuan itu," katanya.

Zamzuri berkata, bantuan banjir yang dikeluarkan dari Tabung Bencana Negara seolah-olah menjadi harta milik Umno kerana penyokong mereka sahaja yang mendapat bantuan berkenaan.
- MJ

No comments: