Monday, June 13, 2005

[Malaysia] Kuarters Polis Ikut Nasib Makmal Komputer

Kuarters polis: Jangan ulangi nasib makmal komputer – Mohammad Sabu
Thursday, June 09 2005, Harakahdaily
Oleh Salmiyah Harun

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Hrkh) - Projek kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan menelan belanja RM2.5 bilion, diharap tidak menerima nasib yang sama sebagaimana pembinaan makmal komputer sekolah yang akhirnya terbengkalai.

Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu berkata, hasrat kerajaan untuk membina kuarters polis adalah satu tindakan yang baik bagi menjaga kebajikan polis bagaimanapun projek itu harus dibahagi-bahagikan kepada kontraktor yang mempunyai prestasi yang baik.

"Sekiranya projek kuarters polis diberi kepada kontraktor bermasalah dan kroni kerajaan, saya yakin projek RM2.5 bilion itu nanti akan menjadi seperti projek makmal komputer dan juga dewan rakyat yang tidak gagal disiapkan dengan pelbagai masalah lain," jelasnya.

Mengulas kenyataan PM Abdullah Ahmad Badawi yang mengumumkan projek itu, Mohammad berkata, untuk menjaga kebajikan polis bukan sahaja membuat rumah untuk mereka malah yang lebih besar perlu diutamakan juga oleh kerajaan adalah bagaimana untuk membanteras rasuah di kalangan polis.

Mohammad juga mengakui projek-projek yang diuruskan oleh kerajaan selalunya menelan belanja berganda-ganda misalnya harga sebenar projek seribu juta tetapi akan menjadi dua ribu juta ringgit.

Di samping itu, beliau juga mempersoalkan tindakan kerajaan yang menggunakan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) untuk projek rumah polis sedangkan itu adalah duit rakyat.

Semalam kerajaan memutuskan untuk melaksanakan 160 projek pembinaan balai dan kediaman PDRM bernilai RM2.5 bilion bagi menampung segera kekurangan kemudahan itu di seluruh negara.

Projek perumahan itu akan melibatkan 25,000 unit kuarters mengikut konsep bina, sewa dan serah.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat pertama jawatankuasa kerja untuk melaksanakan cadangan Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM. – lanh

No comments: