Tuesday, June 07, 2005

Cukai Tanah di Kedah Naik 400%

BN Kedah 'rompak' duit rakyat dengan menaikkan cukai tanah
Tuesday, May 31, Harakahdaily
Oleh Helmi Khalid

ALOR STAR, 31 Mei 2005 (Hrkh) - Sekalipun mempunyai seorang Menteri Besar yang sakit, namun Kedah tetap berkeinginan tinggi untuk meneruskan agenda 'membalas jasa' di samping merompak duit rakyat yang mengundi Barisan Nasional (BN) dengan menghadiahkan kenaikan cukai tanah melebihi sekali ganda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS-Anak Bukit, Haji Amiruddin Hamzah berkata, inilah gara-gara mengistiharkan Alor Star sebagai Bandar raya pada 21 Disember 2003 lalu dengan hasil Majlis Bandaraya tersebut tidak seberapa dan sebaliknya duit rakyat terpaksa di'rompak' secara senyap. "Ia juga adalah ekoran beberapa projek mega di Kedah yang nyata tidak mendatangkan pulangan, sebagai bukti berbelas projek yang dijalankan oleh anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) mengalami kerugian.

"Kedah Maju 2010, inilah hasil kerja sebuah kerajaan ke era negeri maju, 10 kali lebih maju dari wawasan 2020," tegas beliau.

Sambung beliau, pelaburan besar kerajaan BN Kedah untuk membangunkan Kulim High Tech Park (KHTP) nyata membawa padah kerana gagal menarik minat ramai pelabur luar malah ada syarikat yang gulung tikar dan mempunyai tunggakan bil-bil tertentu yang tinggi selain gagal membayar cukai tanah perniagaan mereka.

Di Gurun katanya, bagi tapak kilang kereta Naza Motor, kerajaan BN Kedah cukup bijak iaitu dengan membeli tanah dengan harga yang mahal dan menjual pada kadar yang terlalu murah kepada pihak Naza.

"Jelas sekali kerajaan BN Kedah telah mengalami kerugian untuk urus niaga dengan Naza itu sahaja, namun bekas Exco Kedah, Rosnah Majid menyatakan itu adalah cara terbaik untuk menarik minat pelabur datang melabur di Kedah.

Menurutnya premium cukai tanah di Kedah bakal dinaikkan tahun hadapan, dan jumlah kenaikan amat tinggi tidak lain tidak bukan sebagai menghargai jasa rakyat yang terus memberi mandat kepada BN di Kedah menerajui negeri ini.

Sementara untuk tanah kebun getah dan dusun pula, dari RM30 sehektar dinaikkan menjadi RM60 sehektar, bagi sawah padi kawasan MADA dinaikkan dari RM13 menjadi RM40 sehektar, untuk tanah kampung dinaikkan dari RM20 sehektar kepada RM80 sehektar.

Manakala cukai bagi kediaman (banglo) dari RM50 menjadi RM130 dan rumah teres dan kos rendah dari RM30 menjadi RM60.

Katanya lagi, jika diteliti, semua rakyat tidak akan terkecuali dari 'menerima' hadiah BN ini, sekaligus menunjukkan betapa prihatinnya BN Kedah sekarang ini, sekalipun tidak bermenteri besar, namun mempunyai jiwa yang besar untuk menindas rakyat.

Sementara itu, Bendahari PAS Kedah yang juga Adun (PAS-Tokai), Haji Mohd. Taulan Rasul berkata, keadaan ini amat malang sekali dan membuktikan BN Kedah sanggup menipu untuk mencapai status negeri maju.

Katanya, dalam satu persidangan DUN Kedah, sebelum pengistiharan Alor Star sebagai Bandaraya, beliau telah mengemukakan soalan tentang status cukai sama ada kekal atau dinaikkan selepas diistiharkan sebagai Bandaraya.

"Exco BN, Mohd. Basha Md. Haniffa menjawab kerajaan tidak akan menaikkan takrif cukai sekalipun bergelar Majlis Bandaraya selepas ini.

"Bashah yang disebut-sebut antara nama yang tersenarai dalam barisan MB baru Kedah ternyata bercakap tidak benar, itu sewaktu menjadi Exco, tak tahulah apa pula akan dibohongi kalau-kalau terpilih sebagai MB baru Kedah," jelas Taulan yang juga bekas Penasihat Undang-undang Majlis Perbandaran Alor Setar sebelum ini.- mks.

No comments: