Thursday, June 09, 2005

[Malaysia] Isu Tanah Tok Bidah di Kedah

Isu tanah Tok Bidan: Suhakam persoal tindakan PTG Kedah
Jun 7, 05 Malaysiakini

Suhakam mempersoalkan tindakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah tidak mengisytihar nilai harga tanah secara umum kepada penduduk berhubung isu pengambilan tanah di Kampung Tok Bidan di Alor Star untuk tujuan peluasan Kompleks Yayasan Islam Bukhary.

Pengerusi Jawatankuasa Aduan dan Siasatan Suhakam, Prof Datuk Hamdan Adnan berkata, PTG Kedah sepatutnya tidak berselindung berkaitan harga tanah itu dengan menawarkan harga yang tidak sama kepada penduduk di kampung terbabit.

"Suruhanjaya mendapati nilai tanah yang ditawarkan kepada penduduk di kampung itu tidak sama," katanya dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil PTG, pegawai khas kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan pemaju Bukhary Realty Sdn Bhd (BRSB) di Alor Star hari ini.

Sebanyak 38 keluarga di kampung itu terlibat dalam pengambilan tanah untuk tujuan peluasan kompleks berkenaan yang dilakukan pemaju BRSB menerusi kerajaan negeri.

Menurut laporan Bernama, selain itu, 75 keluarga di Kampung Datuk Murad turut terlibat dengan pengambilan tanah yang meliputi keseluruhan 1.8 hektar.

Hamdan berkata, tindakan PTG Kedah sebelum ini yang memanggil penduduk Kampung Tok Bidan dalam kumpulan kecil untuk berbincang berkaitan harga tanah, dirasakan tidak wajar dan menjurus kepada wujudnya harga yang tidak sama selain penindasan.

Khidmat peguam

Beliau berkata, agensi kerajaan itu seolah-olah bertindak sebagai orang tengah untuk kepentingan BRSB yang ingin memajukan kawasan terbabit untuk kepentingan komersial.

Katanya, kepentingan serta kebajikan penduduk di Kampung Tok Bidan sepatutnya dibela dan dilindungi kerana mereka adalah pemilik tetap tanah berkenaan.

Sementara itu, Hamdan berkata penduduk di Kampung Datuk Murad kini dalam keadaan amat tertekan kerana diberi tempoh sehingga 15 Jun ini untuk membuat keputusan sama ada menerima tawaran pihak kerajaan atau mendapatkan khidmat peguam untuk membicarakan isu berkenaan.

Beliau berkata penduduk akan dianggap bersetuju dan terpaksa menerima apa juga nilai tanah yang ditawarkan kerajaan walaupun sedikit jika gagal mendapatkan khidmat peguam.

Katanya tindakan itu tidak adil kerana penduduk kampung terbabit yang rata-rata berpendapatan di bawah RM450 sebulan tentunya tidak mampu membayar kos guaman.

----------------------------

Suhakam mahu berbincang dengan Pejabat Peguam Negara
Fauwaz Abdul Aziz
Jun 8, 05 Malaysiakini

Terjemahan: Suhakam akan berbincang dengan Pejabat Peguam Negara mengenai kemungkinan berlakunya pelanggaran undang-undang dan hak asasi manusia dalam isu pengambilan tanah di Kampung Dato Murad dan Tok Bidan di Alor Star untuk tujuan peluasan Kompleks Yayasan Islam Bukhary.

Pengerusi Jawatankuasa Aduan dan Siasatan Suhakam, Prof Datuk Hamdan Adnan berkata ini kerana syarat-syarat yang tidak munasabah dikenakan terhadap pemiliknya dan mereka tidak diberi pilihan lain, kecuali membawa kes ke mahkamah, jika bersetuju dengan harga tawaran.

“Kami telah tentukan jumlahnya. Jika tidak suka, pergi ke mahkamah lah! Itulah yang diberitahu oleh pihak negeri dan pegawai yayasan tersebut kepada kami, saya dan orang kampung,...apakah mereka tidak berhati perut?” katanya ketika dihubungi semalam.

Hamdan baru sahaja pulang daripada mengadakan perjumpaan dengan tiga pihak terbabit di Alor Malai, Kedah – tempat kedua-dua kampung tersebut terletak.

Yayasan tersebut mahu mengambil tanah penduduk di situ untuk membina komplek berharga RM250 juta – tambahan kepada Institut Pengajian Tinggi Albukhary. Penduduk kedua-dua kampung terbabit mendakwa mereka tidak dibayar pampasan sewajarnya.

“Bagaimanakah ianya (dikatakan) untuk kepentingan awam apabila penduduk tempatan dihalau daripada tanah mereka sendiri? Lagi pula, penduduk adalah peniaga kecil yang berpendapatan rendah. Mereka telah dianiaya...,” kata Hamdan lagi.

Katanya, Suhakam juga akan berbincang dengan Pejabat Peguam Negara mengenai kemungkinan meminda Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 untuk menangani kejadian di mana hak perlembagaan rakyat diketepikan begitu sahaja oleh pihak berkuasa negeri.

“Kita akan berbincang dengan Pejabat Peguam Negara untuk menentukan sama ada tindakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) ultra-virus terhadap Perlembagaan Persekutuan.

“Pihak negeri dan pegawai yayasan tersebut asyik menyatakan mereka mematuhi undang-undang. Itulah yang asyik mereka ulangi. (Tetapi) nampaknya hak asasi penduduk berkenaan telah dicabul,” tambahnya.

Harga rendah

Yayasan tersebut milik ahli perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary, menaja kesemua 150 pelajar daripada lebih 30 negara miskin, belajar di institut tersebut.

Menurut peguam penduduk terbabit, juruukar swasta yang dilantik yayasan tersebut Februari lalu, telah menetapkan nilai tanah di Kampung Datuk Murad dan Tok Bidan, kesemuanya seluas 3.5 ekar, pada kadar RM14.70 sekaki persegi – lebih rendah daripada harga pasaran RMRM20 sekaki persegi.

Selepas mengemukakan rayuan kepada PTG dan selepas juruukur lain dilantik, yayasan itu berjaya menurunkan nilai tanah tersebut kepada RM7.50 sekaki persegi.

Berikutan itu, harga RM7.50 sekali persegi telah ditetapkan dalam ‘Borang H’ yang dikeluarkan kepada penduduk pada 20 Mac mengikut peraturan Akta Pengambilan Balik Tanah (1960) serta dalam notis pengambilan balik tanah oleh PTG beberapa hari kemudiannya kepada wakil penduduk.

Menurut penduduk Kampung Tok Bidan, jumlah pampasan sebanyak RM573,255 adalah tidak mencukupi untuk penempatan semula 32 penduduk terbabit di tapak yang dicadangkan di Mentalon.

Manakala penduduk di Kampung Dato Murad dan kawasan sekitarnya, juga ditawarkan syarat-syarat yang sama.

Hamdan juga berkata beliau ternampak pagar aluminum dibina pemaju yayasan tersebut di sekeliling kampung dan di tempat-tempat tertentu, ianya menghalang jalan masuk ke situ, termasuk jalan ke masjid.

“Kami juga akan menghubungi pihak berkuasa berkaitan, seperti majlis perbandaran, mengenai isu jalan masuk yang kini terhalang (oleh pagar). Orang kampung mengadu anak-anak mereka tidak boleh lagi melalui jalan biasa ke masjid, kerana telah ditutup,” kata Hamdan.

Ketika mempertahankan tuntutan penduduk untuk merundingkan semula pampasan yang ditawarkan oleh yayasan tersebut, Hamdan berkata, status sebagai tanah “pertanian” tidak seharusnya dijalankan alasan untuk PTG menawarkan harga yang rendah.

“Memang sesetengahnya tanah pertanian. Tetapi ia terletak di tengah-tengah kawasan bandar yang nilai tanahnya lebih tinggi lagi,” katanya.

Malah, kata Hamdan, rayuan pegawai PTG dan yayasan tersebut supaya penduduk terbabit menyifatkan pengambilan tanah itu sebagai ‘wakaf’ juga mencurigakan kerana ia diambil untuk diberikan kepada pemaju swasta.

“Bagaimana ini boleh dianggap sebagai wakaf? Wakaf mesti dilakukan secara sukarela. Ini bukan sukarela,” katanya.

Penduduk terbabit – yang telah menfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Alor Star, melalui PTG pada 5 Mei lalu untuk menangguhkan pengambilan tanah mereka bagi mengkaji semula tawaran harganya – mahu menangguhkan tarikh mengadakan “mesyuarat awam” untuk membincangkan lebih lanjut perkara tersebut dengan para pegawai terbabit.

Menurut Hamdan, penduduk berharap pengambilan balik tanah itu dapat dielakkan sehingga bulan Disember ini bagi memberi mereka lebih banyak masa untuk berunding bagi syarat-syarat yang lebih baik.

No comments: