Wednesday, June 22, 2005

[Malaysia] Alahai Nasib Lemang Pak Ali!

Anggota polis roboh kedai lemang Pak Ali Ulu Kelang
Muda Mohd Noor, Malaysiakini
Jun 21, 2005

Peniaga lemang terkenal di Lembah Kelang, Md Ramli Abdul Rasip terkejut apabila polis merobohkan kedai menjual lemangnya di Hulu Kelang yang diusahakan sejak 21 tahun lalu.
Md Ramli atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Ali mendakwa kejadian tersebut berlaku pada jam 6 pagi Ahad 17 Mei lalu di Lot 100, Batu 7 3/4 Jalan Hulu Kelang.

"Pada 16 Februari lalu, wakil Caltex, Rosli Borhan bersama anggota polis, Perbadanan Urus Air Selangor (Puas) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah datang untuk merobohkan premis saya di Hulu Kelang.

"Saya membantah kerana mereka tidak mempunyai perintah mahkamah untuk merobohkan kedai tersebut tetapi Puas dan TNB telah memotong bekalan air dan elektrik.

"Bagaimanapun, keesokan harinya, kira-kira jam 6 pagi 20 anggota polis telah merobohkan premis tersebut menggunakan jentolak,” katanya ketika membuat aduan kepada Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Siva Subramaniam di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Md Ramli menyewa tapak tanah milik Caltex Oil sejak 21 tahun lalu dan enam tahun lalu, beliau membayar RM6,000 kepada seorang yang mendakwa wakil syarikat minyak tersebut. Bagaimanapun, akhir tahun lalu, Caltex meminta beliau mengosongkan tapak tersebut kerana syarikat mahu memajukan tanah tersebut.

"Anggota polis roboh premis"

Dalam aduan tersebut, beliau mendakwa Caltex Oil Sdn Bhd telah memperalatkan anggota polis untuk merobohkan gerai perniagaan mereka di Hulu Kelang. Md Ramli mendakwa Caltex juga menggunakan pegawai Jabatan Kehakiman untuk membenarkan syarikat minyak tersebut merobohkan gerainya.

Beliau yang berniaga di atas nama Lemang Pak Ali di Lot 100, Batu 7 3/4 Jalan Hulu Kelang Hulu Kelang Selangor sejak 25 tahun lalu.

Beliau berkata, apa yang mengejutkan ialah anggota polis dari Balai Polis Taman Melawati yang merobohkan gerai beliau dan bukannya unit penguatkuasaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). Beliau berkata, sepanjang pengetahuannya pihak yang merobohkan rumah ialah MPAJ dan bukannya anggota polis.

Md Ramli berkata, isterinya Rahimah Kamaruddin berada di dalam premis tersebut apabila 20 anggota polis menyerbu masuk dan mengarahkan isterinya keluar dengan segera.

Perintah mahkamah

Rahimah mendakwa, anggota polis berkenaan telah mengeluarkan kata-kata kasar terhadapnya termasuk memerhatinya ketika beliau menyalin pakaian di dalam premis tersebut.

Md Ramli dan Rahimah membuat dua laporan polis di Balai Polis Jalan Tun H.S.Lee mengenai kejadian tersebut.

Md Ramli berkata, pada 27 April lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengarahkan peguam beliau dan peguam Caltex menyediakan hujahan bertulis dan menetapkan tarikh keputusan pada 18 Julai depan.

Bagaimanapun, katanya, pada 16 Mei lalu, Caltex telah mendapat perintah mahkamah yang ditandatangani oleh Timbalan Pendaftar, Mohd Din Gilal Khan supaya mengosongkan tanah tersebut.

Peguam Md Ramli kemudiannya memfailkan satu lagi permohonan untuk mengetepikan perintah tersebut.

Sementara itu, Siva berjanji bahawa pihaknya akan menyiasat dan mengambil tindakan terutama salahguna kuasa penjawat awam terutama anggota polis terlibat merobohkan premis tersebut.

No comments: