Saturday, June 25, 2005

[Kedah] Isu Tanah Tok Bidan: Kerajaan Tak Boleh Jadi Broker

Kerajaan tidak boleh jadi 'broker tanah' - Suhakam
Wednesday, June 22 2005, Harakahdaily
Oleh Roy Rasul

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Hrkh) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menegaskan kerajaan tidak boleh menjadi 'broker tanah' kepada pihak swasta dan proses pengambilan tanah mesti diadakan secara terbuka serta dimaklum kepada semua yang terlibat seperti termaktub dalam Akta Pengambilan Tanah 1960 Pindaan 1991. Pesuruhjaya Suhakam, Prof Dato' Hamdan Adnan berkata demikian dalam satu kenyataan media berhubung siasatan awal pengambilan tanah di Kampung Dato' Murad dan Kampung Tok Bidan, Mukim Alor Malai, Kota Setar, Kedah. Menurut Prof Hamdan, pihak swasta yang memohon tanah melalui kerajaan negeri mengelirukan semua pihak dengan taksiran untuk umum.

Sedangkan katanya, ia untuk membangun satu-satu projek yang ada pulangan kewangan untuk kepentingan mereka sendiri tetapi tuan tanah yang tidak berupaya dipaksa pindah dari tanah milik mereka sendiri.

"Suhakam dimaklumkan pengambilan tanah di kedua-dua kampung berkenaan bertujuan pembesaran projek yayasan yang sedia ada dan pembinaan sebuah pusat pengajian dan hospital yayasan tersebut yang dimiliki seorang jutawan Malaysia yang terkenal," katanya.

Hamdan berkata, penempatan semula yang jauh akan memberi kesan kepada kehidupan harian penduduk. Penduduk juga katanya, merasa ketidakadilan pihak berkuasa kerana terlalu menyebelahi pihak pemaju dalam isu pengambilan tanah tanpa mengambil kira hak-hak dan nasib orang kampung .

Sehubungan itu katanya, Suhakam menyarankan agar rayuan mereka dipertimbangkan.

"Ini juga untuk kepentingan penduduk kampung yang rata-rata terdiri daripada golongan warga emas yang berpendapatan rendah," katanya lagi. Tambahnya, merujuk kepada isu pindaan kepada Seksyen 8(3) Akta Pengambilan Tanah 1960, cadangan pembangunan mesti diutamakan untuk kemudahan serta kepentingan penduduk setempat dan bukannya orang luar.

Sehubungan itu katanya, demi menjaga hak asasi penduduk kampung, Suhakam akan membawa isu tersebut kepada Peguam Negara. - mks.

No comments: